Dataran Merdeka pada 24 hingga 26 April lalu tidak sekadar menjadi lokasi acara sebagaimana lazimnya.
Ia berubah menjadi sebuah ruang yang hidup dengan makna, di mana manusia berkumpul bukan untuk hiburan semata-mata, tetapi untuk satu tujuan yang lebih besar, iaitu MEMBACA.
Dalam tempoh tiga hari, Kota Baca menghimpunkan kira-kira 85,000 pengunjung, menjadikan pusat kota Kuala Lumpur seolah-olah sebuah kota ilmu yang terbuka kepada semua.
Di tengah suasana itu, slogan “Di kota ini, semua membaca” tidak lagi berbunyi sebagai ungkapan promosi.
Ia menjadi realiti yang dapat dilihat, didengar, dan dirasai. Kanak-kanak duduk membaca di sudut santai, keluarga berjalan dari satu reruai ke reruai lain, anak muda bersila di atas padang menyelak halaman demi halaman buku, dan warga kota berhenti di stesen Masjid Jamek untuk bertemu dengan penulis kegemarannya.
Kota ini, untuk beberapa hari yang bermakna itu, benar-benar menjadi kota pembaca.
Keadaan ini mengingatkan kita kepada renungan Ibnu Khaldunyang pernah menulis tentang kota-kota besar dalam sejarah Islam seperti Baghdad dan Cordoba.
Beliau menyatakan bahawa ketika peradaban kota-kota itu berkembang, ilmu pengetahuan berkembang pesat, dan masyarakatnya mendalami pelbagai cabang ilmu sehingga mengatasi generasi sebelumnya. Namun, apabila peradaban itu merosot, ilmu juga turut lenyap dan berpindah ke tempat lain. (Khaldun, 1992).
Renungan ini memberikan makna yang mendalam terhadap Kota Baca.
Ia mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah kota bukan terletak pada bangunan atau infrastrukturnya, tetapi pada sejauh mana ilmu hidup dalam masyarakatnya.
Sekiranya membaca tidak menjadi amalan, maka perlahan-lahan peradaban itu akan kehilangan asasnya.
Dalam konteks ini, Kota Baca adalah usaha untuk memastikan kota kita tidak sunyi daripada ilmu.
Dari sudut pelaksanaan, Kota Baca 2026 anjuran Kementerian Pendidikan melalui pelaksanaan oleh Perbadanan Kota Buku (PKB) memperlihatkan satu skala yang menyeluruh.
Sebanyak 88 reruai pempamer telah menghimpunkan pelbagai pihak merangkumi agensi kerajaan, badan industri buku, penerbit swasta, komuniti serta pemain teknologi.
Lebih 120 program dianjurkan merentas lima lokasi utama, dengan pengisian yang merangkumi wacana, persembahan seni, aktiviti keluarga dan inovasi digital.
Program seperti Pidato Negarawan, Tukar Buku Terbesar di Asia Tenggara, Larian Karakter Buku 5KM, Kelah Buku, Audio Siar Telaah Buku serta Buka Buku memperlihatkan satu pendekatan baharu.
Membaca tidak lagi dilihat sebagai aktiviti bersendirian, malah menjadi pengalaman sosial yang dikongsikan bersama-sama. Dalam ruang ini, buku menjadi penghubung antara manusia.
Di sinilah pentingnya kita memahami pandangan Syed Hussein Alatas tentang peranan intelektual dalam masyarakat.
Beliau menegaskan bahawa gabungan keluarga dan institusi pendidikan merupakan asas kepada kemunculan kelas intelektual. Tanpa kelompok ini, masyarakat akan kehilangan keupayaan untuk memahami masalah asas dan membina wawasan yang jelas. (Alatas, 2009).
Kota Baca menjawab keperluan ini dengan cara yang praktikal. Ia membawa buku keluar daripada ruang tertutup dan meletakkannya di tengah-tengah masyarakat.
Ia menghubungkan anak dengan ibu bapa, pelajar dengan guru, pembaca dengan penulis. Dalam proses ini, ia menanam benih kepada lahirnya pembaca baharu yang suatu hari nanti akan membentuk kelompok intelektual negara.
Impaknya tidak terhenti pada aspek budaya semata-mata. Dari sudut ekonomi, Kota Baca memperlihatkan pergerakan yang memberangsangkan dalam ekosistem buku, khususnya dari segi transaksi, keterlibatan pembaca, dan dinamika pasaran.
Hal ini menunjukkan bahawa apabila akses kepada bahan bacaan dipermudah dan pengalaman membaca diperkaya, masyarakat akan memberikan respons yang positif.
Dalam masa yang sama, keseluruhan rantaian industri buku, merangkumi penerbitan, percetakan dan pengedaran turut menikmati limpahan manfaat daripada ekosistem yang semakin hidup ini.
Seiring dengan itu, dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi, pembacaan juga perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas.
Noor Dzuhaidah Osman dan Syahirah Abdul Shukor (2024) mengingatkan bahawa membaca bukan sekadar hobi. Ia merupakan alat untuk memperkaya bahasa, meningkatkan kesejahteraan, dan membuka peluang ekonomi.
Membaca boleh mengubah kehidupan individu, dan dalam skala yang lebih besar, mampu mengubah sesebuah negara.
Pandangan ini selari dengan aspirasi pembangunan negara yang menekankan pembinaan masyarakat berpengetahuan. Dalam kerangka ini, buku bukan lagi sekadar bahan bacaan, tetapi menjadi asas kepada pembangunan insan. Tanpa budaya membaca, pembangunan mungkin berlaku, tetapi tidak akan mendalam atau berpanjangan.
Lebih jauh daripada itu, Kota Baca juga membawa potensi sebagai kuasa lunak (soft power) budaya Malaysia.
Dalam dunia yang saling terhubung, identiti sesebuah negara tidak hanya dibina melalui ekonomi atau politik, malah melalui budaya dan pemikiran.
Buku menjadi medium yang halus, tetapi berkesan untuk memperkenalkan siapa kita kepada dunia luar.
Ke hadapan, cabaran utama adalah kesinambungan. Kota Baca tidak boleh berhenti sebagai sebuah acara tahunan.
Ia perlu berkembang menjadi satu gerakan yang berterusan, disokong oleh data, teknologi, dan kerjasama antarabangsa.
Hanya dengan pendekatan yang konsisten, budaya membaca dapat benar-benar berakar dalam masyarakat.
Dalam konteks ini, Kota Baca 2026 memberikan satu gambaran yang jelas tentang kemungkinan masa hadapan negara ini.
Sebuah masyarakat yang membaca akan menjadi masyarakat yang berfikir. Masyarakat yang berfikir akan mampu membuat keputusan yang lebih baik.
Dan daripada masyarakat seperti inilah lahir sebuah negara yang matang dan dihormati.
Di kota ini, kita telah melihat seketika gambaran itu.
Persoalannya kini, adakah kita bersedia untuk menjadikannya satu kenyataan yang berterusan?
Rujukan
Alatas, S. H. (2009). Intelektual Masyarakat Membangun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Khaldun, I. (1992). Tentang Ilmu Pengetahuan dan Berbagai Jenisnya. Dalam N. Majid, Khazanah Intelektual Islam (hlm. 259). Kuala Lumpur: Ikraq.
Osman, N. D., & Abdul Shukor, S. (2024). Role of Media in the Era of Digital Technology to Promote Reading Habits among Malaysians. Dalam Budaya Membaca dan Industri Perbukuan di Malaysia: Kumpulan Esei Terpilih (hlm. 221). Kuala Lumpur: MBKM & Forum Press.













