Festival Sastera Kanak-kanak bakal meriahkan PBAKL 2026

Festivalsasterakanak2

Foto hiasa. Kredit foto: Media PBAKL.

KUALA LUMPUR — Festival Sastera Kanak-kanak (FSK) bakal berlangsung pada 4 hingga 5 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, dengan matlamat memperkukuh budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak melalui pendekatan yang lebih interaktif dan kreatif.

Program anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dengan sokongan Kementerian Pendidikan (KPM) ini diinspirasikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, yang menekankan kepentingan pendedahan awal terhadap dunia buku melalui pengalaman langsung yang menyeronokkan.

Penganjuran FSK di platform PBAKL dilihat sebagai langkah strategik, memandangkan acara itu menghimpunkan pemain industri buku, institusi pendidikan serta masyarakat umum dalam satu ekosistem berskala nasional.

Melalui pendekatan ini, kanak-kanak bukan sahaja didedahkan kepada buku, malah berpeluang mengalami sendiri dunia sastera dalam suasana yang hidup dan merangsang imaginasi.

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik akan disediakan, termasuk sesi “Mari Bercerita” yang menampilkan tokoh seperti Zuhairah Ali, Johleean dan Anas Ridzuan.

Sesi ini memberi peluang kepada kanak-kanak berinteraksi secara langsung, sekali gus membina keyakinan diri dan minat terhadap pembacaan.

Selain itu, festival turut menampilkan persembahan koir kanak-kanak, bual bicara buku bertajuk “Buku Kanak-kanak: Kita di Mana?” yang disertai Bustam Kamri, Emila Yusof dan Muhamad Faizal Abd Jalil, serta pelbagai aktiviti seni seperti kelas melukis dan mewarna bersama ilustrator profesional.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan Malam Baca Puisi PENA Cilik yang mengetengahkan bakat muda dalam deklamasi puisi dan persembahan pentas, selain menyertai pertandingan mewarna, melukis dan bercerita yang dirangka untuk merangsang kreativiti dan kemahiran komunikasi.

Fskall
Tiga pertandingan utama dalam Festival Sastera Kanak-kanak 2026.

Bagi menambah kemeriahan, program Pakaian Beragam FSK turut dianjurkan dengan galakan kepada kanak-kanak hadir dalam kostum tradisional atau adiwira, di samping peluang memenangi baucar buku dan hadiah menarik.

Penganjuran FSK bukan sahaja menyokong aspirasi Dekad Membaca Kebangsaan 2021–2030, malah menjadi platform penting dalam membentuk generasi yang gemar membaca, kreatif dan berdaya cipta.

Orang ramai khususnya ibu bapa dan pendidik dijemput hadir membawa anak-anak bagi merasai sendiri pengalaman sastera yang menyeronokkan dan bermakna ini.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *