Saya secara peribadinya ada soft spot dengan pekerjaan wartawan. Ia merupakan kerja pertama saya setelah tamat pengajian ijazah sarjana muda.
Apabila ditawarkan pekerjaan itu, saya tiada pengalaman menulis berita. Sebelum ini, “berita” menjadi hal sepele dalam hidup saya—bahkan mungkin juga dalam hidup kalian. Walhal setiap hari kita disajikan dengan berita-berita yang lalu dalam media sosial.
Untuk mengetahui isu semasa yang sahih, berita adalah sumbernya. Pelbagai media rasmi atau swasta menyajikan berita setiap beberapa minit dan akan lalu di media sosial. Kita tidak perlu lalu melayari laman web media mereka untuk membaca, tetapi hanya perlu “tunggu” lalu di feed dan mengetiknya untuk bacaan lanjut.
Apabila sudah bergelut dalam dunia media dan kewartawanan, berita bukan lagi hal picisan, ia adalah satu kuasa.
Menjejakkan kaki ke alam kewartawanan sangat menerujakan. Kad media diibaratkan seperti kad “all access“, dipakai apabila membuat liputan.
Tambah-tambah lagi pekerjaan saya selaku wartawan politik memang kena dengan jiwa yang ada kecenderungan tinggi untuk bergelut dalam arena ini.
Dalam rentang masa menjawat sebagai wartawan politik yang tidaklah lama itu, saya sempat sedikit belajar sepak terajang kewartawanan. Dalam pada itu juga, saya cuba meminati hal-hal kewartawanan walaupun tidak di ajar di kampus dulu mengenai komunikasi massa.
Dengan pengajian sastera, saya mengenali Pak Samad (A. Samad Ismail, dan ya, ini Pak Samad sebenar), tetapi tidak pernah teringin hendak membaca karyanya.
Dalam tempoh inilah saya mengenali sejarah media tempatan dan juga Pak Samad melalui bukunya Memoir A. Samad Ismail di Singapura.
Dalam bacaan itu, saya dapat mengenal dua tokoh sasterawan-wartawan iaitu Pak Samad dan gurunya, Kajai.
Kedua-dua tokoh inilah yang menyebabkan saya sehingga kini masih berminat dengan dunia kewartawanan, media dan akhbar walaupun secara sambilan.
Apabila buku-buku kewartawanan terbit, lebih-lebih lagi bersifat kreatif, saya cuba dapatkannnya.
Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 baru-baru ini, kumcer terkini pengarang berita (rencana) Berita Harian, Nazmi Yaakub diterbitkan oleh Smart Forum.
Melalui blurb kumcer Seberat Tangan Tuan Pengarang memikat hati. Kesemua 10 cerpen di dalam ini mengenai media, wartawan dan pengarang.
Bukunya tidaklah tebal mana. Tetapi hampir kesemua cerpen di dalamnya saya suka.
Saya tidak pasti sama ada penulis sedar atau tidak ketika menggunakan judul kumcer ini.
Pengarang. Apabila disebut pengarang, dengan latar zaman ini, ia lebih dikenali sebagai penulis (author). Pengarang adalah penulis. Itulah konotasi zaman ini.
Istilah pengarang asalnya bukan dikenali sebagai penulis. Jika anda membaca berkenaan kewartawanan di zaman Kajai atau Pak Samad yang disebutkan tadi, julukan “pengarang” diberikan kepada editor, bukan penulis.
Mungkin pembaca awam akan berasa keliru dengan istilah ini apabila membaca judul kumcer ini dan beberapa buah cerpen di dalamnya.
Jadi, sama ada sedar atau tidak, penulis sebenarnya telah mengembalikan nostalgia—atau sekurang-kurangnya mengekalkan tradisi—pengarang di sini membawa maksud editor.
Jika tidak salah, konsep ini masih terpakai di dalam media. Sebagai contohnya Nazmi Yaakub masih menggunakan nama jawatan sebagai “pengarang berita”. Dan bagi saya, istilah “pengarang” ini lebih cool.
Sepuluhan cerpen di dalam ini ada yang bersifat realisme magis. Dan saya katakan, ia menjadi.

Pembaca terus disajikan cerpen yang sedap dalam cerpen pertama lagi. Watak pengarang dalam cerpen pertama, apabila dia membenarkan berita yang salah disiarkan, tangannya menjadi semakin berat.
Dalam cerpen ini juga pembaca boleh bertukar istilah, pengarang (penulis) kepada pengarang (editor). Dan seperti cerita dalam cerpen ini juga, dalam dunia nyata, itulah tugas editor berita atau media.
Cerpen “Yang Menulis, Yang Ditulis” dan “Yang Menulis, Yang Ditulis 2” merupakan noir. Cerpen ini sedikit mellow di awal cerita, tetapi ada pengakhiran yang menarik.
Saya menghela nafas lega apabila membaca dua cerpen bersifat drama ini kerana ada juga cerpen yang diakhiri dengan watak utama yang “tidak bermoral”.
Kedua-dua cerpen noir ini mengingatkan saya dengan kerjaya lama saya tadi. Saya ingat-ingat lupa siapa yang beritahu, tetapi mungkin wartawan atau pengarang media veteran, “Wartawan yang bagus ialah dia dah ada jawapan kepada soalan yang akan ditanya.”
Pengakhiran dua cerpen itu saya dapat kaitkan dengan diri saya. Bahkan banyak ketika saya sudah ada dalam kepala tajuk berita dan isinya sebelum saya buat temu bual lagi.
Dalam cerpen “Buku Nota Halim Melquiades”, premisnya terletak pada ayat pertamanya, “Kalau tidak disiarkan di akhbar ini, peristiwa itu tidak pernah berlaku.”
Banyak yang saya fikirkan dengan ayat ini. Kenyataan ini mengimbau kembali zaman saya bertugas. Ada hal yang kami “sorok” dan ada hal yang kami siar. Ia adalah keperluan media masing-masing untuk membawa naratif apa dalam melalui saluran tersebut.
Ia tidak salah dan juga tidak betul. Media bukan memegang kebenaran, tetapi media boleh memanipulasi kebenaran dan kepalsuan sekali gus.
Dalam cerpen “Permit Akhbar Tersakiti”, saya rasa cerpen ini ada humornya tersendiri. Hendak dikata cerpen ini dalam, tidaklah sedalam mana, tetapi saya dapat apa yang nak disampaikan penulis. Disebabkan itulah, saya rasa cerpen ini ada humornya.
Genre kewartawanan sebegini mungkin ada yang tidak meminatinya. Tetapi kebijakan penulis, dia memasukkan noir dan realisme magis ke dalam cerpen-cerpen ini dan menjadikan ia menarik.
Berbeza dengan Pak Samad, beliau menulis secara totok cerita-cerita wartawan dan memungkinkan pembaca yang tidak berminat dengan dunia kewartawanan, mungkin tidak tertarik dengan karyanya itu.

Tetapi Nazmi Yaakub tidak perlu pun menjadi Pak Samad untuk menulis hal-hal kewartawanan. Nazmi tidak perlu menyaingi Pak Samad menulis kumcernya Temasya Tinta (cetakan terkini Fixi).
Segala tinta akhbar dan mesin press mungkin bukan lagi permainan Nazmi yang (mungkin) bekerja dalam balai berita yang ada penyaman udara.
Nazmi menulis gaya 2026 dan tidak boleh disamakan dengan Pak Samad menulis lewat 1960-an. Tetapi anda boleh membaca Pak Samad (Temasya Tinta) untuk mengetahui bagaimana sejarah awal kewartawanan dan pekerjaannya pada era itu; dan setelah membaca Nazmi (Seberat Tangan Tuan Pengarang), anda mungkin rasa tidak sama lagi selepas anda membaca berita.













