Penyertaan Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak dilanjutkan hingga 30 April

Anugerahbukuterbaikpremiersarawak

KUCHING — Penyertaan bagi Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak kini dilanjutkan sehingga 30 April 2026, sekali gus memberi peluang tambahan kepada penulis yang layak untuk mengemukakan karya masing-masing.

Anugerah ini terbuka kepada buku umum pelbagai bidang yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dalam tempoh penilaian antara tahun 2024 hingga 2025.

Penyertaan turut mensyaratkan bahawa penulis mestilah warga Sarawak atau pemastautin tetap di negeri tersebut.

Menurut garis panduan penilaian, karya yang dikemukakan perlu mengangkat warna, citra serta khazanah kearifan tempatan masyarakat Sarawak, termasuk dalam aspek sejarah, politik, ekonomi, pembangunan, perubatan serta flora dan fauna yang memiliki keunikan tersendiri.

Selain itu, buku yang menonjolkan keunikan budaya dan sosiobudaya masyarakat setempat serta menyumbang kepada pembangunan pemikiran masyarakat Sarawak turut diberi keutamaan.

Anugerah ini dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak bagi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta kategori terbitan luar.

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dalam dunia penulisan dan penerbitan, anugerah ini menawarkan hadiah berjumlah RM25,000 kepada penerima yang berjaya.

Penganjuran anugerah ini dilihat sebagai satu usaha berterusan dalam memperkasa penulisan buku umum yang berteraskan identiti, budaya dan pemikiran masyarakat Sarawak, di samping mengangkat karya tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *