Imran Ajmain perkenal BEAT, metodologi pelengkap STEM berteraskan kreativiti dan pengkomersialan

Imranajmainbeat

KUALA LUMPUR — Penyanyi dan penggiat seni, Imran Ajmain memperkenalkan BEAT (Brand, Engineering, Art, Technology), sebuah metodologi baharu yang menggabungkan elemen penjenamaan, kejuruteraan, seni dan teknologi bagi memperkukuh pembangunan kreativiti serta potensi pengkomersialan idea.

Metodologi yang dibangunkan dengan kerjasama Spacecity.my itu diperkenalkan pada hari ketiga Kuala Lumpur Design Summit 2026.

BEAT dirangka sebagai pendekatan pemikiran dan pembelajaran yang membantu individu memahami, merancang serta mengembangkan idea menjadi projek yang lebih berstruktur, berdaya saing dan mampan.

Berbekalkan pengalaman lebih dua dekad dalam industri seni dan hiburan, Imran menyumbangkan perspektif serta pengalaman kreatifnya dalam pembangunan metodologi tersebut.

BEAT diperkenalkan bukan untuk menggantikan pendekatan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), sebaliknya sebagai pelengkap yang menghubungkan bidang ilmu berkenaan dengan strategi penjenamaan, pembangunan kreatif dan proses pengkomersialan.

Keistimewaan BEAT terletak pada pembangunannya yang mengambil kira keperluan, kapasiti dan realiti industri tempatan.

Pendekatan ini bertujuan memastikan metodologi tersebut lebih mudah difahami dan diaplikasikan, selain berpotensi diperluas kepada pelbagai lapisan masyarakat.

Berbeza daripada pendekatan pendidikan konvensional yang lazimnya tertumpu pada persekitaran akademik, BEAT turut diketengahkan sebagai gerakan yang menggabungkan elemen komuniti, budaya dan gaya hidup.

Pendekatan ini membuka ruang penyertaan lebih luas kepada generasi baharu, termasuk golongan di luar sistem pendidikan formal.

Melalui pendekatan tersebut, proses pembelajaran, pemikiran kreatif dan pembangunan idea diharapkan dapat diterapkan dalam kehidupan seharian, merangkumi pelbagai kelompok seperti usahawan kecil, penggiat industri kreatif, syarikat pemula, institusi pendidikan dan pemain industri.

Dalam perkembangan berkaitan, Imran memaklumkan bahawa BEAT telah melalui proses pendaftaran harta intelek dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada Ogos lalu.

Usaha turut digerakkan untuk membentuk kerjasama strategik dengan institusi pendidikan, organisasi dan pemain industri bagi memperkemas serta memperluas pelaksanaan metodologi berkenaan.

Fasa awal pelaksanaan BEAT dijangka bermula pada awal 2027 dengan tumpuan diberikan kepada pembangunan modul, pembentukan kerjasama strategik dan penerapan metodologi tersebut menerusi projek sebenar.

Dalam pembentangan yang sama, Imran turut memberikan gambaran awal tentang hala tuju identiti kreatif baharunya selain memperkenalkan SemeNANjung, sebuah projek tipografi yang dibangunkan menggunakan pendekatan BEAT.

Projek tersebut menjadi contoh awal penerapan metodologi berkenaan dalam penghasilan karya kreatif, bermula daripada pembentukan konsep dan identiti sehingga kepada pembangunan produk yang mempunyai potensi komersial.

Pengenalan BEAT memperlihatkan usaha menghubungkan kreativiti dengan keperluan industri, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan idea yang bukan sahaja mempunyai nilai seni, tetapi juga berpotensi diterjemahkan menjadi produk dan peluang ekonomi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *