Shamsuddin Salleh dan latar belakang ringkasnya
Nama Shamsuddin Salleh (1906-1977) dalam lapangan sastera tempatan dikenali sebagal novelis yang prolifik dan berpengaruh di zaman sebelum Perang Dunia Kedua, iaitu sejak dari pertengahan tahun 1930-an hinggalah Jepun menyerah kalah pada tahun 1945. Tanpa disedarinya, karya-karya beliau telah mendapat perhatian di dalam kajian-kajian yang dilakukan oleh beberapa sarjana tempatan.
Nama Shamsuddin diletakkan sebaris dengan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan Ahmad Boestamam dan bersahabat dengan A. Samad Ahmad dan Abdullah Hussain. Ini membuktikan bahawa Shamsuddin mempunyai tempat yang tersendiri dalam mengangkat tema-tema tentang kesedaran sosial dan kritikan terhadap isu-isu yang melanda masyarakat Melayu pada waktu itu.
Shamsuddin dilahirkan pada 31 Ogos 1906 Kota Betung, Siak, Sumatera, Indonesia. Beliau membesar dan mendapat pendidikan awal di Pekanbaru dan pernah bekerja sebagai Guru Pelatih dan Pegawai Undang-Undang (Jaksa Kerapatan) di Mahkamah Raja di bawah Raja Siak.
Semasa di usia remaja, Shamsuddin banyak membaca buku-buku karangan tokoh besar Indonesia seperti Agus Salim, Hassan Bandung dan Tjokroaminoto; novel-novel oleh Hamka, Abdul Moeis dan Nor St. Iskandar; karya-karya terjemahan oleh Leo Tolstoy, Shakespeare dan Arthur Conan Doyle dan menguliti karangan-karangan yang diterbitkan oleh Balai Pustaka.
Pada pertengahan 1920-an, pengembaraan Shamsuddin bermula dengan meninggalkan kampung halaman selepas menjadi mangsa intipan Belanda. Beliau belayar menuju ke Singapura dan ditawarkan berkhidmat bersama pasukan perisikan British. Tugas membuat laporan rahsia membawa Shamsuddin merantau ke luar negera seperti Bangkok, Manila, Hong Kong, Burma dan Indonesia.
Minat membaca Shamsuddin tidak surut, malah dia semakin giat membaca karya penulis Tanah Melayu seperti Syed Syeikh al-Hadi, Raja Mansur, Ahmad Rashid Talu dan Abdul Rahim Kajai. Atas minat mendalam dalam bidang penulisan, Shamsuddin mula menulis rencana dan berita dalam akhbar-akhbar tempatan. Beliau kemudian berjinak-jinak dalam bidang penerbitan dengan mencetak hasil karyanya.
Novel pertama Shamsuddin berjudul Kasih Berbalas (Jauhariah Press, Muar 1936). Shamsuddin bukan sekadar menulis dan mencetak, bahkan turut menjual sendiri karyanya dan menguruskan percetakan novel-novel penulis lain. Pada penghujung 1937, Shamsuddin berpindah ke kampung isterinya di Kuala Pilah. Dia meneruskan kegiatan percetakannya sambil membantu rakan-rakannya yang membuka syarikat percetakan.
Pergaulannya dengan ramai penulis, penerbit dan pencetak buku membolehkan Shamsuddin berkenalan dengan tokoh-tokoh pemimpin dan pergerakan kebangsaan seperti Dato’ Onn Jaafar, Ibrahim Hj. Yaacob, Ahmad Boestamam dan Pak Sako.
Dua minggu sebelum Jepun menyerang Tanah Melayu pada bulan November, tahun 1941, Shamsuddin ditangkap di Ipoh di bawah undang-undang darurat kerana disyaki menentang British melalui kegiatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM). Shamsuddin dihantar ke penjara Pudu sebelum dipindahkan ke penjara Changi, Singapura sebulan kemudian. Turut ditangkap ketika itu ialah Ahmad Boestamam dan A. Samad Ahmad yang menjadi ‘teman’ sepenjara.
Shamsuddin dibebaskan dari penjara sebaik sahaja Jepun berjaya menguasai Singapura pada awal tahun 1942. Sebagai balasan, beliau ditawarkan untuk bertugas sebagai mata-mata gelap bagi pihak Jepun. Namun, oleh kerana tidak berdaya menyaksikan kekejaman askar Jepun di hadapan matanya, Shamsuddin melarikan diri ke Semenanjung dan kembali menetap di Kuala Pilah bersama isteri dan anak-anaknya. Zaman perang ini turut menyebabkan Shamsuddin melakukan bermacam-macam pekerjaan demi kelangsungan hidup, termasuklah bertani, berniaga dan bersawah di Kuala Pilah dan sebagai tukang jahit di Temerloh.
Selepas perang berakhir, Shamsuddin terlibat dalam gerakan kemerdekaan bersama Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diketuai oleh Ahmad Boestamam dan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Ketika itu rakyat Indonesia turut bergolak menentang penjajahan Belanda dan Shamsuddin merasa bertanggungjawab untuk berjuang bersama-sama rakyat Indonesia.
Dia berangkat ke Sumatera pada pertengahan 1947 dan terlibat melawan penjajahan Belanda dengan memegang senjata. Selepas Indonesia mencapai kemerdekaan, Shamsuddin bertugas sebagai pengawai pentadbir di beberapa buah wilayah seperti Kampar Kiri, Pekanbaru, Tanjung Balai, Midai dan beberapa lagi.
Selepas bersara dari perkhidmatan awam di dalam pemerintahan Indonesia, Shamsuddin mengambil keputusan untuk kembali ke Malaysia pada tahun 1962 dan terus menetap di Kuala Pilah. Shamsuddin meninggal dunia pada petang Jumaat 1 April 1977 ketika berusia 71 tahun di Kuala Pilah. Beliau meninggalkan seorang isteri, Hajjah Rokiah Nordin dan empat orang anak.
Sewaktu jenazah Shamsuddin dimandikan, salah seorang cucunya di Kuala Pilah yang dikenali sebagai Tok Ajai berkata, tubuhnya dipenuhi dengan bekas tembakan peluru. Ini menandakan Shamsuddin pernah melalui suasana pertempuran dan terlibat dalam peperangan yang sebenar.
Dalam lapangan sastera
Walaupun senarai lengkap karyanya masih diragui, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah merekodkan lebih daripada 25 judul novel karya sastera Shamsuddin tersimpan sebagai khazanah anak bangsa Melayu yang tercinta (senarai novel tersebut boleh dirujuk di halaman 361-362). Antara novel yang terkenal ialah Hidup yang Derhaka, Bingkisan Rahsia, Pertandingan Sukma, Kasih Berbalas, Doktor Osman, Tiga Bulan dalam Penjara, Pemimpin Sulit dan Kesetiaan Perempuan.
Ketokohan Shamsuddin menyaksikan dia pernah beberapa kali menjadi bahan kajian penyelidik dalam dan luar negara. Paling utama ialah latihan ilmiah yang disiapkan oleh Hussein Mahmood di Universiti Malaya pada 1965 dengan judul Shamsuddin Salleh Sebagai Pengarang Novel Sebelum Perang Dunia Ke-2.
Kajian ini menumpukan karya-karya Shamsuddin dari beberapa aspek dan meneliti sumbangannya pada sastera Melayu zaman itu. Tambah menarik lagi, pengkaji berpeluang menemubual sendiri Shamsuddin yang ketika itu menetap di Kuala Pilah. Salinan kajian ini disimpan di Perpustakaan Universiti Malaya dalam bentuk microfiche, ditulis menggunakan mesin taip manual berjumlah 117 mukasurat.
Nama Shamsuddin juga dimasukkan ke dalam Biografi Penulis Wajah (Edisi Ketiga) (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005). Buku ini menyenaraikan 139 penulis yang muncul sehingga tahun 1970-an dan telah memberi kesan serta pengaruh yang penting terhadap pertumbuhan dan perkembangan kesusasteraan Melayu moden. Sumbangan para penulis ini ” … di samping secara jelas memperkaya khazanah kesusasteraan turut juga meningkatkan mutu seninya. Ini terlaksana antara lainnya melalui kegiatan, pengalaman, pendidikan, daya kreativiti dan sensitiviti yang mereka miliki.”
Pendeta Za ba dalam Recent Malay Literature (JMBRAS Vol XIX, 1941) turut memetik nama Shamsuddin sebagai “very energetic writer who has published a succession of stories and shorts works, both fiction and non-fiction since 1936.” Dharmawijaya dalam tulisannya yang tersiar dalam Berita Minggu (15 Mei 1976) menyatakan Shamsuddin ialah seorang pengarang sebelum perang yang sangat produktif manakala Abdullah Hussain pula menyifatkan Shamsuddin sebagai seorang pengocak semangat kebangsaan (Dewan Sastra, Mei 1977).
Maka tidak hairanlah, nama Shamsuddin Salleh sering dikaitkan dengan nama-nama besar dalam dunia pengarangan sebelum perang seperti Ishak Haji Muhammad, Abdul Rahim Kajai, Kasmani Haji Arif, Harun Aminurrashid, Mahmud Ahmad dan Misbaha.
* Tulisan ini diambil daripada novel Hidup yang Derhaka: Koleksi Lima Novel Shamsuddin Salleh – Jilid 1 (2026) dan disiarkan semula di Titik Baca dengan izin warisnya, Hazuli Hamzah.













