KUALA LUMPUR — Dunia kesusasteraan tanah air hari ini kehilangan seorang tokoh penting apabila penulis dan penerbit, Mohamed Nasser Mohamed, dilaporkan meninggal dunia pada awal pagi tadi.
Berita pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh isterinya, Rusina Othman, menerusi satu hantaran di Facebook.
“Assalamualaikum, saya anak kepada Mohamed Nasser, ingin memaklumkan ayah kami dah menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi tadi dalam lebih kurang jam 3.45 pagi,” katanya.
Allahyarham dikenali sebagai seorang penulis yang aktif menghasilkan cerpen, puisi dan esei, selain menjadi penggerak penting dalam dunia penerbitan sebagai pemilik Nuha Books.
Sejak 2008, beliau turut berperanan sebagai editor perunding untuk lebih 150 penerbitan, menjadikannya antara sosok berpengaruh di belakang tabir industri buku tempatan.
Selain karya kreatif, Allahyarham juga aktif berblog dan berpuisi. Antara karya solonya yang mendapat perhatian ialah buku Aku Kaki Sakat (2019), manakala puisinya yang sering dipetik, “Penyair Apakah Kita Ini?” (2019), turut diterbitkan dalam sebuah penerbitan di Indonesia.
Beliau juga mengendalikan sesi bual bicara Cakap Apa Sahaja sejak Mac 2021, yang bersiaran setiap Isnin dengan kerjasama Nuha Pictures.
Dalam bidang cerpen, karya beliau terus mendapat pengiktirafan apabila cerpen “Separuh yang Hilang” baru-baru ini diumumkan sebagai satu-satunya penyertaan dari Malaysia yang disenarai pendek bagi Commonwealth Short Story Prize 2026, daripada keseluruhan 7,806 penyertaan melibatkan 54 negara.
Cerpen tersebut turut diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai “The Missing Half” oleh Pauline Fan.
Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada dunia kesusasteraan dan penerbitan negara.
Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh.













