PSR buka capaian percuma arkib lengkap majalah Nadi Insan

Nadiinsan

KUALA LUMPUR — Pusat Sejarah Rakyat (PSR) membuka akses percuma kepada koleksi lengkap majalah Nadi Insan, sebuah penerbitan penting yang pernah menjadi wadah perbincangan isu sosial, budaya, ekonomi dan politik negara pada penghujung dekad 1970-an dan awal 1980-an.

Koleksi yang boleh diakses menerusi laman sesawang PSR itu menghimpunkan kesemua 52 edisi Nadi Insan yang diterbitkan antara tahun 1979 hingga 1983 oleh Institut Analisa Sosial (INSAN), sebuah gerakan masyarakat yang diasaskan oleh tokoh akademik dan aktivis seperti Dr. Nasir Hashim, Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram, Dr. Cecilia Ng dan Dr. Rohana Ariffin.

Koordinator Program PSR, Zikri Rahman, ketika dihubungi Titik Baca berkata usaha mendigitalkan dan membuka akses kepada koleksi tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen organisasi itu untuk memperluaskan capaian masyarakat terhadap sumber sejarah yang sebelum ini sukar diperoleh.

“Penerbitan semula arkib Nadi Insan ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan sumber-sumber sejarah alternatif dan penerbitan masyarakat dapat diakses oleh khalayak yang lebih luas. Majalah ini bukan sahaja penting sebagai dokumen sejarah, tetapi juga sebagai cerminan perdebatan intelektual dan sosial yang berkembang dalam masyarakat pada ketika itu,” katanya.

Menurut beliau, Nadi Insan memperlihatkan bagaimana kelompok intelektual dan aktivis masyarakat menggunakan penerbitan sebagai medium untuk membincangkan pelbagai persoalan semasa yang melibatkan kehidupan rakyat.

“Kami berharap koleksi ini dapat dimanfaatkan oleh penyelidik, pelajar, pengkarya dan orang ramai yang ingin memahami perkembangan pemikiran kritikal, gerakan masyarakat serta sejarah penerbitan mandiri di Malaysia,” ujarnya.

Dalam edisi sulung yang diterbitkan pada Mei 1979, Nadi Insan menjelaskan hasratnya untuk menjadi wadah yang “mencerminkan pendirian-pendirian berbeza yang terdapat mengenai masalah-masalah sosial penting di negara ini”.

Matlamat itu selari dengan penubuhan INSAN yang antara lain bertujuan menyumbang kepada perkembangan kesedaran kebangsaan, memperkukuh cara hidup yang berteraskan sains dan warisan bangsa yang progresif serta menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam penerbitan.

Sepanjang tempoh penerbitannya, Nadi Insan menampilkan pelbagai bentuk penulisan termasuk ulasan filem, sastera, kartun, esei sosioekonomi dan politik antarabangsa.

Majalah itu turut memuatkan wawancara dengan pelbagai tokoh penting negara seperti Tunku Abdul Rahman, Ahmad Boestamam, Khatijah Sidek, Baha Zain dan Latiff Mohidin.

Zikri berkata, projek arkib tersebut juga mencerminkan pendekatan PSR yang melihat sejarah bukan sekadar melalui dokumen rasmi, tetapi turut merangkumi pengalaman dan suara masyarakat.

“Kami percaya sejarah perlu diakses oleh semua orang. Sebab itu, selain pengarkiban bahan bercetak, PSR turut menjalankan pelbagai projek sejarah lisan, dokumentasi audio dan visual serta penulisan yang dapat memperkayakan pemahaman kita terhadap sejarah rakyat,” katanya.

Nadiinsan34

PSR merupakan sebuah organisasi kajian dan arkib mandiri yang ditubuhkan pada tahun 2011 dengan tumpuan kepada sejarah rakyat di Malaysia dan Singapura.

Selain mengumpul dan memelihara bahan arkib, organisasi itu turut menganjurkan bengkel, penerbitan dan projek dokumentasi bagi memperluaskan penglibatan masyarakat dalam usaha memahami sejarah dari perspektif rakyat.

Koleksi lengkap Nadi Insan kini boleh diakses secara percuma melalui laman web https://pusatsejarahrakyat.org/nadi-insan-archive/ .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *