KUALA LUMPUR — Islamic Tourism Month (ITM) 2026 kembali sepanjang September dengan menghimpunkan pelbagai tawaran destinasi, penginapan, produk dan perkhidmatan pelancongan mesra Muslim, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara peneraju global dalam segmen berkenaan.
Memasuki edisi kelima, program anjuran Islamic Tourism Centre (ITC) itu bukan sahaja berperanan sebagai kempen promosi pelancongan, malah menjadi platform yang menghubungkan pemain industri, agensi kerajaan dan pengguna dalam usaha memperluas ekosistem Muslim-Friendly Tourism and Hospitality (MFTH).
Penganjuran ITM 2026 juga bertepatan dengan pencapaian Malaysia yang mengekalkan kedudukan sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim nombor satu dunia menerusi Global Muslim Travel Index (GMTI) 2026, untuk tahun ke-11 berturut-turut.
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem MFTH melalui kerjasama strategik dengan pemain industri serta pembangunan standard yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Sehingga kini, lebih 100 hotel, penginapan, taman tema, pusat konvensyen dan produk pelancongan lain telah menerima pengiktirafan menerusi program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) yang diterajui ITC.
Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata, ITM tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai kempen promosi, sebaliknya sebagai wadah untuk memperluas akses kepada produk dan perkhidmatan pelancongan mesra Muslim.
“Melalui ITM 2026, kami mahu memperluaskan akses kepada pelbagai produk dan perkhidmatan pelancongan mesra Muslim, di samping membuka lebih banyak peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meningkatkan keterlihatan serta mengembangkan pasaran mereka.
“Pada masa yang sama, kami ingin memperkukuh pemahaman bahawa pelancongan mesra Muslim menawarkan pengalaman pelancongan yang berkualiti, selesa dan inklusif yang boleh dinikmati oleh semua,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Beliau berkata, pendekatan itu turut memberikan ruang kepada PMKS untuk mendapatkan manfaat daripada pertumbuhan permintaan terhadap pengalaman pelancongan yang mengambil kira keperluan pelancong Muslim, tanpa mengehadkan penawarannya kepada kelompok berkenaan sahaja.
Dalam usaha memperluas capaian kempen tahun ini, portal rasmi ITM turut ditambah baik dengan kemudahan tempahan dan pembayaran dalam talian, membolehkan pengguna merancang perjalanan menerusi satu platform bersepadu.
ITC turut menjalinkan kerjasama dengan AirAsia MOVE sebagai rakan agensi pelancongan dalam talian, selain MNet Technologies yang menyediakan infrastruktur pembayaran digital dan Incentiv5 bagi memperluas pilihan produk pelancongan serta gaya hidup.
Pada masa yang sama, ITM 2026 diperkukuh melalui kerjasama dengan Global Halal Summit (GHaS), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan program Mosque Open Day.
Kerjasama berkenaan memperlihatkan pendekatan lebih menyeluruh terhadap pelancongan mesra Muslim dengan menggabungkan elemen pelancongan, budaya, industri halal dan pengalaman komuniti.
Dari sudut ekonomi, perkembangan ITM turut menunjukkan potensi segmen pelancongan mesra Muslim sebagai salah satu pemacu pertumbuhan industri.
Sejak diperkenalkan pada 2022, nilai jualan dan promosi menerusi ITM meningkat daripada RM2.59 juta pada 2024 kepada RM2.64 juta pada 2025.
Peningkatan tersebut menunjukkan permintaan terhadap produk dan pengalaman pelancongan mesra Muslim terus berkembang, selain membuka ruang kepada pemain industri tempatan untuk memperluas pasaran masing-masing.
Menurut Mohammad Faisal, penganjuran ITM 2026 turut menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026-2027 dan agenda Malaysia MADANI dalam memperkasa sektor pelancongan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Dalam konteks tersebut, pelancongan mesra Muslim tidak lagi wajar dilihat sebagai segmen pasaran yang bersifat khusus, sebaliknya sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan pengalaman pelancongan yang lebih inklusif, berkualiti dan memenuhi kepelbagaian keperluan pelancong.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai ITM 2026 serta meneroka tawaran, promosi, pakej pelancongan, penginapan, produk dan perkhidmatan mesra Muslim yang ditawarkan sepanjang September menerusi portal rasmi ITM.












