Hikayat Maharaja Seri Rama bakal dilancarkan di PBAKL 2026

Promohikayat

KUALA LUMPUR — Pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 berpeluang menyaksikan pelancaran buku Hikayat Maharaja Seri Rama yang disusun oleh Che Mat Jusoh pada esok, jam 8 malam di Pentas Utama Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Penerbitan karya tersebut diusahakan oleh Nusa Centre dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan, sebagai usaha memelihara dan mendokumentasikan salah satu warisan penting seni tradisi Melayu yang menjadi rujukan utama dalam persembahan Wayang Kulit Kelantan.

Penerbit Nusa Centre, Syed Mohd Zakir Syed Othman berkata, penerbitan buku tersebut merupakan antara pencapaian terbesar pihaknya dalam usaha mengangkat khazanah budaya bangsa kepada masyarakat.

Pelancaranhikayatmaharajaserirama

“Kejayaan besar Nusa Centre adalah berjaya menerbitkan mahakarya Hikayat Maharaja Seri Rama yang disusun oleh Che Mat Jusoh. Ia tentunya penyusunan yang mengambil masa berdekad lamanya.

“Hikayat ini selalu digunapakai oleh Wayang Kulit Kelantan. Usaha yang dilakukan oleh Che Mat Jusoh ini adalah sumbangan besar terhadap khazanah negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MOTAC yang membantu merealisasikan penerbitan karya tersebut.

“Setinggi-tinggi terima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan yang merealisasikan impian besar ini,” katanya.

Selain majlis pelancaran, pengunjung turut berpeluang mengikuti sesi forum khas yang menampilkan Che Mat Jusoh bagi membincangkan sejarah, nilai budaya dan kepentingan Hikayat Maharaja Seri Rama dalam konteks warisan Melayu serta tradisi Wayang Kulit Kelantan.

Forum tersebut akan dikendalikan oleh Pengerusi Pengelola PBAKL 2026, Mohd Khair Ngadiron.

Penerbitan Hikayat Maharaja Seri Rama dilihat sebagai satu usaha penting dalam memastikan teks warisan yang selama ini hidup dalam tradisi lisan dan persembahan dapat didokumentasikan untuk rujukan generasi akan datang, sekali gus memperkukuhkan usaha pemeliharaan warisan budaya negara.

Orang ramai dijemput hadir ke Pentas Utama PBAKL 2026 pada jam 8 malam, 2 Jun 2026, bagi mengikuti pelancaran dan forum yang menghimpunkan tokoh-tokoh penting dalam bidang warisan dan kebudayaan tersebut.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *