KUALA LUMPUR — Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menerusi Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) akan membawa persembahan Main Puteri ke pentas sempena program Buka Panggung 2026, sebagai usaha memperkukuh pemahaman warga kota, khususnya pelajar terhadap kesenian tradisional Melayu yang bersifat menyeluruh, bukan sekadar bentuk, tetapi juga fungsi dalam kehidupan masyarakat.
Dekan PuTRA, Kamarulzaman Taib atau lebih mesra disapa Che Kem berkata pementasan ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar ASWARA menyaksikan secara langsung satu bentuk kesenian tradisi yang menjadi asas kepada pelbagai cabang seni persembahan lain di Kelantan.
“Dalam struktur kurikulum ASWARA, pelajar didedahkan kepada pelbagai kesenian tradisional seperti makyung, wayang kulit, bangsawan, randai dan mek mulung, termasuk muzik pergendangan serta tarian tradisi.
“Namun Main Puteri membawa mereka kembali kepada satu lapisan yang lebih awal, menjadikan ia satu bentuk kesenian yang masih kuat dengan pengaruh spiritual dan animisme,” katanya ketika dihubungi Titik Baca hari ini.

Menurut beliau, Main Puteri bukan sahaja sebuah bentuk persembahan, tetapi juga dianggap sebagai induk kepada kesenian Kelantan seperti wayang kulit dan makyung, malah mempunyai kaitan dengan elemen dalam silat serta struktur muzik tradisional.
“Dalam tradisi penggiat seni Kelantan, seseorang itu tidak dianggap lengkap pengajiannya jika tidak melalui pengalaman Main Puteri.
“Ia sangat penting kerana merangkumi asas pergendangan, lagu dan pemahaman spiritual dalam kesenian,” jelasnya.
Tambah beliau, pementasan ini juga membuka ruang kepada pelajar untuk memahami dimensi kesenian sebagai sebahagian daripada kehidupan, bukan sekadar hiburan.
“Main Puteri memperlihatkan bagaimana seni digunakan untuk melengkapi kehidupan lahir dan batin masyarakat dahulu.
“Ia bukan hanya untuk ditonton, tetapi untuk dihayati dan dirasai, termasuk aspek hubungan manusia dengan pencipta,” katanya lagi.
Dalam konteks persembahan, elemen seperti buka panggung, baca kenduri, mantera dan jampi turut diketengahkan, namun telah melalui adaptasi tertentu termasuk penggunaan ayat-ayat al-Quran dalam permohonan izin dan perlindungan.
Persembahan kali ini akan mengekalkan struktur tradisi tanpa elemen kosmetik, meskipun watak pesakit mungkin akan dilakonkan.
Penonton tetap berpeluang menyaksikan bentuk asli persembahan yang jarang dipentaskan secara terbuka, khususnya di kawasan bandar.

Main Puteri merupakan ritual penyembuhan tradisional masyarakat Melayu Kelantan yang menggabungkan unsur teater, muzik dan tarian.
Ia diketuai oleh Tok Puteri sebagai medium spiritual dan Tok Minduk sebagai pengiring serta penyoal, dalam usaha merawat gangguan emosi atau spiritual melalui konsep angin (tenaga dalaman).
Walaupun kini semakin jarang dipersembahkan berikutan kekangan tertentu, ia kekal sebagai warisan penting yang mencerminkan pandangan dunia masyarakat Melayu tradisional terhadap kesihatan mental dan spiritual.
Persembahan Main Puteri ini akan berlangsung pada 4 Mei 2026, jam 8.30 malam di Panggung Eksperimen ASWARA sempena Buka Panggung 2026.
Ia akan dipersembahkan oleh Tok Minduk terkenal, Pak Mat Jedok, yang juga dikenali sebagai adiguru dalam bidang tersebut.
Acara ini terbuka dan percuma kepada pelajar, penggiat seni, penyelidik dan masyarakat umum yang ingin mendalami salah satu khazanah seni tradisi Melayu yang semakin jarang disaksikan di pentas arus perdana.













