KUALA LUMPUR — Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) melantik empat alumni cemerlang sebagai Ikon Alumni ASWARA bagi sesi 2026 hingga 2027 dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Dewan Orkestra institusi berkenaan, baru-baru ini.
Watikah pelantikan telah disampaikan oleh Rektor ASWARA, Ainu Sham Haji Ramli bersempena Majlis Perhimpunan Bulanan ASWARA.
Pelantikan tersebut berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 hingga 31 Disember 2027.
Empat tokoh alumni yang menerima pengiktirafan tersebut ialah Mas Zharif Zhafri Abdul Aziz, Mohd Fadhli Masoot, Dewi Liana Seriestha dan Hasraniza Dollah, masing-masing mewakili bidang filem dan televisyen, teater, seni kreatif serta muzik.
Menurut ASWARA, pelantikan ini merupakan satu bentuk pengiktirafan kepada alumni yang berpotensi besar untuk menjadi wajah dan suara institusi berkenaan.
Mereka bukan sahaja membawa nama ASWARA, malah turut berperanan sebagai duta dalam mempromosikan institusi itu ke peringkat lebih tinggi serta menyumbang kepada pembangunan ekosistem pendidikan seni budaya negara.
Sebagai institusi pendidikan tinggi seni terulung di Malaysia, ASWARA terus memainkan peranan penting dalam memartabatkan bidang seni, budaya dan warisan melalui pendekatan holistik yang merangkumi pembelajaran akademik, latihan praktikal serta penyelidikan.
Institusi itu juga menjadi pusat rujukan dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya negara.
Inisiatif pelantikan Ikon Alumni ini dilihat sebagai langkah strategik dalam mengetengahkan tokoh contoh yang mampu menjadi inspirasi kepada pelajar serta generasi muda, khususnya mereka yang berminat dalam bidang seni dan budaya.
ASWARA yakin pelantikan tersebut akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa pendidikan seni budaya negara, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan khazanah seni dan warisan.












