Hikayat Seri Rama dan warisan 1,000 tahun yang masih bernafas

Hikayatserirama T

Apabila menyebut tentang sastera klasik Melayu, ramai yang akan terus teringat kepada Hikayat Hang Tuah atau Sulalatus Salatin.

Namun, terdapat bebrapa lagi lagi karya agung yang tidak kurang pentingnya dalam sejarah kesusasteraan Melayu, ia termasuklah Hikayat Maharaja Seri Rama.

Lebih mengagumkan, hikayat ini sudah bertapak kira-kira 1,000 tahun di alam Melayu tetapi masih menarik perhatian pembaca dan terus dikaji oleh ahli sastera dan sejarawan pada era digital hari ini.

Kisah Hikayat Maharaja Seri Rama ini sebenarnya berasal daripada karya epik Hindu, iaitu Ramayana oleh Valmiki.

Namun, karya ini telah mengalami proses asimilasi untuk disesuaikan mengikut budaya, bahasa dan pemikiran masyarakat Melayu.

Sebab itulah Hikayat Maharaja Seri Rama dikategorikan sebagai hikayat zaman pra-Islam kerana ia lahir ketika pengaruh Hindu masih kuat dalam kehidupan masyarakat Melayu sebelum kedatangan Islam.

Pengaruh Hindu jelas dapat dilihat melalui watak-watak yang terdapat dalam hikayat ini. Contohnya, Maharaja Seri Rama, Puteri Siti Dewi, Hanuman dan Maharaja Rawana merupakan antara watak utama yang berasal daripada tradisi karya epik Hindu tersebut.

Watak-watak ini digambarkan umpama dewa-dewa dan memiliki kesaktian yang luar biasa. Namun, apabila kisah ini berkembang di alam Melayu, unsur-unsur tempatan telah diserap masuk sehingga menjadikan penceritaannya sedikit berbeza daripada versi asal.

Hal inilah yang menjadikan hikayat ini unik kerana adaptasi tersebut membolehkan kita melihat gambaran pemikiran masyarakat Melayu ketika itu.

Hikayat ini mengisahkan kesatriaan, pengembaraan, pengkhianatan dan percintaan seorang raja yang gagah dan berani.

Pengembaraan tersebut dipenuhi dengan peperangan, pengorbanan, kesetiaan dan ujian yang akhirnya membentuk kekuatan setiap watak.

Jalan ceritanya mungkin sudah diketahui oleh masyarakat melalui versi asal, tetapi kisah ini dalam versi Melayu mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi gaya penceritaan dan nilai yang diketengahkan.

Terkini, hikayat ini disusun kembali oleh Che Mat Jusoh dan terbitkan oleh Nusa Centre dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Che Mat Jusoh meneliti dan merujuk naskhah-naskhah Maharaja Seri Rama versi lain bagi melihat perbandingan. Justeru, setiap naskhah dilihat masih mengekalkan dasar cerita pokoknya dan hanya berlaku perbezaan melalui episod tertentu dan nama-nama sesetengah watak sampingan.

Disebabkan itu, naskhah Che Mat Jusoh ini mempunyai campuran antara versi Melayu, Thai dan Jawa.

Sususan terkini Hikayat Maharaja Seri Rama oleh Che Mat Jusoh ini mengekalkan penggunaan bahasa Melayu klasik.

Pada awalnya mungkin ada pembaca yang berasa sedikit janggal dengan beberapa perkataan lama, tetapi hal itu sebenarnya tidak menjadi masalah kerana nota kaki yang disediakan sangat membantu dalam menjelaskan maksud perkataan dan latar setiap peristiwa.

Lama-kelamaan, pembaca akan mula membiasakan diri dengan bahasa klasik, malah dapat menikmati keindahan gaya bahasa yang sukar ditemui dalam karya moden pada hari ini.

Hikayat Maharaja Seri Rama turut membuka ruang kepada generasi kini untuk memahami pemikiran masyarakat Melayu pada zaman dahulu.

Melalui watak-watak dan peristiwa yang dipaparkan, kita dapat melihat bagaimana konsep kesetiaan, kepimpinan, keberanian dan maruah diberikan kedudukan yang begitu tinggi dalam kehidupan.

Karya seperti ini bukan sahaja penting sebagai bahan bacaan, malah menjadi platform untuk memahami sejarah pemikiran dan perkembangan budaya masyarakat Melayu.

Selain itu, hikayat ini juga memberikan pengalaman yang berbeza berbanding novel moden. Rentak penceritaannya mungkin lebih perlahan, namun setiap konflik dibina dengan penuh teliti.

Ia membolehkan pembaca berpeluang menghayati perkembangan watak serta memahami makna di sebalik setiap tindakan yang diambil oleh mereka.

Inisiatif menerbitkan semula hikayat ini juga wajar diberikan penghargaan yang besar. Proses menyiapkan naskhah ini yang diterbitkan oleh Nusa Centre ini dikatakan mengambil masa hampir enam tahun, termasuk kerja-kerja transliterasi daripada tulisan Jawi kepada tulisan Rumi oleh Che Mat Jusoh sendiri.

Proses tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap perkataan perlu diteliti agar makna asalnya tidak berubah.

Hasilnya, pembaca hari ini dapat menikmati sebuah hikayat klasik yang mungkin akan lenyap begitu sahaja jika tiada inisiatif sedemikian dilaksanakan.

Sambutan yang diterima terhadap naskhah ini cukup memberangsangkan kerana naskhah ini telah habis dijual di reruai Nusa Centre ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL2026).

Sambutan tersebut menunjukkan bahawa karya klasik Melayu sebenarnya masih menerima sambutan dan diburu oleh para peminatnya.

Malah, terdapat sekelompok anak muda turut menunjukkan minat terhadap hikayat ini dan tidak melepaskan peluang untuk memilikinya.

Hal ini sudah tentu perlu diteruskan supaya dapat menarik lebih ramai generasi muda meminati karya sebegini, bak kata pepatah “sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit.”

Hakikatnya, penerbitan semula karya-karya agung dalam tulisan Rumi merupakan satu inisiatif yang sangat penting pada masa kini.

Tidak dapat dinafikan bahawa semakin ramai generasi muda hari ini kurang mahir untuk membaca tulisan Jawi.

Jika karya-karya lama terus kekal dalam bentuk manuskrip asal tanpa usaha transliterasi, ada kemungkinan khazanah ilmu tersebut hanya akan menjadi bahan simpanan di perpustakaan dan dibelek untuk kegunaan sarjana dan pengkaji sahaja.

Inisiatif transliterasi bukan untuk melupakan tulisan Jawi atau merendahkan martabah tulisan tersebut, sebaliknya bertujuan untuk menghidupkan semula minat masyarakat untuk mengenali khazanah lama.

Justeru, inisiatif Nusa Centre dengan kerjasama MOTAC menerbitkan hikayat ini telah membuka peluang kepada lebih ramai pembaca untuk mengenali warisan sastera Melayu dengan lebih mendalam.

Semoga penerbitan Hikayat Maharaja Seri Rama ini menjadi titik permulaan untuk menghidupkan kembali khazanah-khazanah yang hampir ditelan zaman.

Walaupun kisah ini berasal dari India, dirinya merupakan sebahagian daripada khazanah dan identiti kesusasteraan Melayu yang sangat bermakna.

Barangkali, inilah masa yang paling tepat untuk kita semua kembali membelek karya-karya agung dalam kesusasteraan Melayu kerana di situlah tersimpannya 1001 warisan nenek moyang yang masih bernafas dan menunggu untuk terus dihargai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *