Apa faedahnya ada banyak pesta buku dalam sela waktu yang dekat? Kita ada Pesta Buku UKM dan UKM, masing-masing pada 24 hingga 27 April dan 25 dan 29 April.
Ada pula Malaysia Book Crawl pada tarikh 20-26 April dan Bazaar Buku Perak 23 hingga 26 April.
Tambah satu lagi, ada Kota Buku 2026 di Dataran Merdeka pada 24 hingga 26 April.
Dalam semua acara ini, saya berkesempatan ke Kota Buku sahaja.
Apabila saya melihat senarai acara penuh yang berlangsung dalam program ini, rupanya ia bukanlah “pesta buku”. Ia lebih kepada aktiviti dan literasi perbukuan.
Saya difahamkan oleh penganjur, setiap juragan atau penerbit buku yang mendaftar untuk membuka reruai dalam acara ini perlu mengisi borang yang mempunyai kolum ruangan aktiviti.
Setiap reruai perlu ada aktiviti selama tiga hari acara. Ada reruai yang berbentuk meningkatkan literasi bahasa Inggeris melalui sastera rakyat.
Ada beberapa reruai yang mempamerkan buku-buku langka yang sudah jarang ditemui oleh pembaca kini.
Sefaham saya, buku yang paling mahal mahal dijual di acara ini ialah Spirit of Wood: The Art of Malay Woodcarving Book karya Farish A. Noor dan Eddin Khoo dengan tanda harga RM2,000.
Reruai lain ada yang mengadakan kursus mini tarian Cina. Ada yang mengadakan permainan penerokaan buku, ulasan dan bedah buku, bacaan fragmen buku baharu dan bual bicara.
Disebabkan ruang di setiap hadapan reruai masing-masing luas, jadinya ruang itu digunakan untuk aktiviti-aktiviti. Setakat ini apa yang paling menarik perhatian saya ialah tarian Cina yang dianjurkan oleh Hikayat Fandom.
Kanak-kanak dan orang awam menari Cina (maaf kerana tidak tahu apa jenis tariannya), juga disertai oleh pelancong asing memeriahkan suasananya.
Dan juga barang diingatkan bahawa acara Kota Buku 2026 ini bukan acara menjual buku. Ia diadakan untuk meraikan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.
Maksudnya, fokusnya bukanlah semata-mata pesta menjual buku, tetapi pesta untuk meraikan Hari Buku yang disambut pada 23 April setiap tahun.
Tahun ini lebih meriah dengan adanya Kota Baca. Jualannya mungkin merudum. Salah satu faktornya utamanya ialah beberapa penerbit buku yang membuka reruai di sini sudah ada target terbitan buku sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang bakal berlangsung kurang sebulan dari tarikh Kota Baca.
Senarai buku ini dikhaskan dalam acara jualan yang lebih besar. Di acara perbukuan yang dikira kecil sebegini mungkin bukanlah satu hal yang “penting” bagi bisnes mereka, tetapi menandakan mereka wujud dan ada, mereka turut sertai acara sebegini.
Pengunjung dan orang ramai datang untuk berkomuniti di sini. Melakukan aktiviti dan mengikut acara yang ada. Daripada acara pentas hingga acara Kelah Buku di bawah rembang matahari, semua acara ini dikhaskan bukan untuk affiliate jualan, tetapi untuk merancakkan lagi dunia perbukuan yang bukan mengingin kepada laba keuntungan sahaja.
Ya, Kota Baca 2026 bukan tempat menjual buku. Tetapi ada hal buku peringkat nasional yang terjadi di tengah-tengah tanda 0KM Kuala Lumpur.












