Yang kencing itu seni, yang berbaju kurung Kedah itu bukan

Aliffawan

Satu hari, saya singgah ke Jalan Panggung, Kuala Lumpur. Saya lupa ada acara apa, tetapi bertemankan seorang rakan berjalan-jalan, kami tiba ke sana. Bertepatan kami tiba itu, ada seorang mamat berambut afro—yang dahulunya tidak sebesar sekarang rambutnya—sedang menyampaikan puisi (setepatnya mempersembahkan sebuah puisi).

Membuka puisinya, roh seni Aliff Awan begitu menggelikan hati saya. Mana tidaknya, saya sebelum ini hanya budak kampung—yang belajar diploma di kawasan pedalaman, dan ketika itu menyambung pengajian di ibu kota—pertama kali melihat deklamasi (baca: persembahan) puisi yang sebegitu di depan mata.

Sebelum ini, saya hanya menontonnya dalam Youtube, tapi mungkin hanya seorang, Ayam Fared.

Sedang mempersembahkan puisi itu, Awan cuba berinteraksi dengan penontonnya. Dia cuba menarik perhatian penonton untuk mengikutinya ke satu tempat. Saya kaget kerana tidak tahu ingin merespons apa. Disebabkan penonton sekitar menyahut seruan si penyair, maka saya ikut sama tanpa memahami apa yang sedang berlaku.

Aliff Awan berlari ke sana dan ke sini. Kekaguman saya hanya satu, stamina Awan begitu cemerlang. Ditambah lagi gaya bacaan dan projeksi suara dan lenggok bacaan puisi stailnya, ini bukan hasil latihan dua tiga hari.

Habis sahaja persembahannya, Awan menerima tepukan gemuruh. Semua orang memandang tinggi terhadapnya—sebab pengakhiran lokasinya, Awan berada di lantai dua.

Saya tidak ketawa dengan tontonan seperti itu. Tetapi saya hanya tidak memahaminya. Mungkin dalam diri saya, ia sebuah persembahan yang aneh.

Beberapa masa berlalu, saya dapat menonton dua tiga lagi persembahan Aliff Awan di beberapa tempat.

Ada gayanya senyap dua minit membaca puisi “Sepi” karya T. Alias Taib.

Ada ketika semua penonton discam olehnya kerana dia secara harfiahnya menghilangkan diri ketika membaca puisi sehingga kami terpinga-pinga sama ada persembahannnya telah selesai atau belum.

Image 1
Puisi “Sepi” oleh T. Alias Taib. Sumber: pusakaalias

Di atas saya bukan mahu menulis advance obituari mengenai rakan saya, Aliff Awan, tetapi ia sebuah contoh yang terbaik.

Di Threads beberapa hari lalu, lalu satu lagi rakaman Awan membaca puisinya. Awan, seperti biasa dengan persembahan gayanya, kali ini mengenakan baju kurung Kedah.

Di bahagian komen, terdapat banyak cemuhan. Daripada cemuhan-cemuhan ini, saya dapat simpulkan hanya satu, dalam pepatah Arab pernah menyebut, “manusia takut kepada perkara yang tidak diketahuinya.”

Persembahan Aliff Awan ialah ekspresi seni lukisan abstrak dalam golongan pengkarya seni halus. Ini kata Jack Malik dalam Threads.

Lukisan abstrak datang dalam tahun 1900, daripada lukisan ini, pada Perang Dunia Pertama, lahir isme baru, Dadaisme.

Anda boleh meng-Google sahaja apa itu Dadaisme. Secara mudahnya, Dadaisme adalah ideologi seni yang anti seni. Pelopor asalnya, seorang artis, Marcel Duchamp meletakkan tempat kencing lelaki (urinal) di atas meja dan menamakan ia sebagai karya seni. Maka lahirlah art berat yang paling ikonik bernama Fountian (1917).

Image
Fountain oleh Marcel Duchamp, 1917. Sumber: Tate.

Dan lagi, kita banyak melihat lukisan black on black, white on white. Dan mungkin dalam 10 tahun ke belakang ini, kita digemparkan dengan conceptual artwork oleh Marcel Duchamp yang menyelotip pisang di dinding.

Apa jadahkah semua ini?

Bagi saya, inilah “seni untuk seni”. Macam mana sekalipun anda cuba meobjektif atau merasionalkan tindakan-tindakan artis ini, hanya kad “seni untuk seni”lah yang paling senang untuk digunakan.

Ketularan video persembahan Aliff Awan itu hanyalah sebahagian kecil yang orang awam pernah tengok. Mungkin tidak keterlaluan saya boleh bet, sebilangan golongan yang meminati bahan bacaan sastera pun tidak biasa dengan persembahan seperti itu.

Bagaimana seorang Awan yang mempunyai stailnya tersendiri, ditambah dengan energinya yang tidak putus-putus itu boleh dicemuh sedemikian, sedangkan dalam masa yang sama anda boleh “menikmati dengan tenang” pameran lukisan-lukisan di Balai Seni Negara?

Mungkin bukan level yang sama, tetapi bagi saya, persembahan Awan membaca “Sepi” karya T. Alias Taib itu adalah persis lukisan Kanvas Kosong—sebuah “lukisan” kosong yang ikonik oleh Redza Piyadasa yang kini masih ada di Balai. Bersebelahan lukisan itu adalah Sangkar Burung karya rakannya, Sulaiman Esa.

Dua buah “lukisan” ini antara sejarah seni yang paling power pernah berlaku dalam sejarah seni negara kita. Asal dua lukisan itu ialah dari pameran Mystical Reality (1974). Dalam pameran itu, penyair handalan tanah air, Salleh Ben Joned secara harfiahnya mengencing ke salah satu bahan pameran itu. (Banyak periwayatan pasal cerita ini, ada yang kata kencing pada pasu bunga, ada yang kata pada lukisan, ada yang kata pada artwork statement. Tapi ini tidak penting, yang penting memang Salleh Ben Joned kencing!).

Image
Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa, “Mystical Reality” (1974). Sumber: Vision and Idea: Relooking Modern Malaysian Art. 1994. Kuala Lumpur: National Art Gallery).

Peristiwa itu mendatangkan hal-hal besar dalam dunia seni kita seperti debat Piyadasa dengan beberapa handalan lain dan mendapat sambutan, sama ada respons atau serangan balas. Cerita panjang boleh rujuk Faizal Sidik.

Adakah Aliff Awan bukan Piyadasa? Ya, dia bukan Piyadasa, tetapi ada hal yang kita tidak faham bukan semestinya ia salah, tetapi kita tidak mahu memahaminya.

Dan lagi, sama seperti lukisan abstrak, kita tidak perlu memahaminya, hanya perlu menikmatinya.

Ada juga komentar lucu yang saya baca, katanya lebih kurang, “A. Samad Said boleh saja berpuisi dengan biasa-biasa, kenapa dia nak berpuisi semacam ini.”

Kanvaskosong
Kanvas Kosong, Redza Piyadasa. Foto: naimalkalantani.

Ia menjadi lucu kerana kita “hanya” mengenali A. Samad Said sebagai penyair yang ada. Ia juga lucu kerana pengalaman dalam dunia sastera yang pelbagai—seperti pelbagainya aliran seni halus—tidak diraikan secara seimbang.

Ada jurang yang luas dalam menghubungkan dua seni ini dalam golongan anak muda (sekadar penilaian awal terhadap muda yang menggunakan Threads). Padahal kita pernah berantakan maha dasyat dalam membicarakan dua seni ini ketika 1974 dahulu.

Dunia sastera dan seni bukan hanya dalam apa yang kita tahu. Ada banyak hal lagi dalam dunia sastera yang kita boleh telusuri. Dunia-dunia itu mungkin aneh, tetapi jadikan ia bahan yang membawa makna kepada anda.

Makna yang bagaimana? Itu anda sendiri yang tentukan.

Saya harap satu hari nanti Aliff Awan akan kencing untuk mengekspresikan keseniannya, barulah masyarakat kita menganggap ia sebuah seni.

  • Ketua Pengarang

    Pemerhati sastera dan budaya dari dalam. Boleh dihubungi melalui editor@titikbaca.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *