KUALA LUMPUR, 8 Mac 2026 — Negara semalam dikejutkan dengan pemergian seorang tokoh pemikir Islam terkemuka, Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, pada jam 6.47 petang, pada usia 95 tahun.
Berita pemergian sarjana besar itu mula disahkan oleh murid kanannya, Prof. Dr. Khalif Muammar A. Harris, menerusi makluman di aplikasi WhatsApp sekitar jam 9.49 malam sebelum beliau berkongsi berita tersebut secara terbuka di Facebook.
“Yang kekal hanyalah Allah. Dukacita dimaklumkam bahawa Guru kita Prof. Diraja Terpuji Syed Muhammad Naquib al-Attas telah mangkat pada hari ini 18 Ramadan 1447 pukul 6.47 petang.
Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala mengampuni segala dosanya, menerima segala amal ibadahnya dan menempatkannya di Syurga Firdaus bersama para Nabi dan Salihin,” tulisnya.
Menurut makluman tersebut, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid al-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada pagi Isnin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur sebelum Zohor.
Pemergian tokoh sarjana yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu turut mengundang ucapan takziah daripada pimpinan negara dan pelbagai pihak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan menyifatkan Allahyarham sebagai antara pemikir terbesar pada zaman ini yang memberikan sumbangan besar kepada pembangunan pemikiran Islam.
“I was deeply saddened to learn of the passing of Royal Laureate Professor Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas. He was, by any measure, one of the greatest minds of our age, a philosopher who asked not just what we know, but what knowledge is for,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut menekankan bahawa karya-karya penting Allahyarham seperti Islam and Secularism dan Prolegomena to the Metaphysics of Islam telah mencabar proses sekularisasi ilmu serta membangunkan asas intelektual bagi pandangan alam Islam.
“Malaysia heard him. The Muslim world heard him,” tambahnya sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada dunia keilmuan Islam dan negara.
“Sepanjang hayatnya, Allahyarham dikenali sebagai seorang sarjana dan pemikir agung yang telah mencurahkan sumbangan besar dalam bidang falsafah Islam, pendidikan serta pembangunan pemikiran dan peradaban Melayu-Islam,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang mujaddid dan pemikir besar yang sumbangannya melangkaui dunia akademik.
Menurut beliau, Allahyarham turut terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penubuhan beberapa institusi penting termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).
ABIM dalam kenyataannya turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh ilmuwan tersebut yang pernah memainkan peranan penting dalam membentuk landasan intelektual gerakan itu sejak era 1960-an.
Menurut ABIM, Allahyarham bukan sahaja seorang cendekiawan dan ahli falsafah Muslim yang menguasai bidang teologi, metafizik, sejarah serta kesusasteraan, malah merupakan pencipta logo ABIM serta pencetus idea penerbitan dan penamaan Risalah ABIM.
Allahyarham Syed Muhammad Naquib al-Attas dikenali sebagai antara tokoh pemikir Islam moden paling berpengaruh, khususnya dalam usaha merangka gagasan Islamisasi ilmu dan pembangunan pandangan alam Islam dalam wacana intelektual kontemporari.
Sepanjang hayatnya, beliau menghasilkan puluhan karya ilmiah dalam bidang falsafah, metafizik, sejarah dan tamadun Islam yang menjadi rujukan penting di universiti dan institusi pengajian di seluruh dunia.
Pemergian beliau meninggalkan warisan pemikiran yang mendalam kepada dunia akademik, khususnya dalam tradisi keilmuan Melayu-Islam.













