Majlis Berbuka Puasa PKB–MBKM himpun 300 penggiat buku

KUALA LUMPUR – Lebih 300 penggiat industri perbukuan negara berhimpun dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang dianjurkan oleh Perbadanan Kota Buku (PKB) dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), di Ideas Kuala Lumpur Hotel, malam tadi.

Majlis itu menghimpunkan penerbit, penulis, pendidik serta organisasi perbukuan bagi meraikan bulan Ramadan sambil mengukuhkan jaringan kerjasama antara pemain industri, agensi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan rakan strategik industri buku.

Selain mengeratkan silaturahim, majlis tersebut turut menjadi platform penghargaan kepada individu dan organisasi yang terus menyumbang kepada perkembangan budaya membaca serta pembangunan ekosistem perbukuan negara.

Dalam majlis itu, para hadirin turut menyaksikan demonstrasi bacaan eBrelle oleh pelajar dari Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas sebagai simbol komitmen memperluas akses pembacaan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan kurang upaya penglihatan.

Sebagai peneraju pembangunan ekosistem buku negara, PKB terus memperkukuh pelbagai inisiatif strategik termasuk transformasi digital penerbitan, pembangunan platform e-buku dan buku audio serta program peningkatan kapasiti industri.

Usaha tersebut selari dengan matlamat PKB untuk menambah jumlah pembaca baharu di seluruh negara di samping memastikan akses kepada bahan bacaan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi, kemampuan atau latar belakang.

Di peringkat antarabangsa, PKB juga dilihat semakin menyerlah apabila kandungan dan kolaborasi yang digerakkan mula menarik perhatian rakan industri global, sekali gus membuka potensi Malaysia muncul sebagai pusat pertumbuhan penerbitan dan ilmu di peringkat serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB Adibah Omar, berkata industri perbukuan bukan sekadar sektor ekonomi, sebaliknya merupakan asas penting dalam membentuk pemikiran dan nilai masyarakat.

“Industri perbukuan bukan sekadar sektor ekonomi; ia adalah landasan yang membentuk imaginasi, nilai dan hala tuju sesebuah bangsa. Kehadiran lebih 300 penggiat industri malam ini membuktikan kekuatan kolektif yang kita miliki dan potensi besar yang masih boleh dicapai.

PKB akan terus memacu transformasi digital, memperluas akses kepada buku serta merancakkan kerjasama dengan MBKM dan rakan-rakan industri, agar kita dapat melahirkan lebih ramai pembaca baharu di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Malaysia berpotensi muncul sebagai kuasa lembut dalam industri perbukuan global melalui kandungan berkualiti, bakat kreatif yang kukuh serta ekosistem penerbitan yang semakin matang.

“Dalam masa yang sama, kami optimis bahawa Malaysia mampu muncul sebagai kuasa lembut dalam industri perbukuan global, melalui kandungan yang berkualiti, bakat kreatif yang kuat dan ekosistem penerbitan yang semakin matang.

Ramadan mengingatkan kita bahawa penyebaran ilmu adalah satu amal yang berterusan, dan PKB berbangga menjadi pemacu kepada usaha itu,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *