Libang Libu: Bingit, berwarna—tapi kosong

Libanglibu

Libang Libu mengingatkan aku kepada filem The Sting (1974) yang baru muncul di Netflix beberapa hari lalu.

Ia dibuka dengan tenaga dan fokus yang jelas, membuatkan kita tidak sabar menikmati pertembungan para watak di dalam siri situasi yang serba lincah.

Bagaimanapun, di separuh jalan berlaku titik peralihan (apabila plot kian berkembang) yang membuatkan daya penarik asalnya merosot.

Untungnya, kita masih ada Paul Newman dan Robert Redford dengan karisma yang mampu menghidupkan seribu bintang.

Dan sebaik-baik Beto Kusyairy dan Amerul Affendi, gandingan mereka tidaklah sedinamika itu.

Plot filem ini secara asasnya ialah “Alang Rentak Seribu yang pancit di tengah jalan.”

Man Filem (Amerul) merupakan individu belakang tabir yang mempengaruhi sebuah produksi untuk menjalani penggambaran di kampungnya yang terletak di sebuah daerah terpencil di Perak.

Malangnya, hidup Man ralit dengan hutang keliling pinggang. Usahanya dalam mengimbangi hal-hal peribadi dan profesional bertambah sukar apabila abang sulungnya, Along Alid (Beto) melibatkan diri secara langsung dalam produksi tersebut.

Memperlihatkan promosi filem ini, jelas plot dan watak-wataknya tidak sekadar berakhir di situ.

Ingin sahaja aku memaklumkan bahawa sekalian elemen ini berjaya diikat untuk membicarakan tema yang lebih besar.

Pun begitu, Libang Libu langsung tidak berkisar tentang apa-apa. Ia bukan mengenai industri filem, semangat kejiranan mahupun hubungan adik-beradik.

Pengarah Bobby Husaini menghasilkan produk konsumer yang sempurna—bingit, hiruk-pikuk, sedap mata memandang dan cukup-cukup penambah perisa untuk khalayak pasar karat.

Di atas kertas, pemilihan Beto dan Amerul sebagai adik-beradik sepatutnya tidak boleh disangkal.

Meskipun Beto agak sederhana baik, Amerul ternyata tidak bersesuaian memegang peranan yang lebih telus di dalam gabungan ini.

Amerul paling disenangi apabila berperilaku gila-gila di skrin, namun sebagai tampuk separa serius, keberadaannya amat membosankan di sini.

Beto sendiri pun tidak berjaya bertahan lama. Pada suatu ketika, apabila subplot melibatkan Zahiril Adzim beredar, disangkakan cerita utamanya kini bermula apabila wataknya sendiri menerajui penggambaran tersebut.

Malangnya, ia bermula dan berakhir dengan satu adegan sahaja; seolah-olah Bobby khuatir untuk melebarkan aspek satira pembikinan filem dek Martabat: Misi Berdarah (yang juga ditulis oleh Paradoks Writers Team).

Juga menjadi permasalahan besar ialah penampilan istimewa yang tidak diselenggara dengan baik.

Zahiril Adzim terlalu menonjol pada babak awal sehingga aku menyangkakan beliaulah protoganis filem ini.

Sabri Yunus pula terlalu ke belakang, menjadi buah mulut jenaka homoseksual semata-mata.

Fikri Ibrahim agak memikat pada sebuah segmen namun terlebih bertandang untuk beberapa adegan lagi.

Paling memeritkan ialah Nabila Huda yang amat menjengkelkan dari saat pertama kemunculan.

Dan apabila berlaku titik peralihan di tengah-tengah, kejengkelan itu terus membuak.

Tumpuan pada penggambaran filem ditolak tepi bagi memberi laluan pada misteri Agatha Christie yang melibatkan aktiviti hendap(?!).

Skop yang agak gah selama ini bertukar kecil, dan apabila babak ketiga terhurai seakan Bobby meninggalkan seluruh produksi untuk mengarah projek iklan yang seterusnya. Tidak berkemudi.

Lebih parah, plot misteri tersebut amatlah melalut. Bukan dengan gaya libang libu (yang membawa maksud kacau-bilau), tetapi celaru.

Matlamat setiap adegan terus berubah dan berubah sehingga membawa kepada pengakhiran yang langsung tidak berbekas di samping deus ex machina yang wajar dicerca.

Ini semua tidak menjadi masalah jika lawaknya menjadi. Bukannya ia tidak terkesan langsung, namun komedi filem ini berkiblatkan gaya pengecaman ala siri kartun Family Guy.

Yang hanya bergantung harap pada kefasihan kita terhadap budaya pop, nostalgia dan permainan ekspektasi kita terhadap satu-satu selebriti itu.

Kita mengenali Beto sebagai pelakon serius. Di sini dia sering berkacak sendeng dengan kantung kecil di dada. Hatta, kita ketawa asbab itu bukanlah kelaziman persona skrinnya. Itu sahaja. Noktah.

Nah, melakukan sesuatu di sebalik jangkaan bukanlah kreativiti tetapi teknik ilmu kira-kira. Untuk meraikan sesebuah karya, kita mendambakan lebih dari sekadar itu.

Tragiknya, sebilangan besar audiens akan menyukai filem ini. Sinema Malaysia masa kini amat mendahagakan komedi besar-besaran yang mengingatkan kita kepada karya Mamat Khalid.

Bagaimanapun, adakah cukup tahap itu sahaja aspirasinya? Filem ini jelas digarap mengikut kemahuan dan wang sendiri.

Barangkali dengan hasil cerita tanpa hala tuju, adalah lebih baik sekiranya terdapat produksi besar yang mengepalai untuk mendisiplinkan setiap keputusan. (Ini hanyalah tekaan hipotesis. Tiada sesiapa yang menyukai apabila syarikat korporat mencampuri urusan sseni dan budaya.)

Bercakap tentang Mamat Khalid, Libang Libu diakhiri dengan majlis kahwin yang membabitkan kesemua watak. Mereka bernyanyi dan bergirang gembira, seakan mengajak kita untuk turut sama berkenduri.

Sentimen ini tidak menjadi. Mamat Khalid lazimnya mampu membawa kita ke tahap itu kerana beliau amat menyayangi para karakternya, biarpun yang bersifat antagonis.

Jika inilah kefahaman konsensus tentang sesebuah filem Mamat Khalid—aktiviti keramaian, loghat Perak dan lagu-lagu retro—maka perjalanan celik media kita masih panjang untuk ditelusuri.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *