Beberapa tahun lalu, beberapa media tempatan banyak memfokuskan isu kebocoran data yang mengakibatkan data-data peribadi pengguna media sosial diambil dan dianalisis untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pada tahun 2020, maklumat ini bocor dan beberapa ahli politik ada menyebut tentang ini. Antaranya bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui blog peribadinya (8 Jun 2020) pernah merespons isu ini dengan menyatakan maklumat di zaman ini boleh dimanipulasi menjadi baik dan buruk.
Beliau juga mengakui sudah ada perusahaan yang bertindak untuk memanipulasi data ini, antaranya ialah Cambridge Analytica yang memberikan khidmat analisa maklumat untuk tujuan tertentu.
Media turut melaporkan daripada bekas pekerja Cambridge Analytica, Brittany Kaiser (MalaysiaKini, 3 Januari 2020) menunjukkan bagaimana maklumat daripada Petronas dan Cawangan Khas polis menjadi antara sumber data yang disyorkan untuk kempen propaganda politik, bertujuan membantu kemenangan Barisan Nasional dalam PRU14.
Ia kedengaran seperti teori konspirasi yang berlegar di Internet dan tiada bukti kukuh untuk dipercayai. Tetapi sebenarnya ia sebuah realiti yang perlu ditanggung dan didepani bersama.
Sebelum ini, apabila ada orang yang mengutarakan bahasa media sosial algoritma media sosial secara sengaja menunjukkan sesuatu hantaran, ia adalah secara kebetulan, bukanlah tetapan daripada satu-satu pihak.
Sehinggalah saya menemui bahan bacaan yang mengubah persepsi saya terhadap media sosial dan mengesahkan berita-berita seperti “teori konspirasi” tadi, segala macam yang wujud dan terpapar di media sosial sebenarnya sedikit sebanyak adalah “dikawal” dan mempunyai nilai “data” yang sangat tinggi.
Buku Mindf*ck: Inside Cambride Analytica’s Plot to Break the World (2019) karya Christoper Wylie ini boleh saya katakan antara buku paling membuka minda saya terhadap media sosial.
Penulisnya, Wylie, menulis buku ini bukan sekadar mencari pengaruh atau mahu tersohor di mata dunia, tetapi lebih kepada mahu menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku di sebalik skandal besar Cambridge Analytica, sebuah syarikat yang menggunakan data berjuta-juta pengguna Facebook tanpa izin untuk memanipulasi pilihan raya.
Kedengaran seperti mungkin seperti kisah-kisah konspirasi, tetapi apabila membaca buku ni, pembaca akan sedar benda ni betul-betul berlaku dan lebih menakutkan dari apa kita sangka.
Wylie memulakan cerita dari zaman mudanya, seorang budak pintar yang minat teknologi dan politik. Beliau bukan orang jahat, tetapi cuma terlalu kagum dengan idea guna data untuk memahami tindak tanduk manusia.
Dari situ beliau memulakan kerja dengan SCL Group, sebuah syarikat perseorangan yang akhirnya menjadi syarikat gigantik dan penuh skandal, Cambridge Analytica.
Ketika itu beliau tidak sangka projek yang beliau terlibat sama dalam pembinaan akan menjadi senjata politik yang boleh menggugat demokrasi negara-negara besar seperti Amerika dan United Kingdom.
Buku ni berulang kali menekankan satu hal iaitu kuasa data. Wylie menunjukkan bagaimana data peribadi yang kita sangka tak begitu penting boleh digunakan untuk faham cara kita fikir, rasa dan bertindak.
Contohnya, like atau share di Facebook apabila dikumpul berjuta-juta, boleh cipta profil psikologi lengkap tentang diri kita.
Dari situ, syarikat penyelidikan tingkahlaku dan komunikasi strategik seperti Cambridge Analytica boleh menentukan mesej politik apa yang sesuai untuk manipulasi emosi seseorang.
Pengguna media sosial yang cepat takut, analisis ini akan menyampaikan mesej ancaman pendatang. Pengguna yang egonya tinggi, hasil penyelidikan memberi mesej patriotik.
Semua ini dilakukan secara senyap tanpa kita sedar pun kita sedang dikawal. Wylie sebut benda ni sebagai bentuk “perang psikologi digital”.
Istilah ini tepat, bukan sekadar iklan biasa. Ia sebuah serangan hendap terhadap minda manusia sehinggakan pengguna media sosial percaya mereka buat keputusan tanpa pengaruh luar sedangkan semua emosi dan persepsi sudah diatur oleh data dan algoritma.
Ia bukan lagi bukan sains fiksyen, tapi realiti dunia sekarang. Gaya penulisan Wylie pula agak peribadi. Buku ini ditulis bukan seperti saintis atau akademia yang dipenuhi jargon-jargon bahasa.
Nadanya penulisannya ke arah meluah rasa bersalah dan kecewa. Kadang-kadang beliau menulis seperti orang yang masih cuba memaafkan diri sendiri atas apa yang beliau pernah lakukan.
Tapi bagi saya, perasaan-perasaan itu adalah rencah dan rempah dalam buku ini supaya idea-idea yang disampaikan itu tidak kering dan penuh dengan kejujuran.
Wylie tahu beliau pernah melakukan kesalahan tetapi dia langsung tidak berselindung di balik kesalahan maha besarnya.
Melalui buku ini, beliau mencerita semuanya, termasuklah perangai pelik pekerja-pekerja kuat Cambridge Analytica seperti Steve Bannon dan Alexander Nix, yang nampak macam gila kuasa dan betul-betul percaya mereka boleh mengawal dunia dengan data.
Buku ni juga membuka mata pembaca cara sebenar media sosial bekerja. Pengguna merasakan Facebook atau Instagram cuma tempat hiburan, tetapi sebenarnya sesebuah platform itu direka untuk mengumpul data sebanyak mungkin supaya boleh manipulasi perhatian kita.
Wylie membuktikan yang manusia sekarang bukan lagi “pengguna”, tetapi “produk”. Setiap kali kita tatal, memberikan tanda suka atau komen, semua fungsi itu akan memberi maklumat kepada satu sistem yang ingin memahami kita lebih dari kita faham diri sendiri.
Buku ni memberi amaran yang sangat kuat iaitu data ialah bentuk kuasa baharu dunia moden. Jika kuasa tu jatuh ke tangan orang yang salah, kesannya lebih teruk daripada peperangan senjata.
Demokrasi boleh runtuh tanpa sebutir peluru pun, cukup dengan algoritma yang tahu apa kelemahan psikologi manusia. Dan yang paling menakutkan, semua ni boleh berlaku tanpa kita sedar.
Dalam pembacaan saya, ada juga bahagian yang dirasakan agak perlahan. Terkadang dirasakan terlalu banyak masuk cerita peribadi, terutama tentang identiti dirinya dan pengalaman hidup luar kerja.
Hal itu bagus jika mahu memahami sisi penulis sebagai seorang manusia, tetapi untuk pembaca yang mahu fokus pada isu Cambridge Analytica, bahagian ini dirasakan sedikit meleret.
Ada juga beberapa bahagian penulis kelihatan terlalu idealistik, seperti mahu menonjolkan diri sebagai hero whistleblower.
Tapi bagi saya selaku pembaca, cerita-cerita itu boleh diterima sebab Wylie membayar harga yang tinggi apabila membuat keputusan membocorkan semua rahsianya. Buku ni menjadikan saya memikir ulang tentang diri sendiri.
Betapa mudahnya manusia dikawal bila kita terlalu bergantung pada Internet dan media sosial. Kita rasa bebas bersuara, padahal kita adalah bidak-bidak dalam sistem yang direka untuk kawal emosi dan pendapat kita.
Usai membaca buku ini, saya mula faham kenapa politik dunia sekarang makin ekstrem dan kenapa orang makin senang termakan propaganda.
Secara keseluruhan, Mindfck merupakan buku yang maha penting. Ia bukan buku teori, tapi pengalaman sebenar seseorang yang pernah membangunkan sistem itu sendiri.
Ia membongkar sisi gelap teknologi yang selalu kita anggap neutral. Walaupun bahan bacaan ini terkadang dirasa agak berat dan teknikal, mesejnya sangat jelas dan mudah difahami. Wylie berjaya gabungkan cerita peribadi, politik dan teknologi dalam satu naratif yang padat dan jujur.
Jika kalian seorang yang suka membaca hal-hal yang buat kalian berfikir panjang, atau nak memahami bagaimana dunia digital ini boleh digunakan untuk mengubah pandangan masyarakat, buku ni wajib anda baca.
Apabila tamat bacaan, saya memberi jaminan, anda mungkin akan memandang media sosial dari sudut kesedaran yang baru. Sebab dalam dunia sekarang, kesedaran adalah bentuk pertahanan terakhir yang kita ada.













