Treler Spider-Man: Brand New Day pecah rekod dunia, Raih 718.6 juta tontonan dalam 24 jam

Spidermanbrandnewday

FILEM | Treler filem terbaharu francais adiwira, Spider-Man: Brand New Day mencipta sejarah tersendiri apabila mencatat sebanyak 718.6 juta tontonan dalam tempoh 24 jam pertama, sekali gus menjadi pelancaran trailer terbesar dalam sejarah.

Video yang diterbitkan oleh Sony Pictures itu dilancarkan pada Rabu lalu dan segera mencetuskan fenomena global dalam kalangan peminat filem.

Rekod ini jauh mengatasi pencapaian trailer Deadpool & Wolverine (2004) yang sebelum ini memegang rekod dengan 365 juta tontonan.

Lebih mengagumkan, Brand New Day sudah pun memecahkan rekod tersebut hanya dalam tempoh lapan jam pertama apabila meraih 373 juta tontonan — mengatasi angka yang dicapai oleh Deadpool 3 ketika pelancarannya sempena Super Bowl pada tahun 2024.

Malah, kejayaan ini turut menewaskan rekod trailer permainan video Grand Theft Auto VI, yang sebelum ini dianggap sebagai pelancaran video terbesar dengan 475 juta tontonan dalam tempoh sama.

Filem ini menandakan kemunculan semula Tom Holland sebagai Spider-Man selepas kejayaan besar Spider-Man: No Way Home yang pernah menghimpunkan versi Spider-Man lakonan Tobey Maguire dan Andrew Garfield. Filem tersebut mencatat kutipan global mencecah AS$1.9 bilion.

Dari segi jalan cerita, Brand New Day berlatarbelakangkan empat tahun selepas peristiwa No Way Home.

Watak Peter Parker kini hidup bersendirian selepas memadam kewujudannya daripada ingatan insan tersayang.

Dalam keadaan bandar New York City yang tidak lagi mengenalinya, beliau menumpukan sepenuh masa sebagai Spider-Man.

Namun, tekanan yang semakin meningkat membawa kepada perubahan fizikal yang tidak dijangka, di samping kemunculan ancaman baharu yang lebih berbahaya.

Selain Holland, filem ini turut dibintangi oleh Zendaya, Sadie Sink, Jacob Batalon, Jon Bernthal, Tramell Tillman, Michael Mando dan Mark Ruffalo.

Filem ini diarahkan oleh Destin Daniel Cretton dengan skrip hasil tulisan Chris McKenna dan Erik Sommers.

Spider-Man: Brand New Day dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh dunia pada 31 Julai tahun ini.

Sources:Variety

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *