Penulis, ilustrator dijemput sertai Sudut Temu dan Mesra Kota Baca 2026

Sudutpenulis

KUALA LUMPUR — Golongan penulis dan ilustrator tempatan kini dipelawa untuk mengambil bahagian dalam Kota Baca 2026 menerusi penyertaan di Sudut Temu dan Mesra Penulis/Ilustrator yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 April ini di Dataran Merdeka.

Inisiatif ini membuka peluang kepada pengkarya untuk berinteraksi secara langsung dengan pembaca, selain memperkenalkan karya masing-masing kepada khalayak yang lebih luas dalam suasana santai di tengah-tengah kota.

Penganjur memaklumkan bahawa sudut khas ini bukan sekadar reruai jualan, tetapi platform strategik untuk penulis dan ilustrator membina jaringan, mengembangkan komuniti pembaca serta memperkukuh kehadiran dalam ekosistem perbukuan tempatan.

Program ini diadakan sempena Kota Baca 2026, acara literasi kebangsaan bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia, yang bertujuan menggalakkan pembudayaan membaca dalam kalangan masyarakat serta menyokong aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030.

Sepanjang tiga hari penganjuran, peserta akan diberikan kemudahan asas termasuk sebuah meja dan kerusi, manakala mereka perlu menyediakan sendiri bahan pameran seperti buku, karya seni serta papan tanda masing-masing.

Persiapan ruang akan dilakukan pada malam 23 April, sehari sebelum acara bermula, dengan operasi reruai dibuka kepada pengunjung dari pukul 9 pagi hingga 9 malam sepanjang tempoh program.

Tempat penyertaan adalah terhad dan akan diisi berdasarkan konsep siapa cepat, dia dapat.

Justeru, penulis dan ilustrator yang berminat disaran untuk mendaftar segera bagi memastikan penyertaan dalam acara berprestij ini.

Pendaftaran boleh dibuat melalui pautan https://forms.gle/Njq9nrtj4ogSvoBQ9

Kota Baca 2026 dijangka menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pemain industri buku, institusi pendidikan dan komuniti umum, sekali gus menjadikan Dataran Merdeka sebagai pusat pertemuan penggiat dan pencinta buku dari seluruh negara.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *