KUALA LUMPUR — The Krishen Jit Fund kembali dibuka bagi tahun 2026, menandakan tahun ke-21 penubuhannya dalam menyokong penggiat seni dan budaya di Malaysia.
Dana ini terus menjadi antara inisiatif penting dalam menggalakkan penghasilan karya eksperimental, kreatif dan berani merentas pelbagai disiplin seni.
Ditubuhkan bersempena legasi pengarah teater tersohor Krishen Jit, dana ini bertujuan memperkasa penghasilan karya seni Malaysia yang asli, di samping membuka ruang kepada pendekatan baharu dalam ekspresi dan intervensi seni.
Sepanjang dua dekad lalu, dana ini telah menyokong lebih 100 penerima serta projek seni yang pelbagai.
Bagi tahun 2026, geran yang ditawarkan adalah antara RM1,000 hingga RM20,000 meliputi pelbagai kategori termasuk bengkel, residensi, produksi eksperimental, penyelidikan dan dokumentasi, penulisan, serta penciptaan karya baharu dalam bidang muzik, tari, teater, filem dan seni visual atau persembahan.
Dana ini terbuka kepada semua penggiat seni di Malaysia, dengan keutamaan diberikan kepada projek yang dijalankan dalam negara.
Pengurusan dana ini dikendalikan oleh Five Arts Centre, sebuah kolektif seni yang aktif dalam pembangunan seni kontemporari tempatan.
Panel pemilihan bagi tahun ini terdiri daripada tokoh-tokoh berpengalaman dalam bidang seni dan industri kreatif, termasuk wakil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, sektor korporat, yayasan seni serta pengamal seni bebas.
Permohonan boleh dibuat dalam bahasa Melayu atau Inggeris dengan syarat dokumen lengkap tidak melebihi 10 halaman.
Pemohon juga dikehendaki mengemukakan satu cadangan projek sahaja, bersama contoh karya yang relevan.
Keputusan permohonan dijangka diumumkan pada September 2026, dan projek yang dicadangkan hendaklah dilaksanakan selepas tarikh tersebut.
Tarikh tutup permohonan adalah pada 31 Mei 2026. Permohonan yang tidak mematuhi format yang ditetapkan akan ditolak.
Borang permohonan boleh dimuat turun dan dihantar melalui emel kepada krishenjitfund@gmail.com
atau dipos ke alamat rasmi Five Arts Centre di GMBB, Kuala Lumpur.
Dengan keadaan dunia yang semakin mencabar, dana ini menyatakan keyakinan bahawa para seniman akan terus menghasilkan karya yang berani, bermakna dan mencetuskan pemikiran baharu dalam masyarakat.












