Lebih ramai pemenang Commonwealth Short Story Prize 2026 disiasat, dakwaan penggunaan AI

Aiunsplash

Foto kredit Unsplash.

GLOBAL — Anugerah Commonwealth Short Story Prize kini berdepan krisis kepercayaan yang semakin meluas selepas beberapa pemenang peringkat rantau bagi edisi 2026 didakwa menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam penulisan mereka, menurut laporan Eksentrika.

Kontroversi ini bermula apabila pembaca mempersoalkan gaya bahasa dan struktur karya The Serpent In The Grove, iaitu pemenang rantau Caribbean yang ditulis oleh Jamir Nazir.

Isu tersebut kemudian merebak kepada beberapa pemenang lain termasuk pemenang Asia, Sharon Aruparayil, serta pemenang rantau Kanada dan Eropah, John Edward DeMicoli.

Semua dakwaan itu bagaimanapun masih dipertikaikan.

Ketua Pengarah Commonwealth Foundation Razmi Farook menegaskan bahawa semua penulis yang disenarai pendek telah mengesahkan secara peribadi bahawa tiada penggunaan AI dalam penghantaran karya mereka.

Beliau turut menyatakan bahawa pihak yayasan tidak menggunakan alat pengesan AI untuk fiksyen yang belum diterbitkan, atas kebimbangan terhadap isu persetujuan, pemilikan artistik serta keterbatasan teknologi pengesanan AI sedia ada.

Krisis AI dalam Commonwealth Short Story Prize

Penulis Trinidad, Kevin Jared Hosein, yang juga pernah memenangi anugerah ini, mengisytiharkan bahawa pertandingan tersebut “telah mati” menerusi satu hantaran tegas di Facebook pada 20 Mei 2026.

Beliau pernah memenangi kategori Caribbean pada 2015 serta pemenang keseluruhan pada 2018, dan pernah berkhidmat sebagai juri pada 2022.

Dalam hantaran tersebut, beliau turut merujuk Jamir sebagai “Trickidadian” dan mempersoalkan mengapa gambar profil penulis berkenaan tidak mencetuskan syak wasangka dalam kalangan juri.

“Jamir sendiri telah mengakui bahawa gambar tersebut diubah suai menggunakan AI. Jika dia sanggup menipu yayasan, mengapa tidak dalam penulisan juga?” katanya.

Kevin turut mengkritik keputusan juri yang memilih karya tersebut, dengan mendakwa gaya penulisan Jamir lemah dan penggunaan metafora serta simile tidak menyokong naratif cerita.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pertandingan tersebut mempunyai perunding AI atau latihan khusus bagi juri untuk mengenal pasti karya yang mungkin dijana AI.

“Jika tiada usaha untuk menguatkuasakan peraturan anti-AI, apa gunanya peraturan itu?” katanya.

Penulis Amerika, Daniel Friedman, turut mengkritik juri dan menyatakan bahawa kontroversi ini membuka persoalan lebih besar mengenai keupayaan mereka mengenal pasti suara penulisan yang autentik.

Perdebatan penggunaan AI dalam penulisan

Di media sosial, pengguna dilaporkan telah menjalankan semakan menggunakan alat pengesan AI seperti Pangram.

Laporan Wired yang dipetik oleh Eksentrika menyatakan bahawa sesetengah pengguna mendakwa alat tersebut mengklasifikasikan karya pemenang Jamir Nazir dan John Edward DeMicoli sebagai sepenuhnya ditulis AI, manakala karya Sharon Aruparayil dikatakan sebahagiannya dijana AI.

Pada masa sama, karya penulis Holly Ann Miller dan Lisa-Ann Julien dilaporkan dikenal pasti sebagai tulisan manusia.

Namun, alat pengesan AI ini masih dipertikaikan dan tidak dianggap sebagai bukti muktamad.

Pemenang Asia pertahan karya

Sharon Aruparayil menafikan penggunaan AI dalam penulisannya.

Dalam temu bual bersama The Indian Express, beliau mengkritik kebergantungan terhadap alat pengesan AI yang menurutnya boleh menghakimi karya manusia secara tidak adil.

“Orang ramai percaya kepada mesin, dan mesin menentukan apa yang dianggap ‘ditulis manusia’,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa gaya penulisannya dibangunkan melalui proses panjang dan tidak seharusnya dipersoalkan hanya berdasarkan keputusan alat pengesan AI.

Sementara itu, Jamir Nazir belum memberikan sebarang respons terbuka terhadap dakwaan tersebut setakat laporan ini ditulis.

Media MaltaToday melaporkan bahawa John Edward DeMicoli enggan mengulas lanjut selain kenyataan rasmi Commonwealth Foundation.

Penerbit Granta yang menerbitkan karya pemenang rantau berkata pihak editorial tidak terlibat dalam pemilihan karya dan akan mengekalkan penerbitan dalam talian selagi tiada bukti muktamad penggunaan AI.

Sources:Eksentrika

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *