Hari Terbuka Parlimen catat lebih 13 ribu pengunjung

Htparlimen

Foto kredit Parlimen Malaysia.

KUALA LUMPUR — Hari Terbuka Parlimen Malaysia 2026 (HTPM 2026) mencatat sambutan luar biasa apabila seramai 13,368 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk warganegara asing, hadir sepanjang dua hari penganjurannya di Kompleks Parlimen Malaysia.

Penganjuran HTPM 2026 pada 12 dan 13 September itu memberi peluang kepada orang ramai untuk mendekati institusi perundangan tertinggi negara menerusi pelbagai pengisian, termasuk pameran interaktif, perkhidmatan serta sesi dialog yang menggalakkan interaksi secara langsung antara Parlimen dengan masyarakat.

Inisiatif berkenaan turut menjadi manifestasi usaha “Merakyatkan Parlimen” dengan membuka akses kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat fungsi dan peranan Parlimen sebagai institusi demokrasi yang mewakili suara rakyat.

Menerusi program tersebut, pengunjung berpeluang memasuki Kompleks Parlimen Malaysia yang lazimnya tertakluk kepada peraturan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298), selain menyaksikan sendiri ruang persidangan Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Konsep “Rumah Rakyat” yang diketengahkan menerusi HTPM 2026 menegaskan bahawa Parlimen bukan sekadar tempat persidangan atau proses penggubalan undang-undang, sebaliknya merupakan institusi yang menjadi wadah suara rakyat dan tempat kerajaan dipertanggungjawabkan.

Dalam konteks reformasi institusi, keterbukaan kepada masyarakat turut dilihat selari dengan usaha memperkukuh Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA), khususnya dalam meningkatkan kebebasan, profesionalisme, kecekapan dan integriti institusi Parlimen.

Pendekatan berkenaan penting bagi memastikan perubahan institusi bukan sahaja berlaku pada peringkat dasar dan struktur, tetapi dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat melalui perkhidmatan yang lebih terbuka dan berkesan.

Sambutan positif terhadap HTPM 2026 juga menunjukkan wujudnya minat masyarakat untuk memahami dengan lebih dekat proses demokrasi, fungsi Parlimen serta sistem perundangan negara. Interaksi secara langsung antara rakyat dengan institusi perundangan dapat menyumbang kepada peningkatan celik demokrasi dan literasi undang-undang dalam kalangan masyarakat.

Majlis Penutupan dan Penghargaan HTPM 2026 disempurnakan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Dato’ Awang Bemee Awang Ali Basah.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 59 reruai membabitkan agensi kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) menerima sijil penghargaan sebagai tanda penghargaan atas komitmen serta kerjasama strategik dalam menjayakan HTPM 2026.

Parlimen Malaysia turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh pengunjung, rakan media, pempamer serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Penganjuran HTPM 2026 memperlihatkan bahawa usaha mendekatkan Parlimen dengan rakyat bukan sahaja penting untuk memperkenalkan institusi demokrasi kepada masyarakat, malah menjadi sebahagian daripada proses memperkukuh keyakinan rakyat terhadap Parlimen sebagai institusi yang telus, profesional dan berintegriti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *