Penerbit kecil saran Mohd Khair diberi tempoh tambahan terajui MBKM

Mazni Ayub (Sijasad Bersiong) dalam satu acara baca puisi. Foto: Ladin Nuawi.

KUALA LUMPUR — Penerbit buku kecil menyarankan agar bekas Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd Khair Ngadiron diberi tempoh tambahan untuk meneruskan kepimpinannya sekurang-kurangnya sehingga tamat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 (PBAKL 2026).

Penerbit Langit, Mazni Ayub berkata rekod pencapaian Mohd Khair sepanjang enam tahun memimpin MBKM menunjukkan prestasi yang cemerlang dan wajar dipertimbangkan untuk diteruskan buat sementara waktu.

“Kalau kita melihat kepada laporan pencapaiannya, prestasi Mohd Khair memang cemerlang. Tambahan pula kita sudah mengetahui perancangan untuk PBAKL 2026 yang boleh dikatakan agak gempak.

Jadi kalau beliau diberi peluang lagi untuk memegang jawatan ini, mungkin dalam tempoh dua tahun, saya rasa tidak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Titik Baca pada Jumaat bagi mengulas kekosongan jawatan Pengarah MBKM selepas tamatnya tempoh kontrak Mohd Khair baru-baru ini.

Menurut Mazni yang juga dikenali sebagai Sijasad, buat masa ini beliau tidak melihat calon lain yang benar-benar sesuai untuk mengisi portfolio tersebut dalam tempoh terdekat.

“Pada pandangan saya, setakat ini memang belum ada calon lain yang benar-benar layak untuk mengisi portfolio tersebut,” jelasnya.

Namun beliau berpandangan sekiranya pelanjutan dua tahun dianggap terlalu lama, sekurang-kurangnya Mohd Khair diberi ruang untuk meneruskan tugas sehingga selesai penganjuran PBAKL tahun ini.

“Paling tidak pun, biarlah beliau meneruskan tugas sehingga PBAKL tahun ini selesai. Bagi sesiapa yang mengenali Mohd Khair, beliau seorang yang banyak perancangan. Jadi mungkin kita akan melihat beberapa langkah yang mengejutkan tetapi menguntungkan industri buku negara,” ujarnya.

Mazni turut menyifatkan gaya kepimpinan Mohd Khair sebagai seorang yang sentiasa menggerakkan kerjasama antara pelbagai agensi dalam ekosistem perbukuan negara.

“Setakat ini Mohd Khair memang mempunyai kelebihan dalam industri buku. Biasanya beliau tidak bergerak secara solo bersama MBKM sahaja, sebaliknya akan melibatkan agensi lain juga.

Contohnya Perbadanan Kota Buku yang diajak bergerak seiring, dan kita dapat melihat kejayaan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Tambahnya, pemberian tempoh tambahan secara sementara adalah langkah yang wajar dipertimbangkan memandangkan industri kini berada pada fasa penting menjelang PBAKL 2026.

“Jika diberi sedikit masa lagi, saya fikir perkara ini wajar dipertimbangkan. Namun janganlah terlalu lama. Maksudnya, beliau juga perlu memberi ruang kepada orang baharu. Cuma pada masa ini situasinya agak kritikal kerana PBAKL 2026 sudah semakin hampir,” cadangnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan industri tetap terbuka sekiranya terdapat calon baharu yang benar-benar berkelayakan untuk menerajui MBKM.

“Bagi meneruskan portfolio ini, secara peribadi saya masih belum nampak siapa yang benar-benar boleh melakukannya. Tetapi jika ada individu yang menyerlah dan mampu menggalas tanggungjawab ini, industri tentu tidak mempunyai masalah untuk menerimanya,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Khair mengumumkan tamatnya tempoh perkhidmatannya sebagai Pengarah MBKM selepas enam tahun menerajui institusi berkenaan.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau memaklumkan kontrak penggal ketiganya bersama MBKM berakhir serentak dengan genap enam tahun kepimpinannya.

Pada kesempatan itu, Mohd Khair turut membentangkan Kad Laporan Strategik MBKM 2019–2026: Memacu Tamadun Ilmu yang merumuskan pencapaian dan hala tuju strategik sepanjang tempoh tersebut, termasuk kejayaan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diiktiraf sebagai antara festival sastera terbaik dunia.

Pengumuman berakhirnya kontrak beliau turut mendapat pelbagai respons daripada pemain industri buku tempatan yang menghargai sumbangannya terhadap pembangunan ekosistem perbukuan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *