KUALA LUMPUR — Personaliti media sosial dan usahawan, Aisyah HijanahAzhari, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan kesalahan penulisan ayat al-Quran yang terdapat dalam buku Wanita Syurga.
Kesalahan tersebut menimbulkan kegusaran dalam kalangan pembaca, para asatizah serta masyarakat umum.
Dalam satu kenyataan hari ini, Aisyah mengakui bahawa beliau memikul tanggungjawab sepenuhnya ke atas ralat tersebut sebagai penerbit dan individu yang membawa nama pada naskhah berkenaan.
Walaupun buku tersebut merupakan hasil penulisan bersama seorang penulis upahan (ghostwriter), Aisyah menegaskan bahawa beliau sepatutnya lebih teliti dalam menyemak kandungan, khususnya yang melibatkan ayat-ayat suci al-Quran, sebelum diterbitkan.
“Saya menerima sepenuhnya teguran ini dan tidak akan meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak,” katanya.
Beliau turut menyedari kedudukannya sebagai figura Islamik yang menjadi rujukan ramai wanita memerlukan beliau untuk lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian ilmu.
Susulan insiden ini, Aisyah menggariskan empat langkah drastik yang diambil serta-merta:
- Menghentikan sementara jualan semua buku di bawah syarikat penerbitannya.
- Menarik balik Wanita Syurga daripada semua kedai buku serta platform jualan dalam talian dan luar talian.
- Melaksanakan semakan semula secara menyeluruh terhadap kandungan buku tersebut.
- Menyediakan versi digital yang telah diperbetulkan untuk para pembaca yang menginginkan naskhah yang dikemas kini.
Aisyah menyifatkan perkara ini sebagai satu teguran daripada Allah agar beliau menjadi insan yang lebih teliti dan bertanggungjawab dalam menyampaikan amanah ilmu agama.
Beliau turut menghargai teguran membina daripada semua pihak dan menjadikannya sebagai pengajaran besar dalam perjalanannya.
Beliau berjanji akan memperketatkan proses semakan pada masa akan datang bagi memastikan ketepatan setiap perkara yang dikongsikan kepada masyarakat.













