Che Mat Jusoh terima pengiktirafan WAKOH, sumbangan lestarikan makyung dan wayang kulit Kelantan dihargai

Chemajusoh

PUTRAJAYA — Tokoh seni persembahan tradisional Kelantan, Che Mat Jusoh, menerima pengiktirafan Tokoh Orang Hidup (WAKOH) dalam kategori makyung dan wayang kulit Kelantan sempena Majlis Pengisytiharan Warisan Kebangsaan Kali Ke-6 Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Sanggar Pujangga, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), hari ini.

Pengiktirafan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) itu merupakan penghargaan terhadap sumbangan dan ketokohan beliau dalam memelihara, mengembangkan serta mewariskan seni persembahan tradisional kepada generasi muda.

Sumbangan Che Mat bukan sahaja terserlah melalui penglibatannya dalam seni makyung dan wayang kulit Kelantan, malah menerusi usaha mendidik generasi baharu serta mewariskan kepakaran yang dimilikinya.

Pengisytiharanwarisan
Che Mat Jusoh menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Orang Hidup 2026.

Pengalaman dan pengetahuan beliau turut menjadikannya antara tokoh rujukan dalam kedua-dua bidang seni persembahan berkenaan.

Ketokohan beliau turut diiktiraf menerusi penganugerahan Jurulatih Seni Budaya Negara pada 2007 dan Anugerah Khas Adiguru oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada 2019.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan sumbangan berterusan beliau dalam memastikan kelangsungan dan pemeliharaan wayang kulit Kelantan serta seni makyung.

Selain penglibatan dalam seni persembahan, Che Mat turut memberikan sumbangan penting dalam pendokumentasian warisan budaya menerusi tiga penerbitan bersama Nusa Centre, iaitu Makyung Asyik Jentari Gambalan Dewa (2003), Hikayat Maharaja Seri Rama (2026) dan Wau Bermas Bersayap Sandang, sebuah skrip makyung.

Ketiga-tiga penerbitan tersebut memperlihatkan usaha mendokumentasikan khazanah seni persembahan dan persuratan tradisional Melayu agar dapat dirujuk, dipelajari serta diwariskan kepada generasi seterusnya.

Antara sumbangan penting beliau dalam bidang pendokumentasian ialah penyusunan Hikayat Maharaja Seri Rama (2026), sebuah karya yang mempunyai hubungan erat dengan perkembangan tradisi wayang kulit di Nusantara.

Usaha penyusunan karya itu bermula sekitar 2021 ketika pandemik COVID-19 dan mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disempurnakan.

Sepanjang proses tersebut, Che Mat meneliti enam naskhah Hikayat Seri Rama bertulisan Jawi lama yang dipercayai berasal dari sekitar abad ke-17 sebelum mentransliterasikan teks berkenaan ke tulisan Rumi dan membandingkannya dengan beberapa versi lain dari Nusantara.

Dalam wawancara sempena pelancaran buku itu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, beliau menjelaskan bahawa hikayat berkenaan, meskipun berasal dari India, telah melalui proses asimilasi budaya yang panjang sehingga menjadi sebahagian daripada warisan masyarakat Melayu.

“Sebagaimana kita maklum, Hikayat Seri Rama memang berasal dari India tetapi telah bertapak di alam Melayu lebih daripada 1,000 tahun dahulu.

“Sehinggakan orang Melayu di Nusantara menganggap karya ini bukan lagi hak India semata-mata, tetapi sudah menjadi hak orang Melayu kerana telah dimasukkan unsur budaya Melayu dan juga agama Islam,” katanya.

Penyusunan Hikayat Maharaja Seri Rama turut memperlihatkan hubungan antara warisan persuratan dengan seni persembahan tradisional.

Hikayat tersebut menjadi antara sumber penceritaan penting dalam tradisi wayang kulit Kelantan, sekali gus memperlihatkan bagaimana sesebuah karya dari luar mengalami penyesuaian sehingga membentuk identiti dan nilai budaya tempatan.

Sementara itu, Penerbit Nusa Centre, Syed Mohd Zakir Syed Othman, menyambut baik pengiktirafan yang diberikan kepada Che Mat dan menyifatkannya sebagai penghargaan yang sewajarnya diterima oleh seorang tokoh yang sekian lama menyumbang kepada kelangsungan warisan seni tradisional.

Beliau ketika dihubungi Titik Baca, berharap pengiktirafan seumpama itu tidak terhenti pada penganugerahan semata-mata, sebaliknya membuka lebih banyak ruang kepada tokoh seperti Che Mat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan masyarakat.

Smzakirjune
Penerbit Nusa Centre, Syed Mohd Zakir Syed Othman.

“Pengiktirafan kepada Che Mat Jusoh ini amat bermakna dan sememangnya wajar diberikan. Beliau bukan sahaja seorang penggiat seni yang memiliki pengalaman luas dalam bidang makyung dan wayang kulit Kelantan, malah seorang tokoh yang berusaha mendidik generasi muda serta mendokumentasikan khazanah intelektual bangsa melalui penerbitan karya-karya penting.

“Kita berharap tokoh seperti beliau terus diberikan perhatian, dihargai dan diundang ke majlis-majlis ilmu serta wacana kebudayaan.

“Mereka perlu diperkenalkan dengan lebih meluas kepada masyarakat, khususnya generasi muda, supaya ilmu, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki tidak terhenti bersama hayat seseorang tokoh,” katanya.

Penerbitan karya-karya Che Mat oleh Nusa Centre dengan sokongan MOTAC menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan turut menjadi antara usaha mendokumentasikan warisan sastera dan seni persembahan Melayu untuk rujukan generasi akan datang.

Pengiktirafan Che Mat sebagai WAKOH sekali gus memperlihatkan kepentingan menghargai insan yang menjadi penyimpan dan pewaris tradisi.

Kelangsungan warisan seperti wayang kulit Kelantan dan makyung bukan sahaja bergantung pada pemeliharaan bahan serta persembahan, tetapi turut memerlukan pemindahan ilmu, kemahiran dan pengalaman daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *