KUALA LUMPUR — Inisiatif Passport Kota Baca mencuri perhatian pengunjung di Kota Baca 2026 apabila aktiviti mengumpul cop daripada setiap reruai berkembang menjadi fenomena baharu dalam acara perbukuan tanah air.
Dijual di reruai Perbadanan Kota Buku (PKB) sebagai buku nota setebal 48 halaman kosong, Passport Kota Baca membolehkan pengunjung mengumpul cop unik yang disediakan oleh setiap reruai mengikut kreativiti masing-masing, sekali gus menjadikan pengalaman menjelajah reruai lebih interaktif dan bersifat peribadi.
Seorang pengunjung, Nik Hazirah, mengakui keterujaannya walaupun asalnya membeli buku tersebut untuk anaknya.
“Ini untuk anak saya, tapi saya pula yang teruja nak penuhkan passport ini. Pesta buku dah banyak kali saya pergi, cuma cop-cop ini pertama kali saya sertai,” katanya ketika ditemui Titik Baca hari ini.
Menurut beliau, pendekatan tersebut memberi pendedahan baharu kepada pelajar sekolah untuk lebih aktif meneroka reruai.
“Ini bagus untuk pelajar sebab mereka tahu setiap reruai ada aktiviti menarik.
“Biasanya kita fikir passport untuk melancong, tapi di sini pergi reruai buku pun boleh cop ‘passport’,” ujarnya.
Seorang lagi pengunjung, Ummu Iffah, melihat aktiviti tersebut sebagai sebahagian daripada trend yang semakin popular dalam kalangan komuniti pembaca.

“Saya nampak benda ini menarik, jadi saya cuba. Ini pun pertama kali. Dulu kita ada jurnal bertulis, sekarang kita kumpul cop pula, macam passport ke luar negara, tapi versi buku,” katanya.
Tambah beliau, reka bentuk cop yang pelbagai menjadi daya tarikan utama.
“Setiap reruai ada cop sendiri yang sangat cantik dan comel. Ia sesuai jadi kenangan bila kita sertai acara macam ini,” jelasnya.
Menariknya, fenomena mengumpul cop ini tidak terhad kepada golongan muda sahaja, malah turut disertai warga emas yang dilihat sama-sama beratur di reruai untuk melengkapkan “passport” mereka.
Trend ini juga dipercayai mula mendapat momentum sejak penganjuran Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2026 di Pasar Seni, sebelum berkembang pesat dalam acara berskala lebih besar seperti Kota Baca 2026 di Dataran Merdeka.
Tinjauan Titik Baca, ramai pengunjung menjadikan aktiviti mengumpul cop sebagai misi peribadi sepanjang acara, selain berkongsi hasil koleksi mereka di media sosial.
Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan interaksi antara pengunjung dan pempamer, malah memperlihatkan bagaimana elemen kecil seperti cop boleh menghidupkan pengalaman membaca dan menjadikan acara literasi lebih inklusif serta menyeronokkan untuk semua lapisan masyarakat.












