KUALA LUMPUR — Adaptasi filem daripada novel bestseller Kacau karya Ariff Adly dilancarkan secara rasmi malam tadi di Pentas Utama, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026.
Majlis pelancaran itu memperkenalkan Kacau, sebuah filem seram psikologi yang dijadualkan menemui penonton pada November 2026 selepas melalui proses penerbitan dan pascaproduksi yang kini berada di peringkat akhir.
Filem tersebut diterbitkan dan diarahkan oleh Muzzamer Rahman menerusi Le Mediator Studio dengan kerjasama Buku Fixi, Cine Works dan Technica Studios.
Naskhah ini turut mendapat sokongan Dana Kandungan Kreatif Co-Production daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Lakon layar filem itu ditulis oleh Muzzamer Rahman bersama Nazim Masnawi berdasarkan novel yang diterbitkan oleh Buku Fixi.
Adaptasi ini sekali gus menandakan satu lagi karya popular terbitan Buku Fixi yang berjaya menembusi medium perfileman tempatan.
Kacau menampilkan barisan pelakon muda yang terdiri daripada Idan Aedan, Khayrisyah Kemal, Fimie Don, Sadiq M Jamil, Nurel Baharin, Arfie Shah dan Evanatie Sannie.
Kesemua pelakon utama berusia bawah 32 tahun, sejajar dengan fokus filem yang mengetengahkan pengalaman dan keresahan generasi muda.
Filem ini juga menjadi penampilan sulung di layar perak buat Khayrisyah Kemal, Nurel Baharin dan Evanatie Sannie.
Dari aspek teknikal, filem berkenaan menerima sentuhan sinematografi Hafiz Rashid yang pernah menerima pencalonan sebanyak dua kali di Festival Filem Malaysia (FFM).
Proses pascaproduksi pula dikendalikan oleh Technica Studios, studio yang pernah meraih dua kemenangan di FFM.
Bagi meningkatkan pengalaman tontonan, Kacau akan dipersembahkan dalam format audio Dolby Atmos yang menawarkan pengalaman bunyi lebih mendalam dan realistik kepada penonton.
Penggambaran filem ini dijalankan selama 25 hari di Kuala Lumpur dan Kedah, termasuk di sebuah bangunan tinggal sebenar yang sering dikaitkan dengan kisah-kisah seram.
Keseluruhan produksi melibatkan hampir 50 kru dan dilaporkan berjalan lancar sepanjang tempoh penggambaran.
Dari segi jalan cerita, Kacau mengisahkan sekumpulan anak muda yang bermain satu permainan ritual sekadar suka-suka. Namun, tindakan tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka mula diganggu oleh satu entiti yang sukar dijelaskan.
Selain mengetengahkan elemen seram psikologi dan misteri, filem ini turut menyentuh kegelisahan generasi muda yang sedang berhadapan dengan cabaran memasuki alam dewasa yang penuh ketidakpastian, tekanan sosial dan realiti kehidupan yang mencabar.
Gabungan tema tersebut menjadikan Kacau bukan sekadar sebuah filem seram, malah sebuah naskhah yang cuba mencerminkan keresahan generasi muda masa kini.
Produksi Kacau turut menerima penajaan peralatan penggambaran daripada Canon Marketing Malaysia dan Tegas Broadcast & Multimedia.
Sementara itu, FK Sneakers tampil sebagai penaja kasut rasmi manakala Rekomen Filem diumumkan sebagai rakan media rasmi projek berkenaan.
Setakat ini, pihak produksi masih dalam perbincangan dengan beberapa syarikat pengedaran dan pemameran bagi menentukan strategi tayangan menjelang pelancarannya pada November nanti.
Dengan statusnya sebagai adaptasi daripada novel yang mempunyai kelompok peminat tersendiri serta dibarisi bakat-bakat muda industri, Kacau dilihat berpotensi muncul sebagai antara filem seram tempatan yang paling dinantikan oleh generasi penonton baharu pada tahun ini.













