NANNING, CHINA — Malaysia terus memperkukuh kerjasama kebudayaan ASEAN-China dengan mengangkat warisan seni dan kraf sebagai pemangkin pembangunan ekonomi kreatif menerusi fasa kedua program ASEAN-China Heritage: Dimensions of National Arts 2.0 (ACH-DNA 2.0) di Nanning, China.
Program yang berlangsung bersempena dengan China-ASEAN Expo (CAEXPO) 2026 itu memberi tumpuan kepada penerokaan potensi kontemporari warisan tekstil dan kraf melalui pendekatan inovasi, perkongsian pengetahuan serta jaringan industri kreatif antara negara ASEAN dan China.
Fasa Nanning ACH-DNA 2.0 dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato’ Mohd Yusri Mohd Yusoff, pada sabtu.
Program yang bertemakan “Reimagining Heritage Through Innovation” itu dianjurkan oleh MOTAC dengan kerjasama Society of Creative Symphony (SCS), serta mendapat sokongan ASEAN-China Cooperation Fund (ACCF) dan Sekretariat ASEAN.
Menurut Mohd Yusri, ACH-DNA 2.0 menyediakan wadah penting bagi negara ASEAN dan China untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman serta pendekatan baharu dalam usaha memelihara dan membangunkan warisan budaya.
“Pertukaran ini amat bernilai kerana kerjasama kebudayaan bukan sekadar berkaitan perkongsian tradisi kita. Kerjasama ini juga adalah tentang membina persefahaman, mewujudkan jaringan dan mengenal pasti peluang untuk kerjasama jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan penganjuran fasa Nanning yang berlangsung seiring CAEXPO 2026 kerana platform tersebut membuka ruang lebih luas kepada penggiat budaya dan industri kreatif untuk membina jaringan, meneroka peluang perniagaan serta memperluas kerjasama antara ASEAN dengan China.
Fasa Nanning meneruskan kesinambungan fasa Kuala Lumpur yang berlangsung dari 9 hingga 14 Ogos 2026.
Fasa terdahulu menghimpunkan pembuat dasar, penyelidik, penggiat budaya, pereka bentuk dan usahawan kreatif bagi bertukar pandangan mengenai pemeliharaan warisan, inovasi, teknologi serta pembangunan mampan.
Di Nanning, program ACH-DNA 2.0 diteruskan menerusi pameran tekstil dan kraf, Craft Innovation Talks, demonstrasi secara langsung, sesi padanan perniagaan serta lawatan kebudayaan.
Rangkaian aktiviti tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada peserta mempamerkan kemahiran tradisional dan berkongsi amalan warisan, malah membuka peluang untuk meneroka potensi pasaran serta kerjasama perniagaan dan institusi antara ASEAN dengan China.
Pada masa yang sama, program berkenaan memberi penekanan kepada perkongsian pengetahuan berkaitan teknologi dan inovasi sebagai pendekatan untuk memastikan warisan budaya terus berkembang dalam landskap ekonomi kreatif semasa.
Penglibatan penggiat budaya, pemain industri kreatif dan institusi dari ASEAN dan China juga berupaya memperkukuh hubungan antara masyarakat melalui interaksi dan pertukaran pengalaman yang melangkaui aspek persembahan serta pameran semata-mata.
Dalam hubungan itu, Mohd Yusri merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Republik Rakyat China, Sekretariat ASEAN dan ACCF atas sokongan terhadap pelaksanaan ACH-DNA 2.0.
Penghargaan turut diberikan kepada pihak tuan rumah di Nanning, SCS selaku agensi pelaksana, Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), Tourism Malaysia serta semua rakan strategik dan institusi yang terlibat.
Melalui ACH-DNA 2.0, Malaysia terus meletakkan warisan budaya bukan sekadar sebagai khazanah yang perlu dipelihara, tetapi sebagai sumber pengetahuan, kreativiti dan nilai ekonomi yang boleh dikembangkan menerusi inovasi serta kerjasama serantau.
Inisiatif berkenaan sekali gus memperlihatkan peranan seni dan budaya dalam memperluas hubungan ASEAN-China, di samping membuka ruang baharu kepada penggiat warisan dan industri kreatif untuk bergerak daripada pemeliharaan tradisi kepada penciptaan nilai dalam ekonomi kreatif.













