PFM perkukuh industri perfileman, umum kepimpinan baharu 2026/2028

Pfm

Kuala Lumpur — Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) terus memperkukuh peranan dalam memajukan industri perfileman tempatan melalui kerjasama strategik bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), seiring dengan perkembangan positif yang dicapai industri ketika ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Presiden PFM, Datuk Haji Burhanuddin Md Radzi dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PFM Ke-43 yang disempurnakan oleh Pengerusi FINAS, Dato’ Hans Isaac, pada Ahad.

Majlis tersebut turut dihadiri presiden-presiden daripada 11 persatuan di bawah Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (GAFEMA), sekali gus mencerminkan kesepaduan dan komitmen kolektif dalam memperkukuh industri perfileman negara.

Menurut Burhanuddin, industri perfileman tempatan mencatat pencapaian luar biasa pada tahun 2025 apabila merekodkan kutipan box-office tertinggi dalam sejarah filem tempatan, dengan hampir 90 peratus daripadanya disumbangkan oleh karya ahli PFM.

“Ini mencerminkan keyakinan penonton terhadap karya tempatan yang semakin meningkat.

“Namun, kita perlu terus berinovasi dan memperkukuh daya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, PFM turut mengumumkan kejayaan memiliki pejabat korporat baharu di Melawati Corporate Center yang bakal berfungsi sebagai hab pembangunan industri, merangkumi latihan, seminar dan aktiviti profesional untuk ahli.

Pada masa sama, PFM merakamkan penghargaan kepada FINAS atas kelulusan pelaksanaan semula Skop Projek Insentif Tayang Filem Cereka (ITFC) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), serta penambahbaikan Skim Wajib Tayang yang disifatkan sebagai langkah signifikan dalam memperkukuh kebajikan penggiat seni dan merancakkan pertumbuhan industri.

PFM turut menyokong pelaksanaan segera Program Padu Citra 2.0 oleh FINAS melalui GAFEMA, yang dilihat sebagai langkah strategik dalam membangunkan pangkalan data industri yang komprehensif dan bersepadu.

Sementara itu, Mesyuarat Agung Tahunan PFM Ke-43 turut menyaksikan pemilihan barisan Ahli Jawatankuasa baharu bagi sesi 2026/2028.

Panchacharam Nallilah (Pansha) dipilih sebagai Presiden baharu, dibantu Timbalan Presiden Datuk Dr. Yusof Haslam. Dua Naib Presiden ialah Dato’ Normashayu Puteh dan Datuk Hasniza Nordin.

Zahrin Aris dilantik sebagai Setiausaha Kehormat, manakala jawatan Bendahari Kehormat disandang oleh Dato’ Nancie Foo.

Ahli Jawatankuasa lain terdiri daripada Keoh Chee Ang, Harvinder Uppal, Denes Kumar Ragupathy, Zurina Mohd Ramli, Shures Ratnakrishnan dan Gayatri Su-Lin Pillai.

PFM turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan terdahulu atas jasa dan sumbangan mereka, serta yakin kepimpinan baharu ini mampu memperkukuh peranan persatuan sebagai suara utama penerbit filem negara, di samping memperkasa pembangunan industri perfileman Malaysia secara mampan dan berdaya saing.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *