Dek kerana fotografi jalanan sering dianggap sebagai “binatang jalang dari kumpulan terbuang” (meminjam kalimat Chairil Anwar dalam sesajaknya untuk merujuk kepada tindakan “dianaktirikan”), kerana ia sering tak ditanggapi sebagai seni (dalam takrifan fotografi seni) juga tak ditanggapi sebagai bentuk serius dokumentasi seperti fotografi dokumentari atau fotojurnalisme—sedikit sebanyak membuatkan para fotowan jalanan menghuni dilema sehingga segala projek bukufoto dan zine foto tergendala dan terjejas kerana merasa seolah-olah koleksi foto-foto mereka tidak membawa apa-apa muatan seperti mana fotowan dari bentuk dan genre yang lain.
Saya sering cenderung mengatakan fotografi jalanan berada di titik kediantaraan (in-betweenness)—di antara seni dan dokumentari—walaupun saya sedar berada di garis kabur inilah yang akhirnya mengheret genre dan bentuk fotografi jalanan ini ke pinggiran, dibinatang jalangkan (malah lebih parah dibinatang jalangkan oleh sebilangan pengamalnya sendiri) serta dalam kalangan kalayak dunia maya yang menjadi nazi-etika (meminjam perkataan grammar-nazi).
Maka, Secluded Seconds oleh Amirul Johari, seorang jenterawan pengangkutan awam, adalah sesuatu yang dinanti-nantikan.
Beliau sendiri bersabda bahawa ini adalah foto-foto yang dikeluarkan daripada arkibnya sepanjang beberapa tahun menggeluti jalanan.
Untuk fotowan seperti Amirul Johari, yang telah menggambar Kuala Lumpur hampir separa dekad, adalah sukar untuk menafikan nilai dokumentasinya meskipun bukan dalam erti kata dokumentari dan dokumentarian.
Dari sudut kraf pula, secara amnya, kraf Amirul Johari sudah pun selesai—dibangunkan hampir separa dekad hasil perguruan dengan sifunya, Wan Zuharuddin.
Label seni atau tidak ini sangat bersifat relatif, tetapi yang jelas, kraf Amirul di takah yang mengagumkan. Lihat sahaja kepakarannya mengeksploitasi lampu denyar (flashlight) sehingga menghasilkan efek motion blur pada beberapa foto dalam Secluded Seconds dan yang paling ikonik, foto manusia bertopeng hantu dengan efek seakan-akan roh terkeluar!
Satu lagi foto dengan lampu denyar yang menarik secara fotografik adalah foto overexposure seorang pemain cosplay yang mengaburkan kepala figura yang ditangkap—seakan Amirul menangkap manusia halimunan!
Soal kraf selesai ini telah mengingatkan saya kepada kata-kata Seniman Negara Syed Ahmad Jamal, “Saya percaya bahawa tugas pelukis yang utama bukanlah untuk mencipta karya-karya seni … tugas utama pelukis catan ialah membuat catan, membuat gambar, lukisan-lukisan, imej-imej.” (Dewan Sastera, 1976) kerana menurut Syed Ahmad Jamal juga, “Pada asasnya pelukis ialah pembuat imej … dalam seni konsep sekalipun, aspek tampakan itu adalah penting. Hasilnya boleh diterima, sama ada seni ataupun tidak … (Dewan Sastera, 1976).
Meskipun gemulah Syed Ahmad Jamal berhujah dalam konteks seni tampak, ia relevan dalam membicara soal fotografi yang juga merupakan sebahagian daripada keluarga seni visual (meskipun tak ditanggapi dengan baik di Malaysia).
Di satu spektrum, foto-foto dalam Secluded Seconds ini menangkap manusia-manusia sunyi, bukan sahaja menerusi foto-foto solitud subjek dalam tangkapan luas (wide-angle) tetapi juga banyak yang berbentuk mise-en-abyme atau foto di dalam foto, bingkai di dalam bingkai.
Foto pertama diambil di Rex KL—seorang lelaki sedang menonton seorang diri dengan imej abstrak di layar, benar-benar menghadirkan perasaan solitud selain boleh dibaca seolah-olah + kita akan menjadi penonton kepada pengalaman Amirul Johari menangkap kesunyian.
Foto lain dengan gaya mise-en-abyme adalah foto seorang lelaki melihat skrin berbilang (multiscreen) dengan sosok Anwar Ibrahim di kala muda yang memberikan konteks dan nuansa Malaysiana kepada keseluruhan zine foto ini.
Begitu juga foto berbentuk mise-en-abyme dengan pendekatan jukstaposisi di mana seorang lelaki memakai payung menatap imej mata wanita pada badan bas—seakan-akan kedua-dua mereka saling berpandangan.
Ada juga foto-foto yang diambil untuk menangkap subjek di dalam bingkai, misalnya di dalam bingkai tingkap bas, tingkap kereta dan pelbagai lagi.
Tidak tahu apakah ini krisis suku-usia (quarter-life crisis) fotowannya, tetapi yang pasti ia adalah gambaran dan cerminan kendiri (self-reflection) kepada nuansa sunyi Amirul.
Memang benar fotografi adalah refleksi kepada fotowannya kerana setiap fotograf adalah auto-portrait atau self-portrait fotografernya tetapi percaya dengan “kematian fotowan” (diambil dari kematian pengarang—The Death of the Author oleh Barthes yang berpegang bahawa interpretasi pengkarya bukanlah interpretasi mutlak terhadap karyanya kerana setelah karya siap, pengkarya sudah mati), solitud yang dipaparkan oleh Amirul Johari dalam Secluded Seconds ini sebenarnya adalah sebuah representasi kesunyian kota, khususnya Kuala Lumpur.
Di sinilah spektrum sunyi lain yang boleh ditemukan dalam Secluded Seconds. Lihat sahaja foto terakhir zine foto ini yang ditutup dengan imej cahaya di pentas konsert yang, secara ironinya, masih menangkap kesendirian dan kesunyian dengan imej tangkapan luas dan subjek di bawah dalam khalayak.
Filsuf Jerman, George Simmel pernah bersabda, “Tiada tempat yang lebih membuat seseorang kesunyian dan merasa sesat melainkan ketika berada di tengah-tengah kerumunan metropolitan.”

Dalam konteks Malaysia, lebih daripada 70 peratus rakyat merupakan penghuni kota yang juga menjadikan Malaysia sebagai negara dengan kadar tertinggi di Asia Tenggara mengalami urbanisasi. Meskipun kehidupan bandar menawarkan kemudahan yang baik termasuk infrastruktur dan kesihatan, kehidupan di bandar turut berpotensi mengubah corak interaksi masyarakat serta melemahkan sokongan keluarga dan komuniti (Mohd Hussin et al., 2026).
Dari sudut yang lain, kehidupan urban melahirkan manusia-manusia sunyi kerana matinya sifat-sifat komunal dan merebaknya individualisme.
Manusia bergerak dengan cepat, disumpahi oleh kapitalisme dan konsumerisme. Bekerja dan mencari wang untuk terus dan terus hidup untuk bekerja dan mencari wang.
Satu foto yang menangkap nuansa ini dalam zine foto Secluded Seconds adalah foto seorang lelaki yang sedang membuka kostum Minnie Mouse di kepalanya, sepertinya sedang beristirehat daripada bekerja atau tugasnya, dengan latar belakang yang tertulis ayat di papan “Big Deal”.
Begitu juga foto tangkapan luas latar langit biru dengan subjek kecil di bawah frem seorang buruh sedang berdiri di atas bumbung, menyempurnakan kerja-kerja pertukangannya.
Memang lazimnya kota-kota besar, umpamanya Lisbon, yang ditangkap oleh fotowan Portugis, Rui Palha (2016), dengan projek Solitude in the big city, yang menemukan nuansa sunyi kota itu seakan-akan “imprisoned by the weight of the big buildings”.
Begitu juga dengan projek Luc Kurdoc (t.t) dalam menangkap solitud New York, The Singular Loneliness of New York City yang berujar, “There are so many crowds in New York, and there are also so many lonely people.”

Perbezaan antara projek Amirul Johari dengan dua lagi fotowan di atas ialah Amirul menggunakan foto-foto berwarna berbanding kedua-dua yang lain menggunakan hitam-putih serta menghadirkan perasaan melankolia.
Namun, yang menarik di sini ialah Secluded Seconds memaparkan ironi yang dihadirkan menerusi warna-warna vibran dan kontras yakni disebalik imejan-imejan berwarna-warni itu, ada sosok-sosok sunyi yang menghuninya.
Meskipun setiap foto adalah subjektif kerana setiap kali foto ditangkap bererti ]realiti mengalami reduksi (reduction) yang sedang terjadi, pada akhirnya ia adalah pengalaman subjektif fotowan itu sendiri.
Dalam Secluded Seconds, Amirul Johari memilih untuk menangkap kesunyian kota dan kesunyian yang berselubung di dalam diri.













