Saya mengenal istilah novela daripada MochaMoka inc dengan novela-novela oleh Stereo Genmai Ridhwan Saidi, 86 Wan Nor Azriq, Insta Syahmi Fadzil, Rebel Saat Omar dan Polaroid Mohd Azmen.
Daripada novela-novela ini juga saya diperkenalkan bentuk-bentuk novela yang tidak konvensional.
Seperti novel juga, ia boleh datang dalam pelbagai bentuk. Stereo Genmai adalah campuran gambar, cerita dan esei. Manakala Insta adalah cerita, gambar dan caption.
Mungkin yang paling konvensional adalah Rebel yang merupakan novel yang lebih pendek dan Polaroid yang merupakan cerpen yang panjang, ataupun menurut penulis, dua cerpen yang dicantumkan menjadi sebuah novela.
Malam di Alime pula adalah empat buah cerpen yang mengambil tempat di Kafe Buku Alime—sebuah kafe yang berurusan pada waktu malam hingga pagi.
Secara keseluruhan, ia adalah kisah Adam, seorang barista yang mempunyai kebolehan untuk melihat warna jantung seseorang.
Jika jantung yang dilihatnya berwarna biru, maka tempoh hayat pemilik jantung sudah berada di hujung tanduk.
Jika yang dilihatnya berwarna hitam pula, bermaksud pemilik jantung itu sudah pergi meninggalkan dunia fana.
Dalam setiap cerpen ini pula, didatangkan watak-watak yang meneraju cerita iaitu Gadis Berkerudung Lilac, Lelaki Berhati Sembilu, Lelaki Aspal Jalanan dan Perempuan Seribu Duka.
Pembaca boleh memilih mana-mana cerpen untuk dibaca terlebih dahulu, tetapi untuk mendapat cerita yang paling lengkap, adalah terbaik untuk membacanya mengikut turutan.
Membaca Malam di Alime membuat pembaca seperti menonton sebuah anime yang datang dalam bentuk bersiri.
Cukup untuk menonton salah satu episod, kita sudah boleh mendapatkan bayangan tentang apa yang ingin dibawa oleh keseluruhan siri.
Seperti novel Nadhirah Ghani sebelum ini, Malam di Alime membawa tema kekeluargaan dan hubungan percintaan.
Konflik-konfliknya pula datang daripada perhubungan luaran manusia yang memberi kesan kepada dalaman mereka.
Untuk pembaca, saya akan memberitahu novela ini adalah bertemakan kematian. Dalam empat bahagian/bab novela ini, sekurang-kurangnya empat orang terputus nyawanya atau hampir-hampir putus.
Kematian-kematian ini pula datang sama ada dari penyakit atau kemurungan. Kita lihat kemungkinan Gadis Bertudung Lilac, Aida untuk mencabut nyawa sendiri oleh tekanan hidup dan hubungan tidak baik dengan kakaknya.
Lelaki Berhati Sembilu, Lukman yang mati oleh barah. Lelaki Aspal Jalanan, Farid adalah gelandangan yang jatuh cinta dan cuba melarikan diri daripada kematian dengan menyelamatkan orang lain.
Perempuan Seribu Duka pula adalah emak yang gagal di mata anaknya tetapi berjaya di mata mereka yang tidak sedarah.
Dengan semua kematian yang menghurung novela ini, Malam di Alime sebenarnya bukanlah tentang kematian, sebaliknya bagaimana setelah segalanya mengheret kita kepada kematian, harapan akan memimpin kita kembali kepada kehidupan.
Pada bahagian pertama, kita lihat kematian sentiasa berada di samping Aida. Dengan senjata yang ada dalam beg tangan, hanya perlukan pemicu untuk ia menyelar nyawa.
Namun begitu, harapan juga sering berada di sisinya. Aida tidak memerlukan banyak, mungkin hanya kepercayaan daripada kakaknya atau sokongan cuma.
Dan ia berlaku dengan agak mudah, hanya percakapan dan pemahaman. Itu sahaja sudah mampu menarik Aida dari jurang maut.
Kisah ini juga satu kritikan kepada masyarakat. Tentang ketidakpedulian kepada tekanan yang boleh tumbuh besar hingga akhirnya menjadi depresi yang akan membawa kepada pembunuhan diri.
Malah, ia juga kritikan kepada mereka yang berkeluarga. Bahawa orang terdekat tidak semestinya memahami apa yang bergelora di hati ahli keluarga yang lain.
Mungkin sahaja, perbuatan dan kata-kata mereka itulah yang membarahkan lagi sakit sedia ada.
Lukman pula perlu membunuh egonya terlebih dahulu sebelum boleh dia hidup selamanya. Egolah yang membuat Lukman memutuskan hubungan dengan Khadija.
Ego seorang lelaki yang tidak mahu melihat Sang Kekasih bersedih kerananya. Maka tembok demi tembok penipuan dibina.
Namun tidak Lukman sedar, dengan meruntuhkan tembok tersebut dan berterus terang, dia akan hidup selamanya sebagai kenangan indah Khadija.
Kita lihat kesalahan jejaka dalam novel cinta klasik dibetulkan di sini. Tiada Amli yang kehilangan Hartini kerana perasaan ragu yang menghalangnya dalam Hartini.
Tiada Zainudin yang kehilangan Hayati kerana ego yang menghatibatukannya dalam Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk.
Dan tiada Patmabi yang kehilangan Pakwan kerana ego Pakwan yang tidak mahu pulang ke rumah Patmabi dalam Aci Patmabi. Adakalanya, kekalahan ego adalah kemenangan lelaki.
Seterusnya, Farid yang telah putus harap, menjumpai kembali jalan ke arah cahaya hayat kerana cinta kepada seorang gadis. Yang mati dahulu dalam kisah Farid adalah kepercayaan dek dibunuh dengan kejam oleh pengkhianatan.
Pengkhianatan itu pula perlahan-lahan memamah keinginan Farid untuk bertahan hidup. Sehinggalah dia menjumpai Kafe Buku Alime dan berkenalan dengan Dhia, seorang mahasiswa yang mencari bahan rujukan di Kafe Buku Alime.
Sejak itu cahaya hayat kembali menyala dalam sukmanya. Kerana kini, dia bukan sahaja hidup untuk diri sendiri, tetapi juga demi seseorang yang amat dicintainya.
Pada bahagian terakhir, kita diperlihatkan bahawa hanya selepas kematian Puan Sarimah, barulah jiwa seorang anak milik Salina dapat hidup kembali.
Hidup Salina sentiasa dibungkus dengan perasaan benci dan mempersalahkan ibunya atas kematian bapa.
Bahkan di hujung nyawa Puan Sarimah, Salina tidak terlihat terkilan. Sebaliknya mendatangi acara pengebumian itu dengan hati yang kosong.
Ayat “mama jahat,” yang keluar dari mulut anaknya, menjadi titik tolak kesedaran Salina.
Bahawa dia juga takut jika perbuatannya kepada Puan Sarimah berulang ke atasnya. Hanya selepas itu, barulah Salina tergerak untuk mencari wasiat Puan Sarimah di Kafe Buku Alime lalu memaafkan ibunya.
Ayat "mama jahat" ini juga boleh dianggap satu kritikan kepada Si Anak atau orang muda.
Kadang, kita terlalu mudah mengecam perbuatan ibu bapa. Sedang kita hanya melihat daripada mata seorang anak, bukan kaca mata mereka.
Akhir kalam, di Malam di Alime merah adalah kehidupan dan biru adalah kematian.
Namun kulit bukunya berwarna ungu menunjukkan bahawa di dalamnya, kematian dan kehidupan saling bergaul.
Dapatkan Malam di Alime di Shopee Nusa Centre.












