Mohd Khair seru khazanah lama digali semula

Mohdkhairtelaah2

Mohd Khair Ngadiron

KUALA LUMPUR — Tokoh perbukuan negara, Mohd Khair Ngadiron menyeru agar khazanah karya lama, khususnya sebelum era kemerdekaan, diberi perhatian lebih mendalam melalui kajian yang bersifat kritikal dan menyeluruh.

Beliau menyampaikan pandangan tersebut dalam sesi podcast Telaah yang berlangsung di Perpustakaan Negara Malaysia hari ini, sempena Kota Baca 2026 yang diadakan di Dataran Merdeka.

Dalam sesi tersebut, beliau membincangkan buku Kitab Kuning, Pesantren dan Tarekat: Tradisi-tradisi Islam di Indonesia karya Martin van Bruinessen, yang disifatkan sebagai antara kajian komprehensif mengenai tradisi keilmuan Islam yang mengfokuskan Nusantara.

Khazanah lama perlu diteroka semula

Menurut Mohd Khair, banyak karya lama yang mempunyai nilai sejarah dan intelektual tinggi masih belum diterokai secara mendalam.

“Saya fikir banyak khazanah kita yang boleh digali semula. Kita ada karya-karya sebelum merdeka, tetapi kajian terhadapnya masih tidak mendalam,” katanya.

Beliau memberi contoh karya tokoh seperti Ishak Haji Muhammad dan Usman Awang yang sarat dengan semangat perjuangan, namun memerlukan penelitian yang lebih kritikal dari sudut pemikiran dan konteks sejarah.

“Kita tahu penulis itu pejuang, tetapi kita kurang mengkaji bagaimana mereka menulis. Contohnya penggunaan satira oleh Pak Sako atau semangat kemerdekaan dalam karya Usman Awang,” ujarnya.

Belajar daripada pendekatan mendalam

Mengulas buku yang dibincangkan, Mohd Khair memuji pendekatan penulisnya yang turun ke lapangan dan meneliti tradisi secara langsung.

“Cara Martin van Bruinessen menulis sangat mendalam. Beliau berada di tempat kajian, memahami pengalaman sebenar, bukan sekadar data permukaan,” katanya.

Menurut beliau, kajian tempatan sering tertumpu kepada aspek asas seperti latar belakang tokoh, tanpa mengupas pemikiran dan sumbangan mereka secara lebih mendalam.

“Kita banyak berhenti pada permukaan, contohnya tahun lahir dan latar pendidikan, tetapi tidak pergi lebih jauh kepada idea dan pemikiran mereka,” jelasnya.

Menelusuri tradisi kitab kuning dan pesantren

Buku Kitab Kuning, Pesantren dan Tarekat yang asalnya diterbitkan pada 1995 dan kini diterjemahkan ke bahasa Melayu, menelusuri tradisi pendidikan Islam di Indonesia melalui tiga komponen utama: kitab kuning, pesantren dan tarekat.

Karya ini menghuraikan bagaimana kitab klasik berbahasa Arab dan terjemahan kepada tulisan jawi menjadi teras kurikulum di institusi pesantren, selain menjelaskan jaringan ulama yang menghubungkan Nusantara dengan pusat keilmuan Islam di Timur Tengah.

Melalui pendekatan sejarah, sosiologi dan antropologi, penulis turut mengupas peranan tarekat dalam membentuk spiritualiti masyarakat serta kaitannya dengan gerakan sosial dan politik, termasuk dalam konteks penentangan terhadap kolonialisme.

Kajian ini juga lahir daripada pengalaman lapangan penulis ketika berada di Indonesia, termasuk interaksi dengan tokoh seperti Abdurrahman Wahid yang menjadi antara rujukan penting dalam memahami dunia pesantren.

Kepentingan wacana ilmu di Kota Baca

Sesi podcast ini merupakan sebahagian daripada pengisian intelektual Kota Baca 2026 yang menghimpunkan pelbagai wacana buku dan diskusi ilmiah untuk menggalakkan budaya membaca serta pemikiran kritikal dalam kalangan masyarakat.

Pandangan Mohd Khair dilihat sebagai peringatan bahawa pembudayaan membaca tidak hanya terhad kepada kuantiti bahan bacaan, tetapi turut melibatkan keupayaan meneliti, memahami dan mengkritik khazanah ilmu secara lebih mendalam.

“Kita ada bahan yang sangat kaya, tetapi cabarannya ialah bagaimana kita membaca dan mengkajinya dengan lebih serius,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *