ALOR SETAR — Kelab Perempuan Membaca meneruskan usaha memperluas gerakan literasi wanita ke wilayah utara menerusi penganjuran Pertemuan Keempat yang mengangkat tema “Perempuan dan Kerjaya” di Skyview Revolving Glass Hall, Menara Alor Setar, Kedah, pada Sabtu.
Program anjuran Perbadanan Kota Buku (Kota Buku) selaku penaung Kelab Perempuan Membaca itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Booktube Malaysia menerusi inisiatif Kelah Buku.
Penganjuran kali ini menghimpunkan komuniti wanita, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah tempatan serta pengunjung bagi berkongsi bahan bacaan, pengalaman dan pandangan berkaitan pembangunan diri serta kerjaya.
Berlatarbelakangkan panorama bandar raya Alor Setar dan hamparan sawah padi dari puncak Menara Alor Setar, pertemuan tersebut menjadi ruang perbincangan tentang peranan wanita dalam dunia profesional, cabaran mengimbangi tuntutan kerjaya dengan kehidupan peribadi serta kepentingan budaya membaca dalam membentuk kepimpinan dan kemajuan diri.
Inisiatif Kelab Perempuan Membaca yang diilhamkan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, turut mendapat sokongan beliau yang hadir menyempurnakan majlis dan menyertai sesi khas pembacaan menerusi slot “Fadhlina Membaca”.
Bagi menghidupkan perkongsian ilmu dalam kalangan ahli, peserta turut membawa bahan bacaan pilihan masing-masing yang berkaitan dengan wanita, kepimpinan, pembangunan diri dan kerjaya.
Mereka juga mengenakan pakaian bertemakan ungu cair dan biru gelap bagi menyerlahkan identiti pertemuan edisi keempat itu.
Program berkenaan turut menampilkan Sesi Perkongsian Ahli Kelab secara interaktif yang membuka ruang kepada peserta bertukar pandangan tentang naskhah yang dibaca serta aspirasi kerjaya masing-masing.
Aktiviti jaringan sosial yang dianjurkan sepanjang program pula memberi peluang kepada ahli membina hubungan dan memperluas jaringan komuniti.
Dalam usaha menggalakkan penyertaan lebih menyeluruh, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah turut menyediakan bahan bacaan bertemakan wanita dan kerjaya untuk perkhidmatan pinjaman kepada peserta serta pengunjung yang tidak membawa buku sendiri.
Kota Buku turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah atas sokongan dalam menjayakan program tersebut, khususnya dalam menggalakkan penyertaan pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah tempatan.
Penganjuran Kelab Perempuan Membaca secara berkala merupakan sebahagian daripada usaha membina komuniti wanita yang aktif membaca, berfikiran kritis dan berupaya menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui perkongsian ilmu serta pengalaman.
Perluasan siri jelajah ke Kedah juga memperlihatkan komitmen Kota Buku untuk menjadikan gerakan literasi wanita lebih inklusif dan melangkaui lingkungan geografi tertentu.
Usaha ini selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan untuk memperkukuh budaya membaca sebagai asas pembentukan modal insan dan masyarakat berilmu.
Orang ramai yang berminat menyertai siri jelajah akan datang boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web www.perempuanbaca.my atau mengikuti media sosial rasmi @perempuanbaca.my di Instagram dan Threads.













