KUALA LUMPUR — Selepas hampir sembilan dekad diterbitkan dalam tulisan Jawi tradisional, karya-karya novelis sebelum perang, Shamsuddin Salleh kembali menemui pembaca generasi baharu menerusi penerbitan semula Hidup yang Derhaka: Koleksi Lima Novel Shamsuddin Salleh – Jilid 1.
Penerbitan semula itu menghimpunkan lima novel utama beliau, iaitu Hidup yang Derhaka atau Rahsia yang Sangat Rahsia (1936), Kasih Berbalas (1936), Pemimpin Sulit (1937), Bingkisan Rahsia atau Percintaan Pemimpin Sulit (1937), dan Pertandingan Sukma (1937).
Bermula dengan penemuan di perpustakaan
Menurut cucunya, Hazuli Hamzah, usaha menghidupkan kembali karya-karya tersebut bermula secara tidak sengaja kira-kira 15 tahun lalu apabila anaknya yang sedang belajar di Universiti Sains Malaysia menemukan sebuah novel lama tulisan Jawi di perpustakaan universiti berkenaan.
“Bila diamati, penulis itu ialah Shamsuddin Salleh. Jadi dia sebenarnya cicit kepada Shamsuddin Salleh. Dari situ kami mula fikir bagaimana hendak mendokumentasikan dan mengkompilasikan semula karya-karya beliau,” katanya dalam sebuah forum berkaitan penerbitan semula karya tersebut yang diadakan sempena KL Festival, di Muzium Telekom, semalam.
Katanya, pada awalnya keluarga tidak melihat penulisan Shamsuddin sebagai sesuatu yang luar biasa kerana ramai penulis sezaman turut menghasilkan karya pada era itu. Namun selepas penelitian dibuat, mereka menyedari karya-karya tersebut mempunyai nilai sejarah dan pemikiran yang besar.
“Kami sedar kalau tidak buat sesuatu, kemungkinan besar karya-karya Shamsuddin akan pupus sebab semuanya ditulis dalam Jawi tradisional,” katanya.

Projek keluarga yang mengambil masa 15 tahun
Usaha pencarian manuskrip dan bahan berkaitan kemudian dilakukan di beberapa institusi termasuk perpustakaan Universiti Sains Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka serta arkib majalah lama.
Menurut Hazuli, projek yang pada mulanya dilakukan secara santai sebagai “projek keluarga” akhirnya berkembang menjadi usaha transliterasi besar-besaran dengan kerjasama Akademi Jawi Malaysia.
“Kita buat transliterasi sepenuhnya untuk 15 judul novel Shamsuddin Salleh. Tetapi untuk jilid pertama ini, kita pilih lima novel yang paling popular dan malar segar,” katanya.
Beliau berkata, proses transliterasi membuka dimensi baharu terhadap karya datuknya kerana sebelum ini pembacaan dalam tulisan Jawi agak terbatas dan tersekat-sekat.
“Apabila kita mampu membaca teks penuh dalam tulisan rumi, banyak makna yang muncul. Bila dibaca berulang kali, karya-karya ini mempunyai mesej yang mendalam dan sangat relevan dengan masa kini,” katanya.
Novel risikan mendahului zaman
Hazuli turut menyifatkan karya-karya Shamsuddin sebagai antara novel Melayu terawal yang membawa unsur risikan, penyamaran dan gerakan bawah tanah dalam naratifnya.
“Pada zaman 1930-an, hampir tiada novel yang membawa tema risikan atau undercover. Ada penggunaan watak wanita sebagai umpan untuk menyusup gerakan buruh dan sebagainya. Ia membuat pembaca berfikir tentang kuasa dan bagaimana manusia memanipulasikan kuasa,” katanya.
Menurutnya lagi, tema-tema yang diketengahkan Shamsuddin masih dekat dengan masyarakat hari ini, terutama persoalan kuasa, wang, pengkhianatan dan keberanian mempertahankan prinsip.
“Kami melihat karya-karya ini sebagai jambatan antara generasi lama dan generasi kini. Ia bukan sekadar untuk dibaca, tetapi untuk difahami sebagai panduan dan renungan,” katanya.
“Derhaka” demi mempertahankan nurani
Dalam blurb penerbitan semula tersebut, Hidup yang Derhaka digambarkan sebagai karya yang mengangkat “kisah manusia yang terperangkap antara kesetiaan dan kebenaran” dalam suasana penjajahan antara tahun 1936 hingga 1937.
Novel itu turut menampilkan konflik ideologi, pergolakan jiwa dan keberanian individu yang sanggup dilabel “derhaka” demi mempertahankan nurani dan prinsip hidup.
“Ini bukan sekadar cerita tentang kaum buruh, kemiskinan, penjajahan, politik atau sejarah. Ini tentang pilihan. Tentang keberanian untuk berkata tidak,” menurut blurb penerbitan itu.

Pengarang sebelum perang yang penuh pengalaman politik
Shamsuddin Salleh dilahirkan pada 31 Ogos 1906 di Kota Betung, Siak, Sumatera, Indonesia sebelum berhijrah ke Tanah Melayu pada pertengahan 1920-an selepas menjadi mangsa intipan Belanda.
Beliau mendapat pendidikan awal di Pekanbaru dan pernah bekerja sebagai Guru Pelatih serta Pegawai Undang-Undang (Jaksa Kerapatan) di Mahkamah Raja di bawah Raja Siak.
Semasa muda, Shamsuddin banyak dipengaruhi pembacaan karya tokoh Indonesia seperti Agus Salim, Tjokroaminoto dan Hamka selain karya terjemahan penulis Barat seperti Leo Tolstoy, Shakespeare dan Arthur Conan Doyle.
Apabila berhijrah ke Singapura, beliau ditawarkan berkhidmat bersama pasukan perisikan British. Tugas menyediakan laporan rahsia membawanya mengembara ke beberapa negara termasuk Bangkok, Manila, Hong Kong, Burma dan Indonesia.
Pengalaman tersebut kemudian banyak mempengaruhi corak penulisannya yang sarat dengan unsur penyiasatan, politik dan kesedaran sosial.
Dalam dunia sastera Melayu sebelum perang, nama Shamsuddin sering diletakkan sebaris dengan Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestamam. Beliau juga bersahabat dengan A. Samad Ahmad dan Abdullah Hussain.
Novel pertamanya, Kasih Berbalas, diterbitkan di Muar pada tahun 1936. Selain menulis, Shamsuddin turut mencetak, menjual sendiri karya-karyanya dan membantu menguruskan percetakan novel penulis lain.
Dua minggu sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu pada tahun 1941, Shamsuddin ditangkap di Ipoh di bawah undang-undang darurat kerana disyaki terlibat dalam Kesatuan Melayu Muda.
Beliau dipenjarakan di Pudu sebelum dipindahkan ke penjara Changi di Singapura bersama beberapa tokoh lain termasuk Ahmad Boestamam dan A. Samad Ahmad.
Selepas perang, beliau terlibat pula dalam perjuangan kemerdekaan bersama Parti Kebangsaan Melayu Malaya sebelum kembali ke Sumatera pada tahun 1947 untuk menyertai perjuangan menentang penjajahan Belanda.
Shamsuddin kembali menetap di Malaysia pada tahun 1962 selepas bersara daripada perkhidmatan awam di Indonesia dan meninggal dunia di Kuala Pilah pada 1 April 1977 ketika berusia 71 tahun.
Mengangkat semula nama yang hampir dilupakan
Menurut Hazuli, penerbitan semula karya tersebut bukan sekadar usaha menghidupkan semula novel lama, tetapi juga usaha mengangkat kembali ketokohan Shamsuddin Salleh dalam sejarah kesusasteraan Melayu moden.
“Shamsuddin dan penulis sezamannya menjadikan novel bukan sekadar hiburan, tetapi medium kesedaran masyarakat dan perjuangan bangsa,” katanya.
Beliau berharap penerbitan semula itu akan membuka ruang kepada lebih banyak kajian akademik terhadap karya-karya Shamsuddin agar sumbangannya tidak terus tenggelam dalam lipatan sejarah.
“Karya-karya ini bukan sekadar warisan sastera, tetapi saksi kepada ketabahan dan kejujuran seorang insan yang menulis dengan jiwa dan prinsip,” katanya.













