KUALA LUMPUR — Penulis novel legenda, Nami Cob Nobbler, mengumumkan bahawa beliau siap menulis semula skrip teater Awek Chuck Taylor, karya yang pernah dipentaskan pada tahun 2014.
Menerusi satu hantaran di Instagram hari ini, beliau mengakui naskhah asal yang dihasilkan lebih sedekad lalu mempunyai beberapa kelemahan dari segi pembinaan plot, perwatakan dan aspek teknikal penulisan kerana ketika itu beliau masih berada pada peringkat awal penglibatan dalam bidang penulisan skrip.
Menurutnya, skrip tersebut disiapkan dalam tempoh yang singkat bagi memenuhi keperluan pementasan matinee sempena Hari Valentine di PJ Live Arts sebelum dipentaskan sekali lagi dalam festival anjuran organisasi berkenaan pada tahun yang sama.
“Pada ketika itu, saya perlu menyiapkan skrip sempena pementasan matinee Hari Valentine’s di PJ Live Arts dan kemudiannya PJ Live Arts Festival 2014. Saya agak terburu-buru dan pada ketika itu tiket dibeli dengan pantas dan saya menulisnya dengan tidak begitu sempurna,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kecintaannya terhadap dunia teater tidak pernah luntur walaupun kini lebih dikenali sebagai penulis novel.
Berbekalkan pengalaman yang lebih luas dalam bidang penulisan, beliau mengambil keputusan untuk mengolah semula keseluruhan skrip tersebut agar lebih mantap dan relevan dengan perkembangan semasa.
Menurut beliau, versi baharu Awek Chuck Taylor dibangunkan dengan struktur yang lebih tersusun, keseimbangan watak yang lebih baik serta perkembangan plot yang lebih kemas.
Selain itu, aspek sensitiviti masyarakat turut diberi perhatian dalam proses penulisan semula tersebut.
“Jika ada mana-mana penerbit, kelab penulis, pelajar tahun akhir teater atau sesiapa sahaja berminat untuk mementaskan skrip ini, boleh hubungi saya di DM,” katanya.
Terdahulu, Nami turut mengumumkan penerbitan semula novel Awek Chuck Taylor yang telah digarap dan ditulis semula bersempena ulang tahun ke-15 penerbitannya pada tahun ini.
Pengumuman terbaharu itu sekali gus membuka peluang kepada kumpulan teater, penggiat seni persembahan dan institusi pengajian tinggi untuk menghidupkan kembali karya yang pernah mendapat sambutan penonton ketika pementasan asalnya pada tahun 2014.













