Malaysia ungguli Domain Penulisan SEA-PLM 2024, catat skor tertinggi serantau

Sea Plm2024

Foto Media Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR — Malaysia mencatat pencapaian cemerlang apabila muncul sebagai negara dengan skor tertinggi dalam domain Penulisan bagi penilaian Southeast Asia Primary Learning Metrics (SEA-PLM) 2024.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) semalam, murid Malaysia merekodkan skor purata 480.1 mata, iaitu 29.2 mata lebih tinggi berbanding purata serantau.

Pencapaian ini meletakkan Malaysia di kedudukan teratas dalam kalangan negara Asia Tenggara yang menyertai pentaksiran tersebut.

Selain itu, seramai 21 peratus murid Malaysia mencapai tahap tertinggi iaitu Band 5 ke atas, jauh mengatasi purata serantau yang hanya mencatat lima peratus.

Keputusan ini mencerminkan keupayaan murid dalam menguasai kemahiran penulisan secara menyeluruh, termasuk aspek pemikiran kritis, kandungan, konteks serta kejelasan dalam penyampaian idea.

Walau bagaimanapun, KPM mengakui masih terdapat jurang pencapaian antara murid berdasarkan latar belakang sosioekonomi, jantina, serta perbezaan bahasa pertuturan di rumah dan di sekolah.

Jurang ini dikenal pasti sebagai antara cabaran utama dalam usaha memastikan akses pendidikan yang lebih adil dan inklusif.

SEA-PLM merupakan satu pentaksiran serantau yang menilai pencapaian murid Tahun 5 dalam empat domain utama, iaitu Bacaan, Matematik, Penulisan dan Kewarganegaraan Global.

Bagi Malaysia, pentaksiran ini melibatkan seramai 4,379 murid daripada 158 sekolah rendah pelbagai aliran termasuk Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Asli, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan serta sekolah swasta.

Terdahulu, keputusan bagi domain Bacaan dan Matematik telah diumumkan pada Disember 2025.

KPM menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kualiti pendidikan negara agar setanding dengan standard pentaksiran antarabangsa, sekali gus memastikan pembangunan potensi murid secara holistik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *