KUALA LUMPUR — Lelongan Seni Malaysia dan Asia Tenggara anjuran Henry Butcher Art Auctioneers (HB) bakal berlangsung pada 26 April 2026 di Menara KEN TTDI, dengan menampilkan karya-karya unggul daripada maestro seni tanah air, khususnya Abdul Latiff Mohidin dan Syed Ahmad Jamal sebagai tarikan utama.
Tumpuan utama lelongan kali ini terarah kepada karya-karya Abdul Latiff Mohidin yang terkenal dengan gaya ekspresif dan ilham daripada alam semula jadi.
Antara karya penting yang ditawarkan ialah Landscape (awal 2000-an) dengan anggaran RM200,000 hingga RM400,000, Voyage Series (sekitar 2002–2005) dengan anggaran sama, serta Gelombang Landscape (1986) yang dianggarkan mencecah RM250,000 hingga RM450,000.
Karya-karya ini mencerminkan eksplorasi berterusan beliau terhadap bentuk dan lanskap sepanjang beberapa dekad.
Seiring itu, karya puitis penuh warna oleh Syed Ahmad Jamal bertajuk Ruang Hijau (2007) turut menjadi antara sorotan utama, dengan anggaran RM200,000 hingga RM350,000.
Karya ini memperlihatkan kekuatan ekspresi visual serta kehalusan estetika yang sinonim dengan pengkarya tersebut.
Menurut Pengarah HB, Sim Polenn, keadaan pasaran semasa memberi peluang terbaik kepada pembeli.
“Ini masa terbaik untuk membeli. Ia merupakan buyer’s market, dan karya berkualiti seperti ini sukar diperoleh.
“Jangan lepaskan peluang kerana bidaan bermula pada tahap yang sangat menarik,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain dua tokoh utama itu, lelongan ini turut menampilkan karya oleh Ibrahim Hussein, termasuk About The Andaman (1999), Untitled (1997) dan Xenobiosis (1969), masing-masing dengan anggaran sehingga RM600,000.
Karya oleh Khoo Sui Hoe juga kembali mencuri perhatian selepas kejayaan lelongan Januari lalu yang mencatatkan rekod baharu.
Kali ini, karya Crescent Moon (1977), The Wedding (1980) dan To Catch A Bird (1981–2006) dijangka terus menarik minat pengumpul.
Selain itu, dua karya daripada siri Essence of Culture (E.O.C.) oleh Awang Damit Ahmad turut diketengahkan, iaitu Pun-Pun (1988) dan Sea Harvest (1993), yang dikenali sebagai antara siri paling dicari dalam kalangan kolektor seni.
Sesi pratonton akan berlangsung dari 18 hingga 25 April, bermula jam 10 pagi hingga 6 petang setiap hari, manakala hari lelongan dijadualkan pada 26 April (Ahad), dari jam 1 petang hingga 4 petang di Menara KEN TTDI, aras M, Hall 1 hingga 3.
Maklumat lengkap berkenaan lelongan dan katalog boleh didapati dengan melayari laman web https://www.hbart.com.my/













