Budayawan kritik pencalonan semula makyung ke UNESCO, anggap membazir dan lari daripada realiti akar umbi

Eddinmakyung

Pengasas PUSAKA, Eddin Khoo.

KUALA LUMPUR — Budayawan terkemuka, Eddin Khoo melontarkan kritikan keras terhadap langkah memperbaharui pencalonan seni makyung ke UNESCO, dengan menyifatkannya sebagai tidak relevan dan gagal menangani kemerosotan sebenar seni tradisi itu di Malaysia.

Menurut beliau, isu utama bukanlah soal pemilikan antara negara, sebaliknya keadaan makyung itu sendiri yang semakin terhakis di tanah air.

“Saya sudah bosan dengan UNESCO ini. Apa yang lebih penting ialah kita perlu melihat semula keadaan makyung di Malaysia, apa yang jati, apa yang tulen. Kalau asas itu pun kita tak jaga, untuk apa kita calonkan lagi?” katanya ketika dihubungi Titik Baca hari ini.

Mengulas penyertaan Indonesia dalam pencalonan lanjutan tersebut, beliau berpandangan bahawa perkongsian itu bukan sesuatu yang janggal memandangkan makyung berkembang merentasi sempadan budaya Melayu.

“Ada tradisi makyung yang masih hidup dan bernadi di Riau, Indonesia. Budaya ini memang tidak mengenal sempadan kerana ia lahir daripada pergerakan manusia di rantau ini. Jadi bagi saya, tiada masalah untuk berkongsi status,” jelasnya.

Namun, beliau menegaskan bahawa realiti semasa menunjukkan makyung lebih “hidup” di luar Malaysia berbanding di dalam negara sendiri.

“Makyung hari ini lebih sempurna di Riau berbanding di Kelantan. Jadi persoalannya, Malaysia buat apa? Di mana makyung kita sekarang?” katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan keberkesanan pengiktirafan yang telah diperoleh pada tahun 2008, dengan menyifatkan usaha tersebut sebagai sia-sia jika tidak disusuli dengan pemeliharaan yang berkesan.

“Kita sudah dapat pengiktirafan pada 2008, tetapi apa yang jadi selepas itu? Tidak ada perubahan, malah semakin merosot. Pencalonan ini tidak sampai ke akar umbi, ini saya sudah lihat sejak dahulu lagi,” ujarnya.

Dalam nada lebih keras, beliau mendakwa bahawa makyung di Malaysia kini berdepan tekanan daripada struktur birokrasi dan dasar yang tidak memahami konteks budaya sebenar.

“Makyung kini menjadi mangsa penguatkuasaan. Mereka yang berkuasa seperti birokrat dan ahli politik tidak memahami budaya ini, tetapi mereka yang menentukan hala tuju,” katanya.

Beliau turut mengkritik usaha memindahkan makyung ke pentas institusi formal sebagai satu bentuk “kreasi birokrat” yang menyimpang daripada bentuk asalnya.

“Kalau makyung dibawa ke dewan filharmonik atau institusi seperti ASWARA, itu bukan lagi makyung. Makyung hidup dalam jiwa masyarakat Kelantan-Patani, bukan dalam kerangka rasmi semata-mata,” tegasnya.

Sebagai pengasas PUSAKA, beliau berkata pihaknya telah lebih tiga dekad berusaha menghidupkan kembali seni tradisi tersebut bersama komuniti akar umbi, termasuk melibatkan generasi muda dan memperkenalkannya di peringkat antarabangsa.

“Kami bekerja bersama-sama penggiat sebenar, yang ada keturunan dan darah makyung. Ironinya, makyung hari ini lebih dihargai di luar negara berbanding di Malaysia sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa perdebatan mengenai pemilikan antara Malaysia, Indonesia atau Thailand adalah tidak signifikan jika usaha memelihara tradisi itu di peringkat tempatan terus diabaikan.

“Tak perlu kita bising soal siapa punya, Malaysia, Indonesia atau Thailand. Hakikatnya, makyung itu lebih hidup di tempat lain berbanding di sini. Itu yang sepatutnya kita tanya dan fikirkan,” katanya.

Beliau menyifatkan usaha pencalonan semula ini sebagai “memalukan” sekiranya tiada perubahan nyata dilakukan terhadap pemuliharaan seni tersebut di peringkat komuniti.

“Kalau di negara sendiri kita gagal mempertahankan dan memahami asal-usul makyung, untuk apa kita ke sana sini membuat pencalonan? Apa yang akan berubah walaupun kita berjaya?” soalnya.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *