HSDR Ke-9 dibuka, tawar hadiah tunai hingga RM30,000

IPOH – Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) kembali membuka tirainya bagi edisi ke-9 pada tahun ini, sekali gus meneruskan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam mengiktiraf sasterawan, ilmuwan dan karyawan persuratan yang berasal atau bermastautin di negeri tersebut.

Dianjurkan secara dwitahunan, HSDR merupakan wadah penting untuk menilai, mengangkat dan memartabatkan karya sastera serta penulisan ilmiah bermutu tinggi dalam bahasa Melayu.

Penganjuran anugerah ini turut berperanan memupuk bakat baharu, menghargai ketekalan berkarya serta memperkukuh ekosistem kesusasteraan dan persuratan Melayu di Perak secara berterusan.

Bagi edisi kali ini, pencalonan dibuka sehingga 13 April 2026, dan semua pencalonan wajib didaftarkan menerusi Portal Pangkalan Data Seni Kreatif Perak. Maklumat lanjut serta pendaftaran boleh dibuat dengan mengimbas kod QR pada poster rasmi atau melayari pautan https://linktr.ee/HSDR2026

Hadiah Sastera Darul Ridzuan Ke-9 dianjurkan oleh PORT (People of Remarkable Talents) bagi pihak Kerajaan Negeri Perak, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Nilai hadiah anugerah utama

Empat Anugerah Utama ditawarkan dengan nilai hadiah wang tunai yang signifikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar dalam bidang sastera dan keilmuan, iaitu:

  • Sasterawan Negeri Perak – RM30,000
  • Ilmuwan Negeri Perak – RM20,000
  • Karyawan Sepanjang Hayat Negeri Perak – RM20,000
  • Pejuang Muda Sastera Negeri Perak – RM10,000

Nilai hadiah mengikut kategori karya

Selain Anugerah Utama, HSDR Ke-9 turut menawarkan hadiah mengikut kategori karya seperti berikut:

Kategori A: Buku/Kumpulan

  • Puisi – RM3,000
  • Cerpen – RM3,000
  • Novel Dewasa – RM3,000
  • Novel Remaja/Kanak-kanak – RM2,000
  • Esei/Kritikan Sastera – RM2,000

Kategori B: Karya Eceran

  • Puisi – RM1,500
  • Cerpen – RM1,500
  • Esei/Kritikan/Rencana Sastera – RM1,500
  • Skrip Drama – RM1,500

Kategori C: Karya Ilmiah

  • Karya Citra Perak (Buku) – RM3,000
  • Karya Citra Perak (Eceran) – RM1,500

Semua penerima hadiah turut menerima plak penghargaan dan watikah penghormatan daripada Kerajaan Negeri Perak sebagai pengiktirafan rasmi.

Platform mengangkat sastera negeri

Penyertaan HSDR terbuka kepada warganegara Malaysia yang dilahirkan di Perak, sama ada berkarya di dalam atau di luar negeri, serta individu yang bermastautin di Perak sekurang-kurangnya 10 tahun terkini.

Karya yang dicalonkan mestilah asli, bukan terjemahan atau saduran, dan tidak pernah memenangi atau dicalonkan dalam hadiah sastera di negeri lain.

Dengan pembukaan HSDR Ke-9 ini, para penulis, sarjana dan penggiat sastera diharap dapat memanfaatkan peluang yang tersedia untuk menampilkan karya terbaik mereka, sekali gus menyumbang kepada kelangsungan dan kecemerlangan tradisi persuratan Melayu di negeri Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *