Penganjuran Anugerah Seni Negara 2026 ditangguhkan

Asnegara

PUTRAJAYA — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini mengumumkan bahawa penganjuran Anugerah Seni Negara (ASN) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, keputusan tersebut dibuat selaras dengan pelaksanaan Arahan Kewangan: Langkah-Langkah Kawalan Perbelanjaan Mengurus MOTAC Tahun 2026.

Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh pengurusan kewangan awam secara lebih berhemat, cekap, dan berintegriti, dengan memberikan fokus kepada keutamaan nasional.

Walau bagaimanapun, pihak kementerian menegaskan bahawa penangguhan ini hanya melibatkan pelaksanaan majlis penganugerahan sahaja.

Usaha berterusan kementerian dalam memperkasa sektor seni dan budaya negara tidak akan terjejas, di mana program pembangunan kapasiti, pemerkasaan industri, dan pemeliharaan warisan akan tetap diteruskan mengikut perancangan asal.

ASN merupakan pengiktirafan tertinggi negara kepada tokoh dan penggiat seni yang telah memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan seni tanah air.

Walaupun ditangguhkan, ASN kekal sebagai agenda penting kementerian, dan kesesuaian penganjurannya akan terus dinilai berdasarkan kedudukan semasa serta keutamaan kerajaan.

MOTAC turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penggiat seni, badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi budaya atas komitmen serta kerjasama awal yang diberikan dalam persiapan ASN 2026.

Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi MOTAC.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *