Hanna Alkaf penulis Malaysia yang sudah mula tempa nama dalam kategori young adult dan middle-grade khususnya di Amerika.
Ini bermula daripada novel pertamanya The Weight of Our Sky (2019, terbitan Salaam Reads, USA), di mana judulnya sendiri mengambil inspirasi daripada pepatah “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.
Beliau mencapai kejayaan ini walaupun masih menetap di Malaysia. Ini menidakkan tohmahan malas netizen (yang selalunya bersarang di portal Bahasa Inggeris tertentu) bahawa, “Malaysia ni terox gile, orang kena keluar dari sini kalau nak berjaya dalam mana-mana bidang kreatif.”
Netizen sebegini akan nongkrong di mana-mana artikel pasal Michelle Yeoh, Henry Golding dan yang sewaktu dengannya.
Pengikut Hanna Alkaf di media sosial akan tahu, beliau bukanlah orang yang hidup terasing daripada masyarakat dalam Bangsar bubble—yang saya terjemah ikut suka sebagai tempurung Telawi.
Semasa 2020–2022 apabila Malaysia dilanda dua musibah serentak (Covid-19 dan juga politikus hamak), beliau menggerakkan kempen #KitaJagaKita bersama beberapa rakan, untuk membantu orang yang paling memerlukan di kala nan mencabar itu. Beliau seorang—bak kata netizen Perancis—engagé.
The Weight of Our Sky bertempat semasa rusuhan kaum 13 Mei 1969, topik yang jarang disentuh dalam sastera popular kita.
Ia mengambil sisi manusiawi; kita melihat bahawa mangsa sebenar kepada adu domba yang digerakkan pelakon politik merupakan rakyat biasa yang sepatutnya boleh bekerjasama dalam semua hal—ya, kita jaga kita.
Buku fiksyen terbarunya, The Warung Between Worlds diterbit oleh Bookiut PTS, Malaysia.
Ini menandakan bukunya yang pertama yang dikeluarkan oleh syarikat Malaysia sejak buku non-fiksyennya Gila: A Journey Through Moods & Madness (Gerakbudaya, 2016).
Seperti kelaziman Bookiut terkini, buku ini sangat cantik, dengan spray-edge warna-warni hingga seluruh buku tampil lazat seperti kek batik. Selain estetik permukaan, ia punya isi yang matang dan manusiawi.
Walaupun buku ini ditulis dalam bahasa Inggeris, justeru dapat dibaca ramai di seluruh dunia, terdapat beberapa hal yang unik tentang Malaysia yang diselitkan bagaikan easter egg.
Antara yang paling mencuit adalah bagaimana Arya terpaksa siapkan sebuah karangan untuk sekolah, namun otaknya serabut hingga “She simply cannot be forced to think about what it is like to be a pencil under these conditions.”
Mencuit sebab siapa di antara kita yang tak biasa dengan genre “Saya Sebatang Pensel”?
Untuk tahu sinopsis novela ini, sila gunakan khidmat enjin carian. Apa yang saya lebih nak tekankan adalah dua momen di mana unsur politik matang diselit dengan lunak dan menghiburkan.
Pertamanya, apabila Arya diberi tugas memasak demi memenangi hati panel hakim yang bukan calang-calang hakim.
Untuk cubaannya yang pertama, dia hasilkan beef Wellington. Cara dia memasak diceritakan dengan kinetik dan mendebarkan, yang mengingatkan saya kepada animasi Ratatouille (2007).
Namun, hidangannya tidak memuaskan hakim. Alasan salah seorangnya, “This dish is almost perfect. But it is not yours. It does not come from you. It has no roots within your soul.”
Segmen ini menunjukkan bahawa apa saja masalah yang marhaen hadapi, ia tak dapat diselesaikan oleh golongan elit yang makan beef Wellington sebagai hidangan biasa.
Jadi tak perlulah kita membodek orang sebegitu, sebab pandangan dunia dan kehendak mereka terlalu lain.
Momen kedua adalah permulaan Bab 12. Situasi cemas antara Arya dan seekor moonrat—setelah gugel, baru tahu nama tempatannya, “tikus ambang bulan”.
Makhluk itu telah mengambil nanas yang hendak digunakan gadis itu. Berlaku pertelingkahan—nanas ini milik siapa? Siapa yang sampai dulu? Siapa yang lebih berhak?
Pergaduhan yang mungkin sepele ini merujuk kepada punca hampir semua konflik dalam dunia moden—bagaimana kita nak uruskan hidup bermasyarakat dengan sumber alami, kebendaan dan juga daya yang terhad?
Jadi muncullah polemik—termasuk oleh juak yang disogok atau harapkan sogokan, “Kaum itu nak merampas hak kami!”
Kita dah biasa dengar retorik sebegini sejak zaman merdeka, tapi paling meruncing tahun ini apabila sifat cauvinisme menular kepada ancaman keras terhadap pengungsi Rohingya di sini.
Dilema “masa depan pelarian” sudah pasti sesuatu yang kompleks, kerana melibatkan geopolitik antarabangsa dan keterbatasan sumber tempatan; dan ini dibumbu sisi gelap kapitalis dari segi pemerdagangan manusia, contohnya.
Namun mencerca keseluruhan satu kaum hingga anggap mereka layak dihumban ke dasar laut bukanlah tindakan manusia yang mengaku beriman.
Satu petikan dialog antara Arya dan tikus berkenaan (ya, walaupun dia menjelma sebagai binatang, dia petah berbicara dan bukannya tiada tamadun):
“I’m sorry. I don’t mean to be rude. But that is my pineapple. I need it quite badly.”
“I do too!” the moonrat snaps. “I’m hungry.”
“But you could find something else—”“Why should I?” The moonrat narrows its eyes at her. “Who’s to say your need is greater than mine? Who gets to decide that?”
Arya blinks. It is unanswerable. “You’re … right,” she says eventually. “We both have needs. Perhaps I can help you meet yours another way? One that doesn’t involve eating my pineapple?”
Saya takkan dedahkan solusi dilema ini, tapi bila sampai ke bab ini saya tertanya kepada diri sendiri, mana pergi suara mana-mana Sasterawan Negara dalam mendepani kebencian yang bakal membawa kepunahan?
Mana pergi suara penyair masyarakat yang begitu lantang tentang nasib Palestin?
Apakah penulis senior kita hanya bersuara apabila timbul isu bahasa (contohnya PPSMI) atau betapa perlunya baucar buku dan wang hasil anugerah sastera?
Soalan-soalan itu bukanlah skop rencana ini. Saya hanya nak raikan kemunculan novela ini sebelum saya makan apa yang baru dimasak sendiri (walaupun tak sepandai Arya).












