KUALA LUMPUR — Ketika dunia digital semakin dibanjiri kandungan pantas dan budaya membaca ulasan panjang makin terpinggir, sebuah majalah sastera baharu muncul dengan pertaruhan yang cukup berani dengan menjadikan karya-karya A. Samad Said sebagai fokus utama edisi pertamanya.
Menariknya, langkah itu mengingatkan ramai kepada majalah Svara yang pernah muncul pada Januari/Mac 2020 dan turut memilih tokoh yang sama sebagai wajah apresiasi untuk keluaran sulungnya.
Majalah baharu bernama Kelana itu diterajui editor, Amirzudin Suhaimi dengan sokongan Amanz Media.
Berbeza dengan majalah sastera lazim, Kelana memfokuskan sepenuhnya kepada ulasan dan wacana buku.
Menurut Amirzudin, idea tersebut lahir secara tidak dirancang ketika beliau bertemu pasukan Amanz Media bagi agenda lain sebelum mengetahui syarikat itu mempunyai perancangan menerbitkan majalah.
“Hari itu sebenarnya saya datang untuk agenda lain. Tapi bila mereka kata memang ada perancangan buat majalah, saya terus keluarkan idea majalah Kelana,” katanya ketika dihubungi Titik Baca.
Beliau berkata, industri buku tempatan ketika ini sebenarnya berkembang pesat dengan lambakan judul baharu, namun tidak diseimbangkan dengan budaya mengkritik dan membahaskan buku secara serius.
“Kalau ada pun di Goodreads atau pelantar lain, kebanyakannya masih menulis sinopsis. Kita kurang ulasan yang benar-benar kritis,” katanya.
Tambah beliau, walaupun budaya TikTok dan kandungan segera mengubah cara orang membaca, masih wujud kelompok pembaca yang mahukan tulisan panjang dan wacana lebih mendalam.
Kelana dirancang diterbitkan secara bulanan, namun pasukan editorial masih melihat sambutan terhadap keluaran pertama sebelum menentukan rentak penerbitan seterusnya.
Edisi sulung yang dijangka terbit sekitar Mei atau Jun itu akan menemui pembaca sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 dengan fokus utama terhadap apresiasi karya-karya A. Samad Said.
Menurut Amirzudin, minat pembaca luar negara terhadap karya tokoh sasterawan itu menjadi antara sebab utama tema tersebut dipilih.
Beliau yang turut bekerja dengan Biblio Press berkata, pengalaman menjual hak cipta karya ke luar negara membuka matanya terhadap penghargaan pembaca antarabangsa terhadap karya Pak Samad.
“Saya terkejut sebenarnya bila tahu orang luar memang minat karya Pak Samad,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa Kelana akan memuatkan ulasan oleh A. Samad Said sendiri, termasuk mengenai buku The Little Prince yang juga pernah diterjemahkan dan diterbitkan oleh Biblio.
Selain itu, Kelana juga akan menampilkan pelbagai bentuk ulasan dan perbincangan berkaitan dunia buku termasuk aspek pengurusan buku serta budaya pembacaan.
Sementara itu, Pengurus Projek Amanz Media, Lina berkata, syarikat itu memang merancang meneroka penerbitan majalah bagi tahun ini termasuk beberapa judul lain selain Kelana.
Menurutnya, dunia digital hari ini terlalu sesak dengan kandungan sehingga ramai pembaca gagal menapis bahan yang benar-benar penting untuk dibaca dan dibincangkan.
“Digital sekarang terlalu banyak content, noise terlalu banyak sampai kita sendiri tak tahu apa patut dibaca. Kadang-kadang ada artikel penting yang terlepas begitu sahaja,” katanya.
Beliau berkata, penerbitan majalah memberi peluang untuk kandungan dikurasi dengan lebih tersusun dan berkualiti selain memperkenalkan kembali budaya majalah kepada generasi baharu.
“Generasi baru ini ada yang langsung tidak kenal apa itu majalah,” katanya.













