Menelusuri sejarah, warisan, jati diri bangsa dalam sebuah rumah

Ceritasebuahrumah

Dalam dunia Sastera Melayu kontemporari, novel yang mengangkat sejarah bangsa sering menjadi medium penting untuk menghubungkan generasi hari ini dengan sejarah masa lalu.

Karya-karya ini bukan sahaja menghidupkan kembali peristiwa sejarah, malah mengajak pembaca merenung kesan penjajahan, perubahan sosial dan pencarian identiti yang masih berbekas sehingga kini.

Seiring dengan kecenderungan tersebut, novel Cerita Sebuah Rumah karya S.M. Zakir tampil sebagai sebuah karya yang memperlihatkan hubungan erat antara sejarah, keluarga dan tanah air melalui simbol sebuah rumah yang sarat dengan makna.

Novel ini mengangkat kisah tiga generasi sebuah keluarga yang melalui pelbagai perubahan zaman, bermula daripada era penjajahan sehingga kepada kehidupan masyarakat moden.

Namun, kekuatan karya ini bukan terletak pada kisah kekeluargaan semata-mata, sebaliknya penulisan S.M. Zakir menjadikan “rumah” sebagai lambang kepada warisan, sejarah dan jati diri bangsa.

Cerita bermula dengan perjuangan dan kepimpinan Sultan Taha dalam mempertahankan tanah Jambi daripada dijajah Belanda.

Melalui kisah perjuangan Sultan Taha, penulis cuba menyampaikan bahawa sejarah bukan sekadar himpunan peristiwa yang telah berlalu, sebaliknya merupakan sumber pengajaran yang membentuk jati diri sesuatu bangsa.

Watak Sultan Taha diangkat sebagai simbol seorang pemimpin yang sanggup mempertaruhkan segala-galanya demi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara daripada penjajahan Belanda.

Pengarang memperlihatkan bahawa kepimpinan yang sejati bukan diukur melalui kekuatan ketenteraan atau kekayaan sesebuah kerajaan, tetapi melalui keberanian mempertahankan prinsip, kesanggupan berkorban serta kesetiaan kepada rakyat dan tanah air.

Kemudian diteruskan dengan kisah Ismail, seorang kanak-kanak daripada keturunan Sultan Taha dan bangsawan Jambi Indonesia yang terpaksa meninggalkan tanah air akibat peperangan menentang penjajah Belanda.

Dalam keadaan huru-hara tersebut, beliau dibawa ke negera seberang sebelum dibesarkan sebagai anak angkat kepada seorang pengurus estet getah berbangsa Inggeris.

Walaupun membesar dalam suasana budaya yang berbeza dan akhirnya membina kehidupan baharu, Ismail tidak pernah melupakan asal-usulnya. Kerinduan terhadap tanah air menjadi perasaan yang sentiasa membayangi kehidupannya.

Kisah tersebut kemudiannya berkembang kepada kehidupan anaknya, Azhari, dan seterusnya cucunya, Saifuddin.

Melalui perjalanan tiga generasi ini, pembaca dibawa menyaksikan perubahan masyarakat daripada zaman penjajahan kapitalisme yang amat kuat kepada era kemerdekaan, pembangunan ekonomi dan kemodenan.

Setiap generasi berhadapan cabaran yang berbeza, namun semuanya tetap terikat dengan sejarah yang diwariskan oleh generasi terdahulu.

Simbolik “rumah” yang dimaksudkan dalam novel ini bukan sekadar tempat berteduh atau kediaman fizikal, Sebaliknya, menjadi lambang kepada tanah air, keluarga, memori dan kesinambungan sejarah.

Ia menjadi menjadi ruang yang menyimpan pelbagai kisah kehidupan, menjadi saksi kepada perubahan zaman, malah melambangkan akar identiti yang tidak mudah diputuskan walaupun seseorang terpisah jauh daripada tempat asalnya.

Melalui simbol tersebut, penulis mengajak pembaca memahami bahawa sesebuah bangsa tidak dapat dipisahkan daripada sejarahnya.

Sebagaimana “rumah” menjadi tempat seseorang kembali setelah melalui pelbagai pengalaman hidup, sejarah juga menjadi asas yang membentuk identiti sesebuah masyarakat.

Tanpa memahami sejarah (baca: “rumah”), manusia akan kehilangan arah dan mudah terputus daripada akar budayanya sendiri.

Dalam masa yang sama, novel ini turut mengemukakan kritikan terhadap perkembangan kapitalisme yang semakin mempengaruhi kehidupan masyarakat moden.

Pengarang memperlihatkan bagaimana pembangunan ekonomi membawa pelbagai perubahan terhadap hubungan kekeluargaan, pemilikan tanah dan nilai kemanusiaan.

Kemajuan yang dicapai tidak semestinya membawa kebahagiaan sekiranya manusia semakin jauh daripada akar sejarah dan nilai budaya yang diwarisi.

Ismail, sebagai watak utama generasi kedua, menjadi lambang individu yang kehilangan tanah asal tetapi tidak pernah kehilangan jati dirinya.

Walaupun menjalani kehidupan dalam lingkungan budaya yang berbeza, Ismail tetap menyimpan harapan untuk kembali kepada tanah asal-usulnya.

Anaknya, Azhari, mewakili generasi yang membesar ketika masyarakat sedang bergerak menuju kemerdekaan dan pembangunan negara.

Sementara itu, Saifuddin menjadi simbol generasi moden yang berusaha memahami sejarah keluarganya sendiri dalam dunia yang semakin berubah.

Melalui ketiga-tiga watak ini, penulis memperlihatkan bahawa identiti seseorang bukan hanya dibentuk oleh tempat tinggal atau zaman yang dilaluinya, tetapi juga oleh sejarah keluarga yang diwarisi.

Hubungan antara generasi menjadi tunjang utama kepada pembinaan jati diri, sekali gus menunjukkan bahawa sejarah bukan sekadar catatan masa lalu, malah menjadi panduan untuk menghadapi masa depan.

Novel Cerita Sebuah Rumah memperlihatkan kekuatan bahasa yang puitis, fakta sejarah dan falsafah. Pengarang tidak terlalu bergantung pada dialog atau konflik dramatik.

Sebaliknya kekuatan novel ini terletak pada naratif yang perlahan tetapi padat dengan makna.

Pembaca diajak menelusuri perjalanan sejarah secara beransur-ansur sambil merenungi persoalan tentang kehidupan, kehilangan, tanah air dan makna sebuah warisan.

Karya ini juga memperlihatkan kecenderungan penulis untuk menggabungkan unsur sejarah, politik, ekonomi dan falsafah dalam sebuah naratif yang saling berkait.

Penulis tidak sekadar menceritakan perjalanan hidup watak-wataknya, malah menggunakan pengalaman mereka sebagai cerminan kepada perjalanan bangsa Melayu sepanjang berhadapan dengan penjajahan, perubahan sistem ekonomi dan cabaran pembangunan moden.

Dalam konteks sastera Melayu kontemporari, novel Cerita Sebuah Rumah membuktikan bahawa novel sejarah masih mempunyai tempat yang penting dalam membina kesedaran masyarakat.

Novel ini mengingatkan pembaca bahawa sejarah bukan sekadar kisah yang berlaku pada masa lampau, tetapi merupakan pengalaman yang terus mempengaruhi kehidupan generasi hari ini.

Melalui sebuah “rumah”, S.M. Zakir berjaya menyampaikan mesej bahawa warisan, tanah air dan identiti merupakan asas yang perlu dipertahankan agar bangsa tidak kehilangan arah dalam arus perubahan zaman.

Cerita Sebuah Rumah bukan sekadar sebuah novel yang memaparkan kehidupan sebuah keluarga, malah merupakan karya yang mengangkat sejarah bangsa melalui penggunaan simbolisme yang mendalam bagi menelusuri persoalan identiti, warisan dan jati diri.

Dengan menjadikan rumah sebagai metafora kepada identiti dan warisan, S.M. Zakir mengajak masyarakat menghargai sejarah sebagai asas pembinaan masa depan.

Karya ini sekali gus memperkukuhkan kedudukan novel sejarah sebagai medium penting dalam memperkaya khazanah sastera Melayu serta menyemai kesedaran tentang pentingnya memahami asal-usul demi membina sebuah bangsa yang lebih kukuh dan berjati diri.

Lebih menarik, Cerita Sebuah Rumah bukan sekadar sebuah karya fiksyen sejarah, tetapi diilhamkan daripada kisah benar yang berakar daripada susur galur keluarga S.M. Zakir sendiri, sekali gus memberikan nilai sejarah dan autentik yang lebih mendalam kepada penceritaannya.

Dapatkan Cerita Sebuah Rumah di Shopee Nusa Centre.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *