Deklarasi Kuala Lumpur Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35

Ipadeklarasi

Pada penutupan Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35, Deklarasi Kuala Lumpur diumumkan.

Kami, para peserta Kongres Penerbit Antarabangsa Ke-35 di Kuala Lumpur, yang mewakili komuniti penerbitan global, menegaskan semula komitmen bersama kami terhadap nilai berkekalan penerbitan sebagai tonggak penciptaan dan perkongsian ilmu, budaya serta demokrasi. Sebagai respons terhadap peluang dan cabaran yang telah dibincangkan sepanjang kongres ini, kami menerima pakai prinsip dan tindakan berikut:

  1. Mempertahankan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang beretika dan bertanggungjawab dalam penerbitan
    • Kami komited untuk mengekalkan ketelusan dan integriti editorial dalam era kecerdasan buatan (AI), di samping memanfaatkan potensinya bagi menambah baik proses serta impak penerbitan. Kami menyeru para pembangun AI dan platform teknologi supaya menghormati kerangka hak cipta dengan memperoleh kebenaran yang jelas serta memastikan imbuhan yang adil sebelum menggunakan kandungan proprietari milik penerbit. Kami juga menyeru agar mereka bekerjasama dengan penerbit dalam memerangi maklumat palsu serta memelihara kepercayaan awam.
  2. Mempertahankan kebebasan untuk menerbitkan sebagai tanggungjawab harian penerbit
    • Kami menegaskan semula bahawa kebebasan bersuara, kebebasan membaca dan kebebasan untuk menerbitkan merupakan prinsip yang tidak boleh dikompromi. Kami beriltizam untuk menentang penapisan, menyokong penerbit yang ditindas serta memperkukuh inisiatif solidariti di peringkat global.
  3. Memperkasa literasi dan ekosistem pembacaan
    • Kami mengiktiraf keperluan mendesak untuk menamatkan krisis pembacaan dan merapatkan jurang literasi global. Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan, pendidik dan masyarakat sivil bagi meletakkan literasi serta budaya membaca demi keseronokan sebagai asas kepada pendidikan, kemanusiaan dan mobiliti sosial.
  4. Menjadi teras kepada dasar pendidikan
    • Kami menyeru kerajaan dan institusi di seluruh dunia agar melibatkan komuniti penerbitan dalam merangka dasar dan proses yang memperkukuh ekosistem penerbitan pendidikan, dengan menghormati hak harta intelek, demi mencapai hasil pendidikan yang positif dan berkekalan.
  5. Memperjuangkan keterangkuman, kepelbagaian dan rasa kebersamaan
    • Kami komited untuk mewujudkan dunia penerbitan yang inklusif dari sudut budaya, bahasa dan demografi, di mana warga industri penerbitan merasakan diri mereka dihargai dan menjadi sebahagian daripada komuniti. Kami juga beriltizam agar penerbit yang inklusif menerbitkan buku-buku yang inklusif untuk khalayak pembaca yang inklusif. Selain itu, kami mengangkat nilai karya sastera dalam bahasa-bahasa peribumi serta bahasa yang kurang diberikan perhatian, yang mencerminkan kepelbagaian penuh pengalaman manusia.
  6. Membudayakan Kebolehcapaian dan Keterangkuman
    • Kami akan memajukan penerbitan yang mudah dicapai dengan memanfaatkan teknologi, alat dan piawaian baharu bagi memastikan semua pembaca, termasuk individu yang mengalami ketidakupayaan untuk membaca bahan bercetak, dapat mengambil bahagian sepenuhnya dalam kehidupan budaya dan pendidikan.
  7. Bertindak ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), termasuk tanggungjawab terhadap iklim
    • Kami mengiktiraf peranan industri penerbitan dalam meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs). Kami komited untuk menjalin kerjasama, mengamalkan amalan perniagaan yang bertanggungjawab serta menghasilkan karya yang menggalakkan wacana awam yang berasaskan maklumat dan tindakan kolektif.
  8. Membina kerjasama
    • Kami komited untuk membina kerjasama merentas sektor, di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, bagi merealisasikan prinsip-prinsip dan tindakan yang digariskan dalam deklarasi ini.

Penutup

Bersama-sama, kami menegaskan semula peranan penerbitan sebagai jambatan yang dipercayai dan menjadi asas yang menghubungkan ilmu pengetahuan dengan masyarakat. Kami komited untuk membina kerjasama di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, menggalakkan inovasi yang berteraskan integriti, memperkukuh kerjasama rentas sempadan serta memikul tanggungjawab bersama dalam membentuk masa depan yang lebih berilmu, inklusif dan mampan demi manfaat para pembaca di seluruh dunia.

Tagged:
Sources:IPA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *