69 butiran warisan negara diiktiraf, 39 diisytiharkan pada majlis kali keenam

Warisan Masruh

PUTRAJAYA — Sebanyak 69 butiran warisan negara dikenal pasti dalam usaha pengiktirafan dan perlindungan khazanah negara, dengan 39 daripadanya diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan menerusi Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan Kali Ke-6 Tahun 2026, di Dewan Sanggar Pujangga, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), hari ini.

Pengisytiharan yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Timbalan Menteri, Chiew Choon Man itu merangkumi warisan ketara, warisan tidak ketara serta penerima pengiktirafan Tokoh Orang Hidup (WAKOH).

Chiew berkata, pengiktirafan berkenaan bukan sekadar pemberian gelaran, sebaliknya merupakan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Persekutuan yang membawa tanggungjawab perundangan terhadap pemeliharaan khazanah negara.

“Pengisytiharan ini bukan sekadar memberi nama atau gelaran, tetapi ia adalah pengiktirafan tertinggi daripada Kerajaan Persekutuan. Sebaik sahaja sesuatu tapak, bangunan, objek, mahupun warisan tidak ketara itu diisytiharkan, ia secara automatik dilindungi oleh undang-undang, diberi keutamaan pemeliharaan, serta mendapat sokongan pemuliharaan daripada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berkenaan yang dianjurkan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) berlandaskan Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645].

Menurutnya, warisan dan kebudayaan merupakan nadi serta jiwa industri pelancongan negara kerana pelancong domestik dan antarabangsa bukan sahaja tertarik kepada keindahan alam semula jadi, malah turut mencari pengalaman berkaitan cara hidup, budaya dan tradisi tempatan.

“Pelancongan berasaskan warisan budaya juga membuka peluang pendapatan kepada penggiat seni, pengusaha kraf dan komuniti setempat. Namun, dalam usaha mengembangkan potensinya, keaslian dan nilai warisan mesti terus dipelihara,” katanya.

Dalam hal itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan negara perlu dilaksanakan seiring dengan usaha pemuliharaan supaya khazanah sejarah dan budaya tidak terkorban atas nama pembangunan.

Chiew turut menyeru Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Negeri (PBN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemilik aset warisan dan masyarakat supaya memperkukuh kerjasama, khususnya dalam aspek perundangan serta dasar pemeliharaan.

Terdahulu, JWN menganjurkan tiga program utama secara bersepadu dari 2 hingga 5 November 2026, iaitu International Seminar on Heritage Management, Konvensyen Warisan Kebangsaan dan Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan Kali Ke-6.

Seminar antarabangsa yang berlangsung pada 2 hingga 3 November bertemakan “Heritage Sustainability: Advancing Global Standards and Practices”, manakala Konvensyen Warisan Kebangsaan membawa tema “Warisan Kita: Akar Identiti, Kelestarian Masa Hadapan”.

Ketiga-tiga program tersebut menghimpunkan pakar warisan tempatan dan antarabangsa, penggubal dasar, ahli akademik, agensi kerajaan serta penggiat industri bagi membincangkan cabaran dan hala tuju pengurusan warisan, termasuk pemantapan pelaksanaan Akta 645, pembangunan kepakaran profesional dan pengukuhan kerjasama rentas agensi.

Chiew turut merakamkan penghargaan kepada pemilik objek warisan, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan penerima pengiktirafan WAKOH atas komitmen mereka memelihara khazanah negara.

“Ilmu, kemahiran dan sumbangan anda amat bernilai. MOTAC akan terus menyokong usaha perkongsian ilmu dan kemahiran yang anda miliki kepada anak-anak muda kita,” katanya.

Beliau berharap pengiktirafan tersebut menjadi dorongan kepada semua pihak untuk meneruskan usaha pemeliharaan warisan serta memperkukuh rasa bangga terhadap kepelbagaian budaya negara.

  • Ashraf Ali

    Ashraf Ali, wartawan Titik Baca yang menumpukan liputan sastera, budaya dan seni. Penulisannya memberi perhatian kepada perkembangan semasa, isu penerbitan, acara budaya serta kenyataan rasmi yang berkaitan dunia kreatif tempatan.

    Dengan pendekatan pelaporan yang ringkas dan berfakta, Ashraf Ali menekankan kejelasan maklumat, konteks dan ketepatan sumber, selari dengan peranan Titik Baca sebagai portal media budaya. Ashraf boleh dihubungi melalui ashrafali@titikbaca.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *