Pencalonan makyung ke UNESCO: Status pemilikan dikongsi bersama Indonesia

Makyung

Persembahan makyung. Kredit foto: instagram @Izzat_fazil

KUALA LUMPUR — Malaysia bersetuju memperbaharui status seni persembahan tradisional makyung di bawah UNESCO dengan melibatkan Indonesia menerusi pencalonan lanjutan bersama ke dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan.

Perkembangan ini susulan usaha delegasi Indonesia yang mengadakan pertemuan dengan pihak Malaysia tahun lalu bagi mengusulkan penyertaan bersama dalam pengiktirafan tersebut.

Langkah itu dilihat sebagai usaha strategik dalam memperkukuh kerjasama budaya serantau antara dua negara serumpun.

Makyung sebelum ini telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara milik Malaysia pada tahun 2008.

Seni teater tradisional ini berasal dari pantai timur Semenanjung Malaysia sebelum berkembang ke wilayah Kepulauan Riau, Indonesia sejak awal abad ke-19.

Menurut Menteri Kebudayaan Indonesia, Fadli Zon, penyertaan Indonesia dalam pencalonan lanjutan ini mencerminkan komitmen negara itu dalam memelihara makyung yang kini semakin berkurangan di Indonesia.

“Makyung di Indonesia semakin pupus, sedangkan di Malaysia ia masih berkembang dengan baik.

“Justeru, kami komited untuk turut serta dalam usaha pemuliharaan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pendaftaran makyung melalui mekanisme peluasan warisan budaya ini juga dianggap sebagai langkah penting dalam memastikan kelangsungan seni tradisi tersebut, di samping mengiktiraf sejarah dan penyebarannya merentasi sempadan negara.

Dalam masa sama, langkah ini turut mencetuskan perbincangan mengenai keperluan dan implikasi perkongsian status pencalonan bagi warisan yang telah lama diiktiraf sebagai milik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *