KUALA LUMPUR – Peminat muzik dan filem bakal disajikan dengan sebuah pengalaman luar biasa apabila konsert The Lion King Live in Concert akan dipentaskan di ibu negara pada Jun 2026.
Penganjuran oleh Milestone Production ini menjanjikan gabungan sinematik dan simfoni yang memukau di KLCC Plenary Hall.
Konsert eksklusif ini menampilkan persembahan orkestra secara langsung oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), Istana Budaya, yang akan memainkan skor muzik gubahan Hans Zimmer secara selari dengan tayangan babak filem The Lion King.
Persembahan ini dijadualkan berlangsung pada 13 Jun 2026 di KLCC Plenary Hall, dengan sokongan rakan rasmi termasuk UOB sebagai rakan bank dan Mix Lite sebagai rakan radio.
Sejak ditayangkan pada tahun 1994, The Lion King kekal sebagai fenomena global dengan barisan lagu ikonik yang terus hidup merentasi generasi.
Dalam versi konsert ini, penonton bakal mengimbau perjalanan Simba melalui susunan muzik yang lebih megah dan emosional menerusi lagu-lagu malar segar seperti “Hakuna Matata”, “Circle of Life” dan “Can You Feel the Love Tonight”.
Menurut pihak penganjur, konsert ini turut mencerminkan komitmen mereka untuk membawa persembahan bertaraf antarabangsa ke Malaysia, selain mengangkat keupayaan OSK Istana Budaya yang telah diberi mandat dan pengiktirafan rasmi oleh Disney untuk mempersembahkan karya muzik daripada filem tersebut.
Disifatkan sebagai “satu malam penuh keajaiban, nostalgia, dan simfoni yang meruntun jiwa seisi keluarga”, konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinanti-nantikan tahun ini.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut serta pembelian tiket melalui saluran media sosial rasmi Milestone Production dan platform tempahan yang sah.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman muzik yang epik ini di tengah kota Kuala Lumpur.












