Cucu Shamsiah Fakeh kesal pengharaman memoir, gesa KDN tarik balik larangan

Jamaliah Shamsiah

KUALA LUMPUR — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin, melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku Memoir Shamsiah Fakeh: Dari AWAS ke Rejimen ke-10, yang turut menyentuh kisah hidup neneknya, Shamsiah Fakeh.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau memaklumkan telah dihubungi pelbagai pihak berhubung pengharaman tersebut dan menyifatkannya sebagai satu keputusan yang mengecewakan serta tidak berasas.

Semalam, penerbit Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) mengesahkan bahawa buku memoir berkenaan bersama sebuah lagi judul, Komrad Asi (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah, telah dikenakan perintah larangan oleh KDN di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, melibatkan subseksyen 7(1) serta subseksyen 8(1) dan 8(2).

Memoir tersebut pertama kali diterbitkan pada tahun 2004 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum diterbitkan semula pada 2007 dan telah berada di pasaran selama lebih dua dekad dengan beberapa cetakan semula.

Kandungannya tertumpu kepada pengalaman hidup dan perjalanan peribadi Shamsiah Fakeh sebagai seorang tokoh sejarah yang kontroversial.

Menurut Jamaliah, sepanjang tempoh penerbitannya, tiada sebarang bukti bahawa buku tersebut mencetuskan gerakan ekstrem atau ancaman kepada keselamatan.

“Kandungannya lebih bersifat penceritaan perjalanan dan pengalaman hidup. Tiada gerakan ekstrem yang dilaporkan berpunca daripada buku ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan pengharaman itu berpotensi menyempitkan ruang wacana serta menjejaskan perkembangan budaya ilmu dalam masyarakat.

Malah, katanya, langkah sedemikian boleh membuka ruang kepada pembentukan sentimen yang lebih ekstrem akibat kekangan terhadap akses kepada maklumat.

Sehubungan itu, Jamaliah menggesa KDN untuk menilai semula keputusan tersebut dan menarik balik perintah larangan berkenaan, demi memastikan ruang perbincangan sejarah dan intelektual terus terbuka dan inklusif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *